kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,698
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,698
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
MARA Meterai Lebih 500 Memorandum Kerjasama, Tingkat Peluang Pekerjaan Lepasan TVET
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang
Lebih 500 memorandum kerjasama dimeterai antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan pemain industri bagi memperluas peluang pekerjaan kepada lepasan GiatMARA dan TVETMARA.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata MARA sentiasa berusaha memastikan kebolehpasaran lepasan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawahnya berada pada tahap terbaik.
"Setakat ini, kadar kebolehpasaran lepasan institusi TVET di bawah MARA ialah 99.2 peratus berdasarkan sistem pemantauan lepasan pelajar di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Rubiah berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh mengenai usaha memastikan lepasan TVET di luar bandar mendapat peluang pekerjaan atau keusahawanan yang selaras dengan keperluan industri setempat.
Beliau berkata bidang kemahiran di setiap GiatMARA ditentukan berdasarkan keperluan komuniti, industri di kawasan berkenaan serta potensi keusahawanan setempat.
Sebagai contoh, Rubiah berkata GiatMARA Miri, Sarawak bekerjasama dengan Berjaya Dockyard Sdn Bhd di Kuala Baram menerusi latihan selama tiga bulan di GiatMARA dan tiga bulan lagi di limbungan kapal berkenaan, dengan sebahagian peserta ditawarkan pekerjaan oleh syarikat itu.
Kerjasama MARA dengan Samsung SDI pula, katanya, melibatkan bidang elektrik dan elektronik (E&E) serta kenderaan elektrik (EV), yang menawarkan peluang pekerjaan dengan gaji RM3,500 hingga RM6,000 sebulan.
Rubiah berkata GiatMARA Jasin, Melaka pula bekerjasama dengan Apex Global Engineering Sdn Bhd menerusi program khas Zero to Hero dalam bidang kimpalan minyak dan gas, dengan peserta berpotensi memperoleh pendapatan antara RM3,000 dan RM6,000 sebulan.
Beliau berkata latihan di GiatMARA dan TVETMARA disediakan secara percuma, manakala kerajaan berhasrat memperluas peluang penyertaan serta meningkatkan elaun harian dan elaun perumahan mengikut kemampuan kewangan kerajaan.