BTC USD 86,656.4 Gold USD 4,353.50
Time now: Jun 1, 12:00 AM

KONGSI.. SATU hari SATU hadis

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Larangan Tergesa-gesa Dalam Berdoa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يُسْتَجَابُ لِأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجَلْ يَقُولُ دَعَوْتُ فَلَمْ يُسْتَجَبْ لِي

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW baginda bersabda: Akan dikabulkan doa salah seorang diantara kalian selama ia tidak terburu-buru, maksud terburu-buru, ia berkata; aku telah berdoa namun tidak dikabulkan doaku. (HR Tirmizi No: 3309) Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Berdoa adalah ibadah. Hendaklah seorang Muslim memperhatikan adab-adab dan syarat-syarat dalam berdoa yang merupakan sebab dikabulkan doa.

2. Antara adab ketika berdoa ialah tidak terburu-buru dalam berdoa.

3. Antara sifat terburu-buru yang dilarang ketika berdoa ialah tidak sabar untuk segera diperkenankan dengan berkata: “Aku sudah berdoa kepada Allah tapi kenapa Allah tak juga mengabulkan doaku.? Perkataan itu keluar dari seseorang yang lemah hatinya dan dia tidak yakin sepenuhnya kepada Allah. Bagaimana mungkin doanya akan diperkenankan.

4. Menurut Imam al-Nawawi, hadis ini mengajar kita untuk tidak berputus asa dalam berdoa, walaupun doa itu belum diperkenankan dalam waktu yang cepat. Allah SWT Maha Mengetahui masa terbaik untuk mengabulkan sesuatu permintaan hambanya.


5. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh tanpa merasa jemu dan bosan. Yakinlah, setiap kali kita berdoa ia adalah ibadah untuk kita. Yakinlah doa kita tetap akan dikabulkan. Yakinlah kita dengan Firman Allah:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ

Maksudnya: “Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdo’a apabila dia berdo’a kepada Ku.” (Surah Al-Baqarah ayat: 186).

6. Jangan berputus asa dalam berdoa, terus berdoa dengan yakin dan sentiasa bersangka baik terhadap Allah.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

16hb Safar 1447H
10hb Ogos 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Berpakaian Baharu

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: كَانَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اسْتَجَدَّ ثَوْبًا سَمَّاهُ بِاسْمِهِ، عِمَامَةً أَوْ قَمِيصًا أَوْ رِدَاءً، ثُمَّ يَقُولُ: اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ، أَنْتَ كَسَوْتَنِيهِ، أَسْأَلُكَ خَيْرَهُ، وَخَيْرَ مَا صُنِعَ لَهُ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ، وَشَرِّ مَا صُنِعَ لَهُ

Daripada Abu Said al-Khudri menceritakan bahawa apabila Rasulullah SAW memakai pakaian baru, Baginda akan menamakainya mengikut jenisnya seperti serban, baju atau selendang, kemudian Baginda berdoa: 'Ya Allah, bagi-Mu segala puji. Engkaulah yang telah memberikanku pakaian ini. Aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan tujuan ia diciptakan, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukannya dan keburukan tujuan ia diciptakan.'" (HR Abu Daud No: 4020) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Mensyukuri nikmat berpakaian tanpa mengira pakaian itu biasa atau mewah, ia tetap kurniaan Allah.

2. Berdoa ketika menerima nikmat baru, seperti pakaian baharu, adalah sunnah yang patut diamalkan.

3. Setiap nikmat ada potensi baik dan buruknya, justeru kita diajar agar sentiasa memohon kepada Allah untuk diberi kebaikan dan dijauhkan keburukan daripada pakaian yang kita pakai.

4. Antara doa ketika memakai pakaian baharu ialah melahirkan rasa Syukur dengan lafaz pujian kepada Allah di samping memohon kebaikan pakaian tersebut, kebaikan tujuan ia diperbuat juga perlindungan daripada keburukan pakaian tersebut seperti riak atau digunakan untuk perkara maksiat.

اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ، أَنْتَ كَسَوْتَنِيهِ، أَسْأَلُكَ خَيْرَهُ، وَخَيْرَ مَا صُنِعَ لَهُ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ، وَشَرِّ مَا صُنِعَ لَهُ

Maksudnya: 'Ya Allah, bagi-Mu segala puji. Engkaulah yang telah memberikanku pakaian ini. Aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan tujuan ia diciptakan, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukannya dan keburukan tujuan ia diciptakan.'

5. Doa ini mendidik hati agar bersikap tawaduk dan bersandar hanya kepada Allah dalam setiap urusan, termasuk hal kecil seperti berpakaian.

6. Hadis ini mengajarkan kesyukuran, kesedaran dan akhlak mulia dalam perkara seharian seperti memakai pakaian baharu.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

17hb Safar 1447H
11hb Ogos 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bunyi Terompah Bilal Di Syurga

عن أبي هريرة رضى الله عنه : أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِبِلَالٍ عِنْدَ صَلَاةِ الْفَجْرِ يَا بِلَالُ حَدِّثْنِي بِأَرْجَى عَمَلٍ عَمِلْتَهُ فِي الْإِسْلَامِ فَإِنِّي سَمِعْتُ دَفَّ نَعْلَيْكَ بَيْنَ يَدَيَّ فِي الْجَنَّةِ قَالَ مَا عَمِلْتُ عَمَلًا أَرْجَى عِنْدِي أَنِّي لَمْ أَتَطَهَّرْ طُهُورًا فِي سَاعَةِ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ إِلَّا صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُورِ مَا كُتِبَ لِي أَنْ أُصَلِّيَ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW berkata kepada Bilal RA ketika solat Subuh: "Wahai Bilal, ceritakan kepadaku amalan yang paling engkau harapkan ganjarannya dalam Islam, kerana sesungguhnya aku mendengar suara terompahmu di hadapanku di dalam syurga."
Lalu Bilal menjawab: "Aku tidak melakukan satu amalan pun yang paling aku harapkan ganjarannya selain daripada setiap kali aku berwuduk pada waktu malam atau siang, aku akan solat dengannya (wuduk itu) sebanyak yang ditakdirkan untukku solat." (HR Bukhari No: 1149) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Hadis ini menunjukkan keutamaan menjaga wuduk dan solat sunat selepas berwuduk, walaupun hanya dua rakaat. Amalan itu tidak semestinya besar, tetapi konsisten dan ikhlas, seperti yang dilakukan oleh Bilal bin Rabbah.

2. Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan bahawa bunyi terompah Bilal yang didengar oleh Nabi menandakan kedudukan tinggi Bilal di syurga dan Nabi bertanya bukan kerana tidak tahu, tetapi untuk mendidik umatnya tentang kelebihan amalan Bilal.

3. Amalan Bilal penghuni Syurga walaupun kecil namun dilakukan dengan istiqamah iaitu sentiasa menjaga wuduk dan melaksanakan solat sunat selepas wuduk .

4. Perbuatan Bilal menunjukkan bahawa wuduk bukan hanya persediaan untuk solat wajib, tetapi juga pembuka kepada solat sunat yang membawa keampunan dan pahala besar.

5. Hadis ini menerangkan bahawa amalan ikhlas dan istiqamah, walaupun kecil, mampu menjadi sebab masuk syurga. Bilal bin Rabah r.a. tidak menyebut jihad, puasa, atau sedekah besar, tetapi hanya amalan berwuduk dan solat sunat selepas berwuduk yang dilakukannya secara tetap dan ikhlas.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

18hb Safar 1447H
12hb Ogos 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Cara Berwuduk Sempurna

