BTC USD 60,726.8 Gold USD 4,341.84
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Lima tahun yang penuh cabaran

ZONDA

Legendary Member
gem
Messages
14,904
Joined
Feb 8, 2011
Messages
14,904
Reaction score
46
Points
120
image.jpg



RANCANGAN Malaysia Ke-11 (RMK-11) telah pun diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rancangan itu adalah penentu arah negara dalam lima tahun akan datang untuk Malaysia merealisasikan Wawasan 2020 iaitu untuk mengambil tempat dalam kalangan negara maju dan berpendapatan tinggi di dunia.

Kelainannya RMK-11 ini dari semua RMK yang terdahulu adalah RMK kali ini akan menentukan kelangsungan satu visi dan wawasan yang telah diumumkan dan dihasratkan 30 tahun dahulu iaitu untuk mencapai status negara maju dalam acuan Malaysia sendiri.

Dengan mengekalkan ciri-ciri asas negara dan masyarakat sekian lama telah memupuk kekuatan dan ketahanan negara yang bercorak beberapa aspek kepelbagaian ketara serta menerap segala pembaharuan dan kemajuan yang sewajarnya untuk bertahan sebagai negara maju dalam jangka panjang.

Pelaksanaan berkesan dan efektif RMK-11 serta pencapaian sasaran-sasaran yang diharapkan pasti akan memberikan lonjakan untuk Malaysia mencapai taraf negara maju itu.

Pucuk pangkalnya ialah hasil dan keberkesanan pencapaian segala perancangan, program dan strategi yang terangkum dalam RMK-11 itu.

Wajar dikesan secara rapi dan berterusan tidak berlaku masalah seperti:

 Jurang antara perancangan dan pelaksanaan;

 Jurang yang mengecewakan antara harapan dan realiti;

 Ketirisan dan kebocoran perbelanjaan akibat perkara-perkara seperti rasuah, keputusan-keputusan yang tidak bijak, kelewatan pelaksanaan dan tertangguhnya projek-projek dan program-program;

 Halangan atau rintangan birokrasi atau politik

Dalam lima tahun akan datang yang dirangkumi oleh RMK-11 akan terdapat pelbagai cabaran kepada kerajaan dan negara. Cabaran-cabaran akan datang dari sumber luaran yang dicetuskan oleh antara lain:

 Pergolakan-pergolakan dalam persekitaran ekonomi global yang memberi kesan kepada ekonomi negara. Ini termasuk mamasalah ekonomi domestik dalam negara rakan dagangan utama Malaysia yang juga sumber-sumber penting pelaburan asing langsung atau direct foreign investments serta kesan-kesan langsung dan tidak langsung kepada kerajaan ekonomi negara apabila terdapat turun naik ketara harga petroleum serta mata wang asing, terutama mata wang utama dunia

 Ketidaktentuan politik dunia yang mencetuskan hakisan keyakinan serta ketidakstabilan politik dan sosial sama ada di peringkat serantau atau pun global.

Di peringkat domestik, Malaysia akan terus menghadapi cabaran-cabaran yang mana ada yang larutan daripada apa yang berlaku sekarang. Tidak boleh dinafikan bahawa sedang berlaku bibit-bibit permulaan krisis keyakinan.

Ada yang sememangnya berasas. Dan tidak kurang pula yang dicetuskan oleh tindakan-tindakan mengeruhkan keadaan serta menimbulkan pecah-belah. Dalam keadaan-keadaan yang mencabar ini wajar kerajaan mengeratkan hubungan dan komunikasi dengan rakyat.

Hubungan yang jelas dan terbuka di akar umbi. Bukan secara komunikasi buku teks atau yang bergantung kepada kain rentang, baju-t , slogan dan seruan.

Rakyat mempunyai banyak alternatif untuk mendapat berita dan cerita. Dalam beberapa saat sahaja cerita dan berita sama ada betul atau palsu akan sampai kepada rakyat melalui semua media. Dan lazimnya cerita yang tidak betul itu diolah sedemikian supaya menarik dan meyakinkan.

Media rasmi kerajaan biasanya tidak diminati. Dan media yang dianggap lidah kerajaan kerap kali terlalu menyokong kerajaan sehingga tidak dapat meyakinkan mereka yang ingin melihat berita-berita yang mereka anggap bernada objektif dan tidak berat sebelah.

Di zaman ini amat sukar meyakinkan rakyat terutama golongan muda. Mereka mempunyai tanda aras dan jangkaan sendiri. Mereka juga membuat penilaian yang berasaskan kriteria-kriteria seperti ketelusan dan keterbukaan, akauntabiliti dan integriti membuat keputusan.

Mereka tidak mudah diyakinkan dengan angka dan statistik. Dan mereka melihat kejayaan serta pencapaian mana-mana dasar dari kaca mata keseimbangan agihan faedah pembangunan dan sejauh mana mereka sebagai akar umbi masyarakat benar-benar akan menerima manfaat dasar-dasar dan program-program dalam RMK-11 itu.

Dalam masa lima tahun ini usaha mesti dilakukan dengan serius untuk memupuk semula keyakinan rakyat dan menjelaskan bagaimana destini mereka terpaut sama dengan destini negara. Mereka perlu benar-benar yakin bahawa apa yang dilakukan adalah untuk kepentingan dan faedah mereka. Dengan itu, tidak ada ruang untuk ‘bermain’ politik. Perlu diteruskan politik untuk pembangunan negara dan rakyat.

TAN SRI RAFIDAH AZIZ pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 35 tahun, menteri selama 28 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 38 tahun. Beliau kini ialah Profesor Adjung di Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) selain menjadi Pengerusi AirAsiaX, Megasteel dan Pinewood Iskandar Malaysia Studio.
 
Back
Top
Log in Register