combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
KUSKOP Percepat Usaha Pengantarabangsaan PMKS Malaysia Ke Jepun
Kredit: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP)
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus mempergiat usaha mempercepat pengantarabangsaan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) Malaysia ke pasaran Asia Timur, khususnya Jepun.
KUSKOP dalam kenyataan hari ini memaklumkan, usaha itu dilaksanakan menerusi penyertaan menterinya Steven Sim dalam lawatan kerja rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Tokyo bermula hari ini hingga 10 Jun.
Lawatan berkenaan dijangka membuka lebih banyak peluang perdagangan, pelaburan serta akses pasaran antarabangsa bagi PMKS Malaysia di negara matahari terbit itu.
Menurut kenyataan itu, KUSKOP bersama-sama Bank Rakyat akan menganjurkan program Bank Rakyat BizMatch: Make Malaysian Businesses Great, yang diadakan bersempena dengan Nikkei Forum Future of Asia 2026, iaitu satu daripada forum ekonomi paling berpengaruh dan berprestij di dunia.
"Program yang menghimpunkan usahawan Malaysia dan Jepun itu bertujuan meneroka peluang perdagangan, pelaburan serta kerjasama perniagaan baharu, sekali gus memperkukuh kejayaan pelbagai inisiatif pengantarabangsaan PMKS oleh KUSKOP sebelum ini,"menurut kenyataan itu.
KUSKOP memaklumkan semasa pameran FOODEX Japan 2026 di Tokyo baru-baru ini, penyertaan 31 syarikat dan koperasi Malaysia berjaya menjana nilai jualan keseluruhan sebanyak RM350.8 juta merangkumi RM318.9 juta potensi jualan dan RM31.9 juta jualan sebenar.
Pencapaian berkenaan jauh melepasi sasaran awal RM80 juta potensi jualan, selain penyertaan itu turut menyaksikan pemeteraian empat memorandum persefahaman (MoU) dan dua memorandum perjanjian (MoA) antara syarikat Malaysia dengan rakan perniagaan antarabangsa.
Dalam kenyataan sama, Sim berkata kejayaan itu membuktikan produk serta perusahaan Malaysia mempunyai daya saing yang tinggi pada pasaran global, dan cabaran seterusnya adalah membantu lebih banyak syarikat tempatan berkembang ke peringkat serantau dan global.
Beliau berkata lawatan ke Jepun kali ini adalah kesinambungan kepada usaha KUSKOP untuk membuka lebih banyak peluang pasaran, memperluas rangkaian perniagaan, dan menarik kerjasama strategik yang boleh memberi manfaat kepada usahawan Malaysia.