kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,698
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,698
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
KUSKOP Salur Pembiayaan RM25.27 Bilion Kepada Lebih 847,000 Usahawan Sejak 2024
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi di bawahnya meluluskan pembiayaan berjumlah RM25.27 bilion kepada 847,653 usahawan dan koperasi di seluruh negara bagi tempoh 2024 sehingga 31 Mei 2026.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin berkata suntikan dana tersebut bertujuan membantu usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta koperasi meningkatkan modal pusingan, mengembangkan kapasiti perniagaan, selain menaik taraf premis dan peralatan perniagaan mereka.
Beliau berkata keberkesanan skim pembiayaan berkenaan dinilai secara langsung menerusi prestasi pembayaran balik usahawan yang mencerminkan keupayaan mereka menjana pendapatan secara konsisten serta mengurus aliran tunai dengan berkesan.
“Ini menunjukkan bahawa pembiayaan yang disalurkan bukan sahaja membantu memenuhi keperluan modal perniagaan, malah turut menyumbang kepada daya tahan dan kelestarian perniagaan usahawan dalam jangka panjang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) yang ingin tahu mengenai keberkesanan skim pembiayaan di bawah agensi KUSKOP dalam membantu PMKS berkembang serta jumlah usahawan yang berjaya meningkatkan hasil perniagaan sejak 2024.
Mohamad berkata KUSKOP tidak menetapkan purata pembiayaan tidak berbayar (NPF) secara keseluruhan bagi semua agensi, sebaliknya diukur secara berasingan, dan menambah terdapat agensi yang menetapkan sasaran purata NPF di bawah 10 peratus.
"Sehingga Mei 2026, TEKUN Nasional merekodkan kadar purata NPF sebanyak 9.69 peratus, manakala SME Bank dan Bank Rakyat masing-masing mencatatkan 10.49 peratus dan 1.93 peratus. Kadar NPF bagi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pula berada pada tahap sangat cemerlang iaitu 0.01 peratus," katanya.
Beliau berkata inisiatif pembiayaan alternatif secara peer-to-peer (P2P) yang ditawarkan SME Corp turut menunjukkan keberkesanan tinggi negara dalam menyediakan akses modal yang pantas, fleksibel dan tanpa cagaran minimum melalui platform digital.
Menurut Mohamad, bagi tempoh Januari sehingga Mei 2026, pembiayaan alternatif berkenaan telah diluluskan kepada 39 PMKS mencecah nilai RM18.5 juta, dengan tempoh kelulusan dipercepat kepada tujuh hari atau kurang, berbanding 21 hari sebelum ini.