BTC USD 75,698.5 Gold USD 4,346.65
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Lelaki ditahan selepas aksi bahaya berpaut pada kereta bekas isteri

hiduprakyat

CG Top Poster Club
gem
Messages
27,488
Joined
Dec 6, 2010
Messages
27,488
Reaction score
1,681
Points
201


Lelaki ditahan selepas aksi bahaya berpaut pada kereta bekas isteri

Pasir Gudang: Perbuatan berbahaya seorang lelaki berpaut di kereta yang bergerak di jalan raya dipercayai berpunca akibat perselisihan faham dengan bekas isteri.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, semalam pihaknya mengesan suatu video tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki berpaut di luar kereta yang bergerak di jalan raya.


Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam mengesahkan menjalankan siasatan ke atas kejadian terbabit yang berlaku di kawasan Seri Alam pada jam 3.50 petang semalam.

Katanya, hasil siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara lelaki terbabit dengan seorang wanita yang juga bekas isterinya.

"Siasatan mendapati pada jam 3.30 petang semalam, pertelingkahan antara mereka bermula di sebuah pasar raya di Bandar Seri Alam di sini.

"Kemudian lelaki terbabit bertindak memanjat atas bonet dan berpaut di hadapan kereta yang dipandu wanita itu secara perlahan sejauh kira-kira dua kilometer.

"Kemudian sekumpulan lelaki dipercayai rakan kepada lelaki itu juga bertindak menghalang kereta terbabit.

"Mereka didapati memeras ugut dengan merampas barangan milik wanita itu dan memecahkan cermin kereta," katanya menerusi siaran media hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, seorang lelaki warga tempatan lingkungan 30 tahun ditahan pada 2 pagi hari ini di Jalan Persisiran Seri Alam, Masai, bagi membantu siasatan.


Katanya, hasil semakan mendapati suspek tiada sebarang rekod lampau kesalahan jenayah.

"Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif ketamin.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana sengaja melakukan pemerasan yang jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya.

"Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja melakukan perbuatan khianat terhadap harta benda, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

"Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu dengan sengaja menggunakan dadah, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000," katanya.

Beliau berkata, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan kes itu.

Menurutnya, kerjasama masyarakat amat dihargai untuk membolehkan siasatan dijalankan dengan teliti dan adil.


Semalam, akhbar ini melaporkan seorang lelaki berdepan risiko kehilangan nyawa apabila berpaut pada kenderaan yang bergerak di laluan di Bandar Seri Alam hingga menjadi tumpuan orang ramai.

Berdasarkan video tular, lelaki itu didapati berpaut di kereta jenis Suzuki Swift biru sebelum terjatuh.

Artikel➡️ Harian Metro
 
Back
Top
Log in Register