BTC USD 84,799.8 Gold USD 4,285.46
Time now: Jun 1, 12:00 AM

KONGSI.. SATU hari SATU hadis

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Lafaz Talbiah Adalah Pengistiharan Ketundukan

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ السَّاعِدِيِّ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ "‏ مَا مِنْ مُلَبٍّ يُلَبِّي إِلاَّ لَبَّى مَا عَنْ يَمِينِهِ وَشِمَالِهِ مِنْ حَجَرٍ أَوْ شَجَرٍ أَوْ مَدَرٍ حَتَّى تَنْقَطِعَ الأَرْضُ مِنْ هَا هُنَا وَهَا هُنَا

Daripada Sahl bin Sa’di as-Saa’idi daripada Rasulullah SAW baginda bersabda: "Tidak ada seorang yang bertalbiah (dengan ikhlas) melainkan segala sesuatu di sebelah kanannya dan kirinya dari batu, pokok atau tanah liat, akan turut bertalbiah bersamanya, hingga bumi ini terputus dari arah sana dan sini (yakni sejauh pendengaran atau ke seluruh penjuru)." (Sunan Ibn Majah No: 2921) Status Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Ucapan talbiah "لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ" bermaksud: “Aku sahut panggilan-Mu ya Allah, aku sahut seruan-Mu.” Adalah lafaz untuk mereka yang sedang mengerjakan ibadah umrah dan haji. Lafaz talbiah ini adalah pengistiharan ketundukan seorang hamba.

2. Lafaz talbiah menandakan kesediaan mutlak seorang hamba menyambut panggilan Allah, dan alam yang terdiri daripada batu, pokok serta tanah turut menyambut seruan menyokong serta mengiringi pengabdian tersebut.

3. Mengikut ulama, makhluk alam seperti batu, pokok juga tanah menyambut seruan adalah ungkapan kiasan yang menggambarkan keberkatan dan besarnya kesan zikir tersebut, sehingga seluruh alam seperti bersama bertalbiah.

4. Sebahagian ulama menyebut bahawa hadis ini juga menunjukkan kemuliaan orang yang bertalbiah dengan hati yang bersih, kerana alam turut mendoakan dan menyertai mereka, seolah-olah ia adalah tanda talbiah itu diterima di sisi Allah.

5. Bagi mereka yang menunaikan ibadat haji atau umrah, lafazkan talbiah dengan sepenuh hati serta penuh kekhusyukan. Ketahuilah bahawa anda sedang berinteraksi dengan seluruh ciptaan Allah.

6. Besarnya ganjaran Talbiah dimana setiap kali Jemaah umrah dan haji menyebut talbiah dengan ikhlas, dia sebenarnya disertai oleh seluruh alam, membesarkan Allah bersama-sama. Ia memberi motivasi kepada jemaah haji dan umrah untuk memperbanyakkan talbiah dengan penuh keikhlasan dan penghayatan.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

26hb Zulkaedah 1446H
24hb Mei 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Paling Afdhal

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ، قَالَ سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَىُّ الْعَمَلِ أَفْضَلُ قَالَ ‏"‏ الصَّلاَةُ لِوَقْتِهَا ‏"‏ ‏.‏ قَالَ قُلْتُ ثُمَّ أَىٌّ قَالَ ‏"‏ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ قُلْتُ ثُمَّ أَىٌّ قَالَ ‏"‏ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ‏"‏

Daripada Abdullah bin Mas‘ud RA, beliau berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan amalan apakah yang paling afdhal, lalu Baginda menjawab: “Solat pada waktunya.” Kemudian aku bertanya lagi, apakah amalan yang seterusnya? Jawab Baginda: “Berbakti kepada kedua ibubapa.” Kemudian aku bertanya, apakah lagi seterusnya? Jawab Baginda: “Berjihad di jalan Allah.” (HR Bukhari No: 85) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Solat pada waktunya adalah asas dalam kehidupan seorang Muslim. Ia perlu diutamakan dalam apa jua keadaan. Solat merupakan tiang agama, dan pelaksanaannya secara tepat mencerminkan ketaatan terus kepada Allah.

2. Berbuat baik kepada ibu bapa adalah kunci kepada keberkatan hidup dan keredhaan Allah. Ia menggambarkan betapa besarnya kedudukan ibu bapa dalam Islam, dan bahawa hubungan kekeluargaan tidak boleh diabaikan walaupun seseorang itu tekun dalam ibadah.

