combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,182
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,182
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
KPKM Tekad Kurangkan Kebergantungan Import Input Pertanian, Tangkis Risiko Geopolitik
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mempergiat usaha mengurangkan kebergantungan terhadap input pertanian import menerusi pemerkasaan pengeluaran domestik sebagai persediaan mendepani ketidaktentuan geopolitik global.
Timbalan Menterinya Datuk Chan Foong Hing berkata langkah itu penting bagi memastikan rantaian bekalan makanan negara tidak terjejas oleh gangguan luaran, memandangkan sektor pengeluaran tempatan masih terdedah kepada impak global walaupun bekalan sesuatu komoditi mencukupi.
Sambil memberikan contoh sektor pengeluaran ayam yang kini stabil, beliau berkata kelangsungannya masih terikat kepada input pertanian tertentu yang sebahagian besarnya perlu diimport.
“Walaupun kita tiada masalah bekalan ayam, tetapi pengeluarannya bergantung kepada input pertanian yang perlu diimport, dan ini memerlukan perancangan yang baik bagi mengurangkan kebergantungan import,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.
Chan berkata pengajaran daripada konflik Rusia-Ukraine dan krisis di Asia Barat membuktikan bahawa keterjaminan makanan sesebuah negara berkait rapat dengan keupayaan menghasilkan makanan sendiri.
Beliau berkata meskipun harga baja dunia terkesan akibat gangguan rantaian bekalan di Selat Hormuz, Malaysia setakat ini berada dalam kedudukan baik dan tidak mengalami gangguan bekalan bahan api yang boleh menjejaskan kegiatan pertanian.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata ketidaktentuan geopolitik masa kini memperlihatkan kepentingan memperkukuh keterjaminan makanan kerana sebarang gangguan bekalan akan memberikan impak langsung kepada kehidupan rakyat tanpa mengira status ekonomi mereka.
"Justeru, penglibatan lebih ramai rakyat dalam sektor pertanian perlu digalakkan, termasuk generasi muda yang boleh meneroka peluang pekerjaan dan keusahawanan dalam industri berkenaan," katanya.
Selain itu, Chan berkata KPKM kini memberikan perhatian khusus kepada beberapa bidang strategik, termasuk penanaman jagung bijian, bawang serta pengukuhan produktiviti padi melalui sokongan padu kepada pesawah.