combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Krisis Kewangan TH Boleh Dielak Sekiranya Amaran BNM Diambil Tindakan Sewajarnya - Zulkifli
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan ketika Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) di Bangunan Parlimen.
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Krisis kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) boleh dielakkan sekiranya institusi itu mengambil tindakan sewajarnya terhadap surat amaran berkaitan kedudukan kewangan, tahap rezab dan pengurusan kecairan TH yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sejak 2014.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata berdasarkan rekod, BNM telah mengeluarkan lima surat amaran kepada Pengerusi TH dan Menteri yang bertanggungjawab antara Ogos 2014 hingga September 2016.
“Sekiranya amaran tersebut ditangani dengan sewajarnya sejak 2014, masalah kewangan TH berkemungkinan dapat dibendung lebih awal dan keperluan kerajaan menyelamatkan TH dapat dielakkan.
“Sebaliknya, kedudukan kewangan TH terus merosot sehingga defisit aset-liabilitinya melebar kepada kira-kira RM10 bilion pada akhir 2018 yang memerlukan bailout daripada kerajaan untuk mengelak krisis kewangan yang lebih besar,” katanya.
Zulkifli berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH di Dewan Rakyat, hari ini.
Zulkifli berkata perkara itu disokong apabila RCI juga berpendapat bahawa TH tidak sepatutnya diberi Sijil Audit Bersih, sebaliknya perkara-perkara yang dinyatakan sebagai “Emphasis of Matter” sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan (qualified opinion).
Untuk makluman, BNM sejajar dengan fungsinya melibatkan kestabilan kewangan, sentiasa memantau perkembangan dalam institusi kewangan bukan bank termasuk TH.
“Berdasarkan pemantauan dan perbincangan yang dijalankan, BNM dimaklumkan tentang langkah-langkah yang diambil mengenai isu yang dibangkitkan BNM. Bagaimanapun, secara hakikatnya dan telah terbukti, tindakan TH bermula pada 2014, tidak langsung menunjukkan amaran dan peringatan BNM diberi perhatian serius,” katanya.
Beliau berkata perkara itu turut melibatkan pengisytiharan dividen ketika aset kurang daripada liabiliti yang berlawanan dengan Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995 [Akta 535] selain amalan pemberian hibah tidak berhemat dan tidak berpandukan kedudukan kewangan sebenar yang masih diteruskan hingga 2017.