combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
KPWKM Kaji Keperluan Pinda Akta Keganasan Rumah Tangga
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri bercakap pada sidang media selepas Program Toleransi Sifar Keganasan: Say No To Sexual Harassment di Hotel Premiera, Kuala Lumpur.
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menjalankan kajian bagi menilai keperluan meminda Akta Keganasan Rumah Tangga, susulan peningkatan kes yang dilaporkan sejak kebelakangan ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata kajian itu penting, bagi memastikan sebarang pindaan yang dicadangkan tidak bercanggah dengan undang-undang sedia ada.
“Akta ini bukan di bawah kementerian kami, namun kementerian akan terus bekerjasama rapat serta memberikan input-input penting dalam mesyuarat bersama dengan pihak berkaitan demi tindakan yang lebih efektif,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan: Say No to Sexual Harrasment, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keperluan meminda semula akta berkenaan, susulan peningkatan kes keganasan rumah tangga yang dipercayai mencecah 4,000 kes setiap hari.
Mengulas mengenai kes keganasan membabitkan seorang wanita yang ditikam di Kelantan, Nancy berkata kementerian akan bekerjasama rapat dengan PDRM dalam penyaluran laporan berkaitan, manakala tindakan penguatkuasaan undang-undang terletak di bawah bidang kuasa polis.
Beliau berkata dalam menangani kes keganasan terhadap wanita, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menghantar pegawai pelindung, bagi menyalurkan bantuan diperlukan kepada mangsa dan laporan pegawai berkenaan akan dijadikan rujukan utama polis untuk tindakan lanjut.
“Walaupun pelbagai program advokasi telah dijalankan, kes sebegini masih berlaku. Justeru, tindakan bersepadu bersama pihak polis amat kritikal, kerana apabila sesuatu kes diklasifikasikan sebagai kes rasmi, tindakan lanjut boleh diambil,” katanya.
Selain tindakan undang-undang, kementerian turut memastikan perkhidmatan kaunseling diberikan kepada mangsa untuk membantu memulihkan emosi mereka.
Nancy berkata peningkatan kes keganasan rumah tangga berpunca daripada kelemahan institusi kekeluargaan dan kegagalan menerapkan nilai murni sejak kecil.