kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,698
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,698
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini.
Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP 2027) dijangka membuka ruang lebih luas kepada pelajar arus perdana mempelajari Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) sebagai bahasa tambahan, sekali gus memperkukuh amalan keterangkuman serta meningkatkan kesedaran warga sekolah terhadap golongan orang kurang upaya (OKU).
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata inisiatif itu melengkapi usaha Kementerian Pendidikan (KPM) sejak 2011 dalam menyediakan mata pelajaran Bahasa Isyarat Komunikasi (BIK) dan Pendidikan Asas Individu Ketidakupayaan Penglihatan (PAIKUP) di sekolah rendah melalui Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Khas (KSSRPK).
Beliau berkata pelaksanaan mata pelajaran berkenaan melalui Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) membolehkan murid OKU dan pelajar arus perdana belajar bersama secara lebih inklusif, sama ada di dalam atau luar bilik darjah.
“Penyertaan murid arus perdana dapat meningkatkan pemahaman dan toleransi terhadap golongan OKU,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Wong berkata KP 2027 bukan sekadar membuka peluang kepada pelajar arus perdana di sekolah yang mempunyai kelas PPKI mempelajari BIM, malah turut menyemarakkan budaya sekolah inklusif yang menggalakkan integrasi sosial sejak peringkat awal.
Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperluas inisiatif membantu kanak-kanak OKU daripada keluarga miskin, termasuk aspek kebajikan dan pendidikan hingga mereka mencapai usia dewasa.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata usaha kerajaan tertumpu kepada lima fokus utama iaitu bantuan kebajikan dan sokongan kewangan, pendidikan inklusif dan pendidikan khas, pemulihan serta intervensi awal, latihan kemahiran dan kebolehkerjaan, serta dasar dan perlindungan undang-undang.
“Kami ingin memastikan setiap anak OKU keluarga miskin tidak terpinggir daripada peluang pembangunan dan pendidikan sejak kecil hingga dewasa,” katanya.
Dalam aspek kebajikan, Nancy berkata KPWKM menyalurkan skim bantuan seperti Bantuan Kanak-Kanak (BKK), Bantuan Am Persekutuan, Bantuan Anak Pelihara dan Bantuan Alat Tiruan.
Kurikulum Persekolahan 2027 Galak Pelajar Arus Perdana Kuasai Bahasa Isyarat
Dewan Negara, OKU, bahasa isyarat, mata pelajaran