combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,151
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,151
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
LHDN Kesan Taktik Guna Nama Gelandangan Untuk Elak Cukai
Pendaftaran syarikat menggunakan nama warga tempatan termasuk golongan gelandangan dikesan antara taktik digunakan segelintir warga asing bagi mengelak cukai menerusi kegiatan ekonomi bayangan.
Pengarah Cawangan Pembayar Cukai Asing Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Syarein Abu Samah berkata hasil siasatan dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun lepas, mendapati kira-kira 90 peratus kes ekonomi bayangan melibatkan penggunaan proksi bagi pemilikan syarikat.
Beliau berkata syarikat berkenaan didaftarkan menggunakan nama warga tempatan, namun operasi sebenar dikendalikan warga asing bagi mengaburi pihak berkuasa.
"Tetapi realitinya mereka ini (warga tempatan) sebagai penama sahaja. Lebih menarik, pemilik syarikat terbabit adalah golongan yang kurang bernasib baik. Sebagai contoh, mereka ini adalah golongan gelandangan yang tiada rumah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk Realiti dan Tanggungjawab Cukai Warga Asing di Wisma Bernama, di sini.
Bagaimanapun, Syarein berkata persepsi bahawa majoriti warga asing tidak membayar cukai adalah kurang tepat kerana golongan itu turut menjadi penyumbang kepada kutipan cukai pendapatan negara.
“Namun, masih terdapat segelintir pihak yang gagal melaporkan pendapatan, kurang melaporkan pendapatan atau sengaja melarikan cukai melalui ekonomi bayangan, termasuk melalui transaksi tanpa rekod, penggunaan proksi dan akaun pihak ketiga yang dikenali sebagai pengguna Alibaba,” katanya.
Beliau menegaskan semua warga asing yang menjana pendapatan di Malaysia sama ada melalui pekerjaan, perniagaan mahupun aktiviti lain tertakluk kepada undang-undang percukaian negara ini.
Mengulas peranan majikan, Syarein berkata majikan bertanggungjawab memastikan pekerja asing didaftarkan sebagai pembayar cukai di Malaysia, selain membuat Potongan Cukai Bulanan (PCB) sekiranya pendapatan pekerja melepasi paras pendapatan bercukai.