عَنْ ‌حُمْرَانَ مَوْلَى عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ رضي الله عنه: أَنَّهُ رَأَى عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ دَعَا بِوَضُوءٍ، فَأَفْرَغَ عَلَى يَدَيْهِ مِنْ إِنَائِهِ، فَغَسَلَهُمَا ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَمِينَهُ فِي الْوَضُوءِ، ثُمَّ تَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ وَاسْتَنْثَرَ، ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثَلَاثًا، وَيَدَيْهِ إِلَى الْمِرْفَقَيْنِ ثَلَاثًا، ثُمَّ مَسَحَ بِرَأْسِهِ، ثُمَّ غَسَلَ كُلَّ رِجْلٍ ثَلَاثًا، ثُمَّ قَالَ: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَوَضَّأُ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا، وَقَالَ: مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ لَا يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ غَفَرَ اللهُ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Daripada Humran, maula (pembantu) kepada Saidina Uthman bin ‘Affan RA meriwayatkan bahawa dia pernah melihat Saidina Uthman meminta air untuk berwuduk. Lantas ia menuangkan air dari bekasnya ke kedua tangannya lalu membasuhnya tiga kali, lalu memasukkan tangan kanannya ke air wuduk kemudian berkumur-kumur, memasukkan air ke hidung dan mengeluarkannya. Setelah itu, ia membasuh mukanya tiga kali dan kedua tangannya sampai ke siku tiga kali. Lalu ia mengusap kepalanya, kemudian membasuh setiap kakinya tiga kali. Kemudian ia berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Barangsiapa yang berwuduk seperti wudukku ini, kemudian mendirikan solat dua rakaat dan tidak bercakap dengan dirinya (tidak lalai), nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (HR Bukhari No: 159) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Hadis ini menjadi dalil utama bagi tatacara wuduk Nabi SAW, ia merangkumi semua rukun dan sunat wuduk secara tertib bermula dari membasuh kedua tangan, berkumur-kumur, memasukkan air ke hidung dan mengeluarkannya, membasuh muka, membasuk kedua tangan hingga ke siku, menyapu kepala, dan membasuh kaki hingga ke buku lali semuanya dilakukan sebanyak tiga kali.

2. Dua rakaat solat sunat selepas wuduk bukan sekadar solat biasa, tetapi penyempurna wuduk yang membawa keampunan dosa jika dilakukan dengan khusyuk.

3. Imam Malik berpendapat bahawa wuduk yang sempurna dan disusuli solat sunat selepasnya menunjukkan penyucian fizikal dan rohani, yang menyebabkan seseorang layak menerima keampunan daripada Allah SWT.

4. Khusyuk dalam solat adalah kunci kepada penerimaan ibadah dan pengampunan dosa.

5. Hadis ini memberikan panduan lengkap tentang tatacara wuduk Nabi SAW, dan ganjaran besar kepada sesiapa yang mencontohi cara tersebut. Solat sunat wuduk yang dilakukan dengan penuh khusyuk adalah ibadah yang mendalam dan membawa keampunan dosa-dosa yang lalu.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

19hb Safar 1447H
13hb Ogos 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Anggota Wuduk Bercahaya

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ أُمَّتِي يَأْتُونَ يَوْمَ القِيَامَةِ غُرًّا مُحَجَّلِينَ مِنْ آثَارِ الوُضُوءِ، فَمَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يُطِيلَ غُرَّتَهُ فَلْيَفْعَلْ

Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata bahawa aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat dalam keadaan wajah, tangan dan kaki mereka bercahaya disebabkan kesan wuduk. Maka sesiapa yang mampu memanjangkan cahaya (kesan wuduk) itu, hendaklah dia melakukannya." (HR Bukhari No:136) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Wuduk adalah lambang cahaya keimanan di akhirat. Orang beriman dikenali melalui kesan anggota wuduk mereka. Pada hari kiamat, umat Nabi Muhammad SAW akan dikenali dengan tanda cahaya pada anggota wuduk mereka.

2. Amalan wuduk bukan hanya persediaan untuk solat, tetapi ibadah itu sendiri yang akan memberi manfaat besar di akhirat.

3. Wuduk bukan sekadar menyucikan tubuh, tetapi melakar cahaya akhirat yang akan menyinari kita di hadapan Allah kelak.

4. Imam An-Nawawi menerangkan digalakkan meluaskan sedikit kawasan basuhan wuduk – sunat (seperti melewatkan sempadan siku atau buku lali), dengan syarat tidak berlebihan.

