combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Masyarakat, NGO Perlu Sama-sama Bantu Golongan Rentan - KP JKM
Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan berucap pada Majlis Perasmian Seminar Asas Penjagaan Warga Emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) sempena Program Ritma Kehidupan Harmoni (RYTHM) Zon Tengah hari ini.
Tanggungjawab menjaga kebajikan golongan rentan termasuk warga emas, kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU) dan pesakit terlantar tidak boleh diletakkan kepada satu pihak semata-mata, sebaliknya turut memerlukan penglibatan menyeluruh masyarakat.
Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata peningkatan bilangan jumlah mereka yang memerlukan sokongan sosial saban tahun menunjukkan keperluan memperkukuh pendekatan penjagaan secara kolektif yang turut melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata pendaftaran golongan OKU aktif di seluruh negara mencatat peningkatan daripada 814,966 pada tahun lepas kepada 849,775 setakat Jun 2026, manakala bilangan kanak-kanak autistik berdaftar meningkat daripada kira-kira 10,000 pada 2015 kepada 89,000 pada tahun ini.
Selain itu, katanya, jumlah penerima bantuan kewangan yang diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ialah 636,232 orang sepanjang 2025, manakala bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini melibatkan 568,103 penerima.
“Oleh itu, tanggungjawab berkenaan tidak boleh diletakkan kepada satu agensi atau JKM sahaja. Masyarakat (diajak) untuk sama-sama mengembleng bahu, berganding tenaga dalam kita bersama membantu mereka yang memerlukan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan selepas merasmikan penganjuran Seminar Asas Penjagaan Warga Emas dan OKU Bagi Zon Tengah bersempena dengan Program RYTHM-Ritma Kehidupan Harmoni di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengarah JKM Selangor Azmir Kassim.
Che Murad Sayang berkata cabaran penjagaan turut dirasai secara langsung oleh keluarga yang menjaga pesakit terlantar, khususnya dari segi keupayaan fizikal, kemahiran serta kewangan apabila penjaga terpaksa memberikan perhatian sepenuh masa sehingga tidak dapat bekerja.
Beliau berkata bantuan kewangan yang diberikan kepada penjaga juga tidak semestinya mencukupi untuk menampung keseluruhan keperluan kerana kos penjagaan turut melibatkan pembelian lampin, ubat-ubatan, peralatan serta susu khas.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata pendekatan kebajikan perlu melangkaui pemberian bantuan kewangan semata-mata dengan menyediakan latihan, kemahiran dan peluang yang membolehkan golongan memerlukan serta penjaga mereka membina kehidupan yang lebih berdaya tahan.