combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2026 Himpun Lebih 400 Peserta Bincang Transformasi Pengurusan Baitulmal
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Konvensyen Baitulmal Kebangsaan (KBK) 2026 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini. Turut hadir Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Datuk Zulkifli Ali (dua, kanan) dan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Datuk Mohd Zaidi Ramli (dua, kiri).
Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), menganjurkan Konvensyen Baitulmal Kebangsaan (KBK) 2026 selama dua hari, bagi membincangkan hala tuju dan transformasi pengurusan baitulmal di Malaysia.
Konvensyen yang berlangsung di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu, merupakan siri keenam konvensyen dwitahunan yang menjadi platform utama menghimpunkan institusi pengurusan baitulmal, wakaf, zakat, sumber am, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, pakar akademik serta pengamal industri, bagi membincangkan hala tuju dan transformasi pengurusan baitulmal di negara ini.
Konvensyen bermula hari ini itu turut menghimpunkan lebih 400 peserta terdiri daripada wakil Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Agensi Mengurus Zakat (AMZ), Agensi Mengurus Wakaf (AMW), Agensi Mengurus Sumber Am (ASA), Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi-agensi Kerajaan Persekutuan serta pembentang undangan.
Ketua Pengarah JAWHAR Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata dengan bertemakan Wawasan Baharu Kewangan Sosial Islam: Transformasi Baitulmal, Memperkasakan Agenda Fardu Kifayah, konvensyen itu bertujuan untuk merangka hala tuju dan strategi dalam memperkasakan sosioekonomi ummah berteraskan sektor ekonomi fardu kifayah, meningkatkan kompetensi institusi pengurusan baitulmal melalui perkongsian kepakaran, pengalaman dan amalan terbaik.
Beliau berkata selain itu, ia turut memperkukuh persefahaman dan kerjasama strategik antara JAWHAR dengan institusi pengurusan baitulmal di seluruh negara.
“Sepanjang dua hari penganjuran, peserta akan mengikuti pelbagai sesi pembentangan, forum dan perkongsian ilmu, yang menampilkan tokoh-tokoh berpengalaman dalam bidang kewangan sosial Islam, sekali gus menjadi medan percambahan idea bagi memperkukuh tadbir urus institusi baitulmal agar terus relevan, inovatif dan berimpak tinggi kepada pembangunan negara,” katanya.
Konvensyen Baitulmal Kebangsaan (KBK) 2026 itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan turut dihadiri Yang Dipertua MAIDAM Datuk Zulkifli Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM Prof Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan.
Sementara itu, Dr Zulkifli berkata institusi Baitulmal di seluruh negara perlu diperkasakan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi umat, menerusi pendekatan yang lebih progresif dengan memanfaatkan teknologi digital serta instrumen kewangan sosial Islam yang inovatif.
“Alhamdulillah...kita berjaya menghimpunkan lebih 400 hadirin yang terdiri daripada golongan profesional, pembuat dasar serta perancang dasar pada hari ini. Konvensyen ini membincangkan konteks kewangan sosial Islam, dengan Baitulmal bukan sahaja berperanan dalam aspek distributif iaitu pengagihan, tetapi juga berperanan secara generatif dalam menjana ekonomi dan pertumbuhan ekonomi umat.