5. Hadis ini mengangkat ibadah wuduk sebagai tanda kemuliaan umat Islam pada hari kiamat. Kesan wuduk akan menjadi sinar pengenalan di akhirat, maka kita digalakkan untuk memperelok dan menyempurnakan wuduk, malah menambah sedikit basuhan (tanpa berlebihan) bagi menzahirkan kesungguhan dalam ibadah.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

20hb Safar 1447H
14hb Ogos 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Wuduk Menghapuskan Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا تَوَضَّأَ الْعَبْدُ الْمُسْلِمُ، أَوِ الْمُؤْمِنُ، فَغَسَلَ وَجْهَهُ، خَرَجَ مِنْ وَجْهِهِ كُلُّ خَطِيئَةٍ نَظَرَ إِلَيْهَا بِعَيْنَيْهِ مَعَ الْمَاءِ، أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ، فَإِذَا غَسَلَ يَدَيْهِ، خَرَجَ مِنْ يَدَيْهِ كُلُّ خَطِيئَةٍ كَانَ بَطَشَتْهَا يَدَاهُ مَعَ الْمَاءِ، أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ، فَإِذَا غَسَلَ رِجْلَيْهِ، خَرَجَتْ كُلُّ خَطِيئَةٍ مَشَتْهَا رِجْلَاهُ مَعَ الْمَاءِ، أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ، حَتَّى يَخْرُجَ نَقِيًّا مِنَ الذُّنُوبِ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang hamba Muslim atau Mukmin berwuduk, lalu dia membasuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya setiap dosa yang dilihat oleh matanya bersama air atau bersama titisan terakhir air. Apabila dia membasuh kedua tangannya, keluarlah setiap dosa yang dilakukan oleh tangannya bersama air atau bersama titisan terakhir air. Dan apabila dia membasuh kedua kakinya, keluarlah setiap dosa yang dilakukan oleh kakinya ketika berjalan, bersama air atau bersama titisan terakhir air hingga dia keluar dalam keadaan suci daripada dosa-dosa.” (HR Muslim No: 244) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Menurut Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan bahawa wuduk bukan hanya menyucikan tubuh secara zahir, tetapi juga menyucikan hati dan roh dengan menghapus dosa-dosa kecil yang dilakukan oleh anggota tubuh. Setiap kali seseorang membasuh anggota wuduk, dosanya yang berkaitan dengan anggota tersebut akan diampunkan.

2. Ulama berpendapat bahawa dosa yang diampunkan melalui wuduk adalah dosa-dosa kecil yang berkaitan dengan perbuatan anggota badan seperti melihat perkara haram, menyentuh perkara dosa, berjalan ke tempat maksiat, dan sebagainya. Manakala dosa besar memerlukan taubat nasuhah.

3. Setiap anggota badan memainkan peranan dalam penentuan dosa dan pahala. Maka, perlu dijaga dengan baik anggota mata, tangan, kaki dan lain-lain.

4. Pentingnya kesempurnaan dan keikhlasan dalam berwuduk yang dilakukan dengan penuh tumpuan, tertib dan niat yang betul akan membawa kepada keampunan Allah.

5. Wuduk boleh menjadi penyebab kepada pengampunan dosa, oleh itu wuduk perlu dilakukan dengan sempurna dan penuh penghayatan, bukan sekadar sambil lewa.

6. Islam mengajar bahawa kebersihan luaran membawa kepada kebersihan dalaman, dan ini mendekatkan diri kepada Allah.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

21hb Safar 1447H
15hb Ogos 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kelebihan Sujud Dalam Solat

عَنْ ثَوْبَانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْجُدُ لِلَّهِ سَجْدَةً، إِلَّا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِهَا حَسَنَةً، وَحَطَّ عَنْهُ بِهَا سَيِّئَةً، وَرَفَعَ لَهُ بِهَا دَرَجَةً، فَاسْتَكْثِرُوا مِنَ السُّجُودِ

Daripada Thawban RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: Tiada seorang hamba pun yang bersujud kepada Allah dengan satu sujud, melainkan Allah akan menulis untuknya satu kebaikan, menghapuskan daripadanya satu dosa (keburukan), dan mengangkatnya satu darjat. Maka perbanyakkanlah sujud. (HR Muslim No: 488) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Menurut Imam al-Nawawi, hadis ini menunjukkan kelebihan sujud sebagai bentuk ibadah yang sangat mulia. Sujud merupakan tempat paling dekat antara seorang hamba dengan Tuhannya.

