RAMAI ejen syarikat insurans dan takaful kini berlumba-lumba mempromosikan kehebatan kad perubatan mereka, kononnya ia adalah yang terbaik dan terpantas dalam pasaran.
Antara ayat-ayat yang boleh mencairkan pengguna ialah kad mereka mudah untuk membuat tuntutan dan senang digunakan apabila kita ke hospital swasta.
Salah satu cara digunakan oleh ejen untuk menjadikan kad perubatan mereka mudah dipasarkan adalah kononnya akan ada pulangan apabila tempoh matang.
Sepanjang pengetahuan penulis belum ada lagi kad perubatan di Malaysia yang berbentuk ‘simpanan’ kecuali ia adalah manipulasi ejen untuk melariskan sesuatu kad perubatan yang mereka jual.
Oleh itu, penulis berharap semua pengguna tidak terlalu percaya kepada kata-kata ejen yang kadangkala meletakkan kepentingan komisen jualan di hadapan mereka tanpa rasa tanggungjawab menyampaikan maklumat yang telus dan jujur.
Jika kita masih berjimat untuk keperluan keluarga, adalah lebih baik kita membeli kad perubatan keluarga daripada mengambil kad perubatan individu yang terlalu mahal harganya.
Perlu diketahui, ramai pengguna kad perubatan akhirnya terpaksa dirujuk ke hospital kerajaan disebabkan kekurangan kepakaran dan kemudahan di hospital swasta.
LUKMAN MOIDIN
Kaunselor SMK Kuala Nerang, Kedah
sumber Utusan Malaysia