Pemandangan dalam Masjid Taza di Morocco.
Assalamualaikum !
Dasar Utama Islam ialah dua kalimah syahadah.
Perakuan kita dari hati ke bibir, bahawa hanya ada satu Tuhan; Tuhan yang mencipta seluruh alam dan isinya. Dan memperakui bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Nabi Muhammad itu orang suruhan Allah. Beruntunglah kita yang mengesakan Tuhan serta taat kepada perintahNya dan menjauhi laranganNya, dan mengakui Nabi Muhammad itu menyampaikan perintah-perintah Allah kepada kita semua.
Allah SWT telah mengutuskan 25 orang Rasul. Rasul-Rasul yang diutuskan Allah ini mengajar Islam. Rasul sebagai pesuruh Allah menyampaikan perintahNya , laranganNya , janjiNya serta ancamanNya.
Allah mengutuskan setiap Rasul bersesuaian dengan keadaan masa dan umat pada peringkat zaman itu. Setiap Rasul diberi Allah kelebihan mukjizat, iaitu dapat melakukan sesuatu yang luar biasa dengan izin Allah, ini dapat mematahkan sihir yang digunakan oleh orang-orang kafir yang kufur ingkar.
Allah SWT mengutuskan nabi Muhammad yang ummi (tidak pandai menulis dan membaca) dari keturunan Quraisy kepada bangsa Arab, Ajam (Persia dan Iran), Jin dan semua manusia, membawa berita gembira dan menakutkan.
Allah menurunkan ke atas baginda Rasulullah SAW kitabNya (Al-Quran) yang penuh hikmah bagi menunjukkan jalan yang lurus (Shirathil Mustaqim).
Adalah menjadi tanggungjawab Rasulullah membimbing, mengajar manusia mendalami isi Al-Quran.
Al-Quran di wahyukan Allah melalui Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW. Al-Quran mengandungi 6666 ayat. Surah pertama diwahyukan ialah Surah Al-Alaq (Iqraq):
“Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
Al-Quran diwahyukan dalam tempoh 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah. Kebanyakan ayat yang turun di Mekah adalah berkaitan tauhid, manakala yang diturunkan di Madinah berkaitan hukum.