2. Sujud bukan hanya dalam solat fardhu, tetapi juga termasuk sujud dalam solat sunat, sujud tilawah, dan sujud syukur. Hal ini memperlihat bahawa amalan sujud mempunyai kesan rohani yang sangat besar.

3. Ibn Hajar al-Asqalani menegaskan bahawa tiga ganjaran yang disebut dalam hadis ini untuk orang yang sujud iaitu penambahan pahala, penghapusan dosa, dan peningkatan darjat adalah tanda kasih sayang dan kemurahan Allah SWT terhadap hamba-Nya.

4. Hadis ini menggalakan agar memperbanyak sujud sebagai galakan untuk memperbanyak solat, khususnya solat sunat, kerana setiap kali sujud dalam solat membawa kepada ganjaran tersebut.

5. Memperbanyak sujud bermakna memperbanyak peluang untuk mendapat rahmat dan keampunan Allah serta mendekatkan diri kepada Allah.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

22hb Safar 1447H
16hb Ogos 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Perbanyakkan Doa Ketika Sujud

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Waktu paling hampir seorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika dia sedang sujud, maka perbanyakkan doa. (HR Muslim no: 482) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sujud adalah kedudukan paling istimewa dalam solat. Waktu sujud adalah posisi fizikal yang menunjukkan penghinaan diri secara mutlak kepada Allah dan paling hampir kepada-Nya.

2. Ibn Rajab al-Hanbali menjelaskan bahawa kedudukan paling hampir dalam hadis ini bukan secara fizikal, tetapi dari segi kedudukan kerohanian dan kemuliaan, kerana sujud melambangkan puncak kehinaan diri di hadapan Allah dan kerendahan hati sepenuhnya.

3. Imam al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din menyebut bahawa hati yang hadir dan penuh tumpuan dalam sujud adalah kunci utama doa dimakbulkan, dan ketika itu jiwa sangat hampir dengan rahmat Ilahi.

4. Doa adalah senjata Mukmin. Perbanyakkan doa ketika sujud kerana ia antara tempat mustajabnya doa.

5. Hadis ini mendidik kita bahawa sujud adalah waktu paling hampir antara seorang hamba dengan Tuhannya, dan oleh itu kita dianjurkan memperbanyak doa dalam keadaan tersebut. Sujud mengisyaratkan bahawa kedekatan kepada Allah bukan melalui kedudukan duniawi atau fizikal, tetapi melalui pengabdian yang ikhlas dan tunduk hati dalam ibadah.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

23hb Safar 1447H
17hb Ogos 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sujud Mengugurkan Dosa

عَنْ سَلْمَانَ الْفَارِسِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ الْمُسْلِمَ لِيُصَلِّيَ وَخَطَايَاهُ مَوْضُوعَةٌ عَلَى رَأْسِهِ ، فَكُلَّمَا سَجَدَ تَحَاتَّتْ عَنْهُ ، فَتَفْرُغُ حِينَ يَفْرُغُ مِنْ صَلَاتِهِ ، وَقَدْ تَحَاتَّتْ خَطَايَاهُ

Daripada Salman al-Farisi RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya seorang Muslim apabila dia solat, dosa-dosanya diletakkan di atas kepalanya. Maka setiap kali dia sujud, dosa-dosa itu gugur daripadanya. Maka apabila dia selesai solat, dia pun telah selesai dalam keadaan dosa-dosanya telah gugur daripadanya." (HR Tabarani No: 1153 dalam al-Mu‘jam al-Kabir, dan disebut juga oleh al-Mundhiri dalam al-Targhib wa al-Tarhib) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Kepentingan Solat dalam kehidupan Muslim bukan sahaja tuntutan ibadah, tetapi juga jalan penyucian diri daripada dosa yang boleh mencemari hati dan iman.

