combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
KPKM Pergiat Usaha Hasilkan Benih Tanaman Tempatan, Kurangkan Import
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Sistem Pengurusan Air (SPARK) Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mempergiatkan usaha menghasilkan pelbagai varieti benih tanaman tempatan bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap benih import.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kebergantungan tinggi terhadap sumber benih tanaman luar mendedahkan industri tempatan kepada risiko gangguan rantaian bekalan, sekatan perdagangan dan peningkatan kos input pertanian.
Selain itu, beliau berkata langkah berkenaan bertujuan melindungi petani tempatan daripada benih yang tidak tulen atau tidak menepati piawaian yang boleh menjejaskan hasil serta pendapatan mereka.
“Kedaulatan makanan tidak akan dapat dicapai sepenuhnya jika kebergantungan ini berterusan. Ketika ini, hampir 90 peratus keperluan biji benih sayur-sayuran negara masih diimport.
“Malah, nilai import benih tanaman telah meningkat dengan ketara, daripada sekitar USD5 juta pada 2021 kepada USD70 juta pada 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pemerkasaan Industri Benih Tanaman Negara sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia di sini hari ini.
Mohamad berkata bagi tujuan itu, KPKM kini berada pada fasa akhir penggubalan Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman (RUU) di samping melaksanakan pindaan terhadap Akta Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan 2004 (Akta 634) agar setara dengan piawaian antarabangsa.
Menurut Mohamad, RUU itu kelak apabila diluluskan Parlimen akan menjadi instrumen penting dalam memperkemas kawal selia industri benih negara.
“Melalui perundangan itu, pihak yang terlibat di sepanjang rantaian benih, termasuk pengeluar, pemproses, pengedar, penjual, pengimport dan pengeksport perlu mematuhi standard kualiti yang ditetapkan.