combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,142
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,142
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Lelaki Miliki 27 Rekod Jenayah Lampau Ditahan Pukul, Hiris Isteri
Polis menahan seorang lelaki tempatan yang mempunyai 27 rekod jenayah lampau selepas disyaki memukul dan menghiris isterinya menggunakan senjata tajam dalam kejadian di Cheras, baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Sazalee Adam berkata suspek berusia lingkungan 30-an dan tidak bekerja itu ditangkap sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di pekarangan IPD Dang Wangi pada 4.10 petang, 8 Sept lepas.
Beliau berkata kes berkenaan terbongkar selepas polis menerima laporan daripada seorang doktor Hospital Ampang pada 2.19 petang, 29 Ogos lepas, berhubung rawatan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 40-an yang disyaki dipukul dan dihiris.
"Mangsa mengalami kecederaan disyaki dipukul dan dihiris oleh suaminya menerusi perkahwinan adat yang tidak didaftarkan. Wanita itu dimasukkan ke wad ortopedik hospital berkenaan sebelum membuat laporan polis selepas dibenarkan keluar wad pada 4 Sept," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sazalee berkata semakan mendapati suspek mempunyai 27 rekod jenayah lampau, membabitkan 15 kes jenayah dan 12 kes dadah, manakala ujian saringan awal air kencingnya positif dadah.
Beliau berkata suspek telah direman selama enam hari hingga 14 Sept bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.