2. Sujud bukan sekadar gerakan fizikal, tetapi ia mempunyai dimensi rohani yang mendalam. Sujud adalah kedudukan paling hampir antara hamba dan Tuhannya, dan pada saat itu rahmat dan keampunan Allah sangat dekat.

3. Menurut Imam al-Nawawi, pengampunan ini merujuk kepada dosa-dosa kecil, sementara dosa besar memerlukan taubat yang khusus. Maka, solat menjadi sebab penghapusan dosa-dosa kecil.

4. Hadis ini mengingatkan kita bahawa solat bukan hanya kewajipan, tetapi anugerah dan rahmat. Malah orang yang solat berpeluang berulang-ulang untuk membersihkan diri daripada dosa. Sujud dalam solat menjadi lambang penyerahan diri dan penghinaan ego, yang dengannya Allah memuliakan dan mengampunkan hamba-hamba-Nya.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

24hb Safar 1447H
18hb Ogos 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Warganegara Terbaik

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَفَ عَلَى أُنَاسٍ جُلُوسٍ فَقَالَ أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِكُمْ مِنْ شَرِّكُمْ قَالَ فَسَكَتُوا فَقَالَ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ فَقَالَ رَجُلٌ بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ أَخْبِرْنَا بِخَيْرِنَا مِنْ شَرِّنَا قَالَ : " خَيْرُكُمْ مَنْ يُرْجَى خَيْرُهُ وَيُؤْمَنُ شَرُّهُ وَشَرُّكُمْ مَنْ لَا يُرْجَى خَيْرُهُ وَلَا يُؤْمَنُ شَرُّهُ

Daripada Abu Hurarirah RA berkata, “Nabi SAW melewati sekelompok orang yang sedang duduk. Baginda SAW bersabda, “Mahukah aku beritahu kalian, orang yang terbaik di antara yang terburuk dalam kalangan kalian?” Mereka pun terdiam. Rasulullah SAW pun mengulangi pertanyaan tersebut sampai tiga kali. Kemudian mereka pun menjawab, “ya, wahai Rasulullah! Beritahu kepada kami siapakah orang yang terbaik di antara yang terburuk di antara kami.” Rasulullah SAW kemudian bersabda,“Manusia terbaik di antara kalian adalah yang diharapkan kebaikannya dan orang lain merasa aman dari gangguannya. Manusia terburuk di antara kalian adalah yang tidak diharapkan kebaikannya dan orang lain juga tidak merasa aman dari gangguannya.” (Sunan Tirmidzi no. 2263) Status: Sahih dalam Shahih Al-Jami’ no. 2603.

Pengajaran:

1. Manusia yang terbaik adalah yang sentiasa mendatangkan kebaikan kepada orang lain dan orang lain merasa aman dari gangguannya.

2. Manusia terburuk adalah yang tidak mendatangkan kebaikan kepada orang lain malah orang lain merasa tidak aman dari gangguannya

3. Jadikanlah kehadiran kita ditengah-tengah masyarakat sebagai orang yang bermanfaat dan dirasai kebaikan oleh orang lain. Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain. (HR Ibn Hibban No: 2/48)

4. Orang yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat pada orang lain. Sabda Rasulullah SAW:

أحَبُّ النَّاسِ إلى اللهِ أنفَعُهم للنَّاسِ

Orang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain. (Riwayat at-Tabarani) Al-Mu’jam Al-Ausot, no.hadis dan juzu’ : 6/139

Marilah kita berusaha untuk menjadi warganegara yang bermanfaat dan jauh dari menjadi musibah dan mudarat kepada masyarakat dan negara.

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025
Malaysia Madani: Rakyat Disantuni

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

25hb Safar 1447H
19hb Ogos 2025
 
Back
Top
Log in Register