BTC USD 75,446.5 Gold USD 4,261.14
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Lebih 3,000 penduduk bergaji rendah SG akan terima makanan panas percuma

Bob_SG

Fun Poster
Messages
719
Joined
Jun 14, 2025
Messages
719
Reaction score
2
Points
25

Lebih 3,000 penduduk bergaji rendah SG akan terima makanan panas percuma​

screenshot_2026-08-21_130442.jpg

Penduduk di Tampines mengambil makanan daripada loker di bawah inisiatif Warm Meals @ North East, 21 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

SINGAPURA: Lebih 3,000 penduduk berpendapatan rendah di tiga kawasan akan menerima makanan panas percuma yang dihantar ke loker makanan berdekatan rumah mereka bermula September ini, di bawah satu program baharu yang dilancarkan pada Jumaat (21 Ogos).

Program yang dinamakan Warm Meals@North East ini dijangka membantu 1,000 isi rumah di kawasan Tampines, Punggol dan Pasir Ris-Changi, menurut Bank OCBC dan Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Timur Laut.

IKLAN

Di bawah program setahun ini, setiap isi rumah yang layak akan menerima kredit makanan bernilai S$500 - bersamaan kira-kira 165 hidangan makanan.

Kredit tersebut akan dimasukkan secara berperingkat bermula September ke dalam dompet digital keluarga terlibat menerusi satu aplikasi mudah alih.

Kredit itu boleh digunakan di kira-kira 30 loker makanan yang terletak di atau berdekatan kolong blok sewa Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) di kawasan-kawasan berkenaan.

Pengguna hanya perlu merimbas kod QR menggunakan aplikasi tersebut untuk membuka pintu loker.

Makanan panas ini disediakan pada waktu makan tengah hari dan makan malam.

IKLAN

Makanan tengah hari biasanya boleh diambil dari 12.00 tengah hari hingga 3.00 petang, manakala makan malam dari 5.00 petang hingga 8.00 malam, tertakluk kepada keperluan operasi.

"Memandangkan makanan disediakan segar setiap hari dan sejurus sebelum setiap waktu hidangan, tempoh penebusan tiga jam dikekalkan secara sengaja bagi memastikan mutu dan kesegarannya," kata OCBC dan CDC Timur Laut.

Hidangan yang dibekalkan oleh Kumpulan Chang Cheng ini merangkumi pelbagai jenis masakan dan disahkan halal.

Makanan ini direka khas untuk memberikan sajian seimbang yang mengandungi protein, sayur-sayuran dan karbohidrat.

Antara pilihan menu yang ditawarkan termasuk spageti berkrim bersama ayam panggang, udon ayam goreng, rendang ayam, nasi tahu vegetarian bersama sos cendawan, serta nasi ikan teriyaki.

IKLAN

"Pilihan menu akan ditukar secara berkala bagi memberikan kepelbagaian dan memenuhi selera serta keperluan diet yang berbeza, di mana penawaran makanan akan disemak dan dikemas kini berdasarkan kecenderungan serta maklum balas penerima," kata OCBC dan CDC Timur Laut.

Datuk Bandar Daerah Timur Laut, Baey Yam Keng, berkata akses kepada makanan berkhasiat merupakan "keperluan asas" bagi setiap keluarga, dan inisiatif ini "menjawab secara langsung" kebimbangan yang dibangkitkan oleh para penduduk tentang usaha mendapatkan makanan yang baik untuk kesihatan mereka.

"Kami berharap dapat meringankan tekanan harian dan memperkukuhkan sistem sokongan yang sedia ada untuk isi rumah berpendapatan rendah dalam masyarakat," tambah beliau.

Program ini dibiayai menerusi peruntukan gabungan S$500,000 daripada OCBC dan CDC Timur Laut, dengan sokongan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Ia telah dilancarkan pada Jumaat oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Masagos Zulkifli, Encik Baey, serta Ketua Jenama dan Komunikasi Kumpulan OCBC, Koh Ching Ching.

IKLAN

Encik Masagos dan Encik Baey juga merupakan penasihat kepada pertubuhan akar umbi GRC Tampines.

OCBC dan CDC Timur Laut menyatakan program ini menyediakan pilihan tambahan untuk hidangan yang panas dan berkhasiat apabila para penduduk memerlukan kemudahan secara cepat.

"Banyak keluarga ini mahu menyediakan makanan harian di rumah tetapi berdepan cabaran praktikal seperti tanggungjawab menjaga anggota keluarga, jadual kerja yang tidak menentu, serta komitmen lain yang kesuntukan masa," tambah mereka.

Bercakap di majlis pelancaran program tersebut di Tampines, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Masagos Zulkifli berkata: "Bagi kebanyakan kita, hidangan panas pada penghujung hari adalah sesuatu yang kita nikmati tetapi kerap kali diambil mudah.

"Bagi sesetengah keluarga, dapat menikmati hidangan yang panas dapat mengurangkan satu beban fikiran di tengah-tengah tuntutan kehidupan seharian," tambah beliau.

Menyusuli pelancaran awal di Tampines, Punggol dan Pasir Ris-Changi, program ini akan diperluaskan untuk membantu lebih banyak isi rumah berpendapatan rendah di seluruh kawasan Timur Laut Singapura.

Cik Koh berkata: "Tiada keluarga yang sepatutnya berasa bimbang tentang dari mana datangnya hidangan panas dan berkhasiat mereka yang seterusnya. Oleh itu, bekerjasama dengan MSF dan CDC Timur Laut untuk menyokong keluarga berpendapatan rendah adalah satu pilihan yang tepat bagi kami."

 
Back
Top
Log in Register