Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,777
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,777
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Malaysia Runding Dengan Thailand, GACC Eksport Durian Ke China Melalui Jalan Darat
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangkap Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu (kanan), bersama Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Sharon Teo Siew Hui (kiri), meluangkan masa menziarahi Suhaimi Hasan pada Program Ziarah Kasih DUN Permas sempena Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, hari ini.
Malaysia sedang mengadakan rundingan dengan kerajaan Thailand dan General Administration of Customs of China (GACC), bagi membuka laluan eksport durian tempatan ke China melalui jalan darat, yang dijangka dapat mengurangkan kos logistik dan memperluas pasaran ke republik itu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata usaha itu merupakan antara ikhtiar kerajaan membantu pengusaha durian, terutamanya ketika negara berdepan lambakan bekalan susulan musim raja buah itu yang berlaku serentak di beberapa negeri.
“Menteri Pertanian mereka (Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand Suriya Juangroongruangkit) sudah jumpa saya dan kita akan bincang bagaimana hendak memudahkan eksport ke China melalui jalan darat dan jalan kereta api.
“Sekarang kita sedang berbincang secara intensif dengan Thailand dan GACC,” katanya kepada Bernama selepas menyantuni penduduk di Masai Lama bersama-sama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas Sharon Teo Siew Hui, di sini hari ini.
Beliau berkata penggunaan laluan darat dijangka menjadi pilihan yang lebih menjimatkan, berbanding kaedah penghantaran sedia ada menerusi pengangkutan udara yang ketika ini menelan kos tinggi kepada pengusaha.
Mohamad berkata usaha itu, turut membuka peluang menembusi bandar-bandar kecil di China yang mempunyai potensi pasaran besar, dengan setiap bandar dianggarkan mempunyai kira-kira dua juta penduduk.
Beliau berkata musim durian yag berlaku serentak di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor dan Pahang menyebabkan bekalan meningkat, sekali gus memberi tekanan kepada harga pada peringkat pengusaha, meskipun pengguna kini menikmati durian premium seperti Musang King dan Black Thorn pada harga lebih rendah.
Mengulas perkembangan sektor pertanian Johor, Mohamad berkata negeri itu kekal sebagai antara pengeluar utama hasil pertanian negara termasuk nanas, buah-buahan dan sayur-sayuran.
Beliau berkata kempen pembangunan industri nanas yang dilaksanakan kementerian, berjaya meningkatkan pengeluaran sebanyak 100 peratus dalam tempoh tiga tahun, selain menarik penyertaan ramai golongan muda yang kini memperoleh pendapatan lebih baik menerusi perusahaan itu.