kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,694
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,694
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
KPM Perkukuh Audit Sekolah, Teliti Insiden Keselamatan Secara Berasingan - Fadhlina
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti setiap insiden melibatkan keselamatan murid secara berasingan kerana setiap kes mempunyai faktor yang berbeza.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM akan memperkukuh audit keselamatan sekolah, termasuk melalui penubuhan jawatankuasa khas melibatkan pelbagai agensi dan organisasi bagi memastikan aspek keselamatan diberi perhatian serta ekosistem sekolah yang selamat dapat diwujudkan.
“Saya menegaskan juga bahawa setiap kes yang berlaku, kita akan lihat kes ini secara berasingan kerana ia melibatkan banyak faktor dan bukan sahaja isu keselamatan semata-mata, tetapi juga psikoemosi dan juga keadaan mental anak-anak ini.
“KPM mendapat sokongan penuh dan kepakaran daripada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) untuk memastikan soal terkait dengan bangunan, longkang, kebakaran diberikan bimbingan sepenuhnya dan juga dilatih oleh pihak NIOSH untuk memastikan ada penyelarasan keselamatan di peringkat sekolah,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) berhubung tindakan KPM dalam memastikan keselamatan murid di sekolah terus dipelihara.
Fadhlina berkata keselamatan dan perlindungan murid menjadi keutamaan KPM menerusi lima fokus utama iaitu pencegahan, pemantauan, pelaporan, intervensi dan penguatkuasaan yang disokong kerjasama strategik pelbagai kementerian dan agensi.
Beliau berkata Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat dan Polisi Perlindungan Murid Sekolah yang dilancarkan pada 11 Jun lepas menjadi rujukan utama semua institusi pendidikan dalam memperkukuh keselamatan fizikal, sosial dan emosi murid.
Selain itu, katanya Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan yang ditubuhkan pada Ogos 2025 turut dianggotai pelbagai kementerian, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, ahli akademik, dan wakil ibu bapa dan komuniti bagi menambah baik mekanisme keselamatan di institusi pendidikan.
Mengenai usaha membanteras buli, Fadhlina berkata KPM kini sedang mengemas kini garis panduan pengurusan kes buli selaras dengan Akta Antibuli 2026 yang berkuat kuasa pada 16 Jun lepas.