Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,764
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,764
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Malaysia, Thailand Selesaikan Isu Tertunggak Perikanan, Percepat Pelaksanaan MoU Kerjasama Pertanian
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersama Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul (kiri) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu (dua, kanan) dan Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand Suriya Jundrungreangkit (dua, kiri) di Bangunan Perdana Putra hari ini.
Malaysia dan Thailand berjaya menyelesaikan isu tertunggak berkaitan akses pasaran sektor perikanan serta bersetuju mempercepat pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Pertanian dalam tempoh seminggu.
MoU itu dimuktamadkan sempena lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul, ke Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Anutin menyaksikan pertukaran MoU tersebut antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dengan rakan sejawatnya Suriya Juangroongruangkit.
Bercakap pada sidang media bersama, Anwar berkata perjanjian itu mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh keterjaminan makanan serta perdagangan dua hala.
“Kita telah menyelesaikan isu tertunggak berkaitan perikanan hasil komitmen kedua-dua menteri. Mereka (Thailand) mahu memorandum itu berkuat kuasa dalam tempoh satu setengah bulan, namun kita bersetuju supaya ia dikuatkuasakan dalam tempoh seminggu,” kata beliau.
Rakan sejawatnya dari Thailand Anutin berkata keterjaminan makanan merupakan antara fokus utama dalam perbincangan kedua-dua pemimpin.
“Berhubung keterjaminan makanan, kami mengalu-alukan pertemuan antara Menteri Pertanian kedua-dua negara bagi mencari penyelesaian secara muafakat, yang telah berjaya memuktamadkan isu-isu tertunggak berkaitan akses pasaran bagi produk perikanan dan pertanian,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam kenyataan memaklumkan MoU itu, menyediakan kerangka kerjasama yang menyeluruh dalam pelbagai bidang strategik termasuk sektor tanaman, ternakan, perikanan, fasilitasi perdagangan dan pemasaran produk pertanian.
Ia juga meliputi kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan kapasiti, biosekuriti, langkah-langkah sanitari dan fitosanitari (SPS), serta bidang-bidang lain yang telah dipersetujui bersama.