3. Jihad adalah amalan mulia, namun ia mesti dilaksanakan dengan syarat dan pertimbangan yang betul.

4. Islam mengajar umatnya untuk menyusun keutamaan dalam beramal — bukan semua amalan diberi keutamaan yang sama dalam semua situasi.

5. Menuntut ilmu dengan bertanya adalah salah satu cara mendapat panduan yang tepat dalam agama.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

27hb Zulkaedah 1446H
25hb Mei 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Peserta Korban Dilarang Memotong Kuku dan Rambut

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ

Daripada Ummu Salamah RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda: Jika telah masuk sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya (sehingga selesai korban)." (Sahih Muslim No: 3655) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dilarang (makruh) menggunting rambut, mencukur, mencabut sebarang bulu di badan dan memotong kukunya bermula dari tarikh 1hb Zulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut.

2. Menurut Imam al-Nawawi larangan di dalam hadis ini bermaksud makruh memotongnya. Larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa jua cara sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atau bulu-bulu lain di bahagian anggota badan yang lain." (Syarah Muslim Imam al-Nawawi, jil. 13, ms. 138-139)

3. Bagi mereka yang sengaja mahupun tidak sengaja memotong kuku ataupun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, memadai dia memohon keampunan kepada Allah. Dia tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda).

Ibn Qudamah r.h berkata: "Jika perkara itu berlaku, dia hendaklah segera beristighfar (memohon ampun) kepada Allah. Menurut ijmak tidak ada fidyah sama sekali, baik dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja." (Kitab al-Mughni karya Ibn Qudamah, jil. ms. 96)

4. Majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian mazhab Hanbali menyatakan makruh hukumnya memotong kuku atau rambut yang ada pada badan bermula 1hb Zulhijjah hingga ibadah korban dilaksanakan.

5. Antara hikmah yang disebut oleh Imam Nawawi Rahimahullah dalam Syarah-nya ialah larangan memotong kuku dan menggunting rambut bagi orang yang ingin melaksanakan korban ialah supaya anggota yang terdapat pada badannya itu semuanya akan dibebaskan daripada api neraka.

Jom amalkan sunnah dengan tidak memotong kuku dan rambut bermula 1hb Zulhijjah (dijangka pada 29hb Mei) bagi peserta korban sehingga ibadat korban dilaksanakan.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

28hb Zulkaedah 1446H
26hb Mei 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan 10 Hari Pertama Zulhijjah

عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ

Daripada Ibnu Umar RA, dari Nabi SAW baginda bersabda: Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid. (Musnad Ahmad No: 5879) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Perbanyakkan amal soleh setiap waktu di samping hari tertentu antaranya "Hari-hari yang sepuluh" iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah (1 hb Zulhijjah hingga 10hb Zulhijjah). Firman Allah dalam surah al-Fajr 1-3 juga menyatakan;

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْر

“Demi fajar, dan malam yang sepuluh, dan yang genap dan yang ganjil”.

Imam At-Tobari menafsirkan “Wa layaalin ‘asr” (malam yang sepuluh) sebagai malam-malam sepuluh hari awal Zulhijjah berdasarkan kesepakatan hujah dari ahli tafsir. (rujuk Jami’ Al Bayan fi Ta’wil Al Quran:7/514)

Allah telah bersumpah dengannya (malam yang sepuluh). Bersumpahnya Allah dengan sesuatu menjadi dalil tentang besarnya manfaat (sepuluh hari tersebut).

2. Ibnu Abbas, Ibnu Al Zubair, Mujahid, dan beberapa ulama salaf dan khalaf berkata bahawa ia adalah sepuluh hari pertama Zulhijjah. Ibnu Kathir membenarkan pendapat ini. (rujuk tafsir Ibnu Kathir: 8/413)

3. Allah suka kepada hambaNya yang memperbanyak amalan soleh pada sepuluh hari awal bulan Zulhijjah (1hb hingga 10hb Zulhijjah).

4. Bulan Zulhijjah ini di dalamnya ada kelebihan tertentu untuk diraih bermula dari 1hb Zulhijjah hingga 10 Zulhijjah dengan pelbagai amal soleh termasuk puasa sunat setiap hari (1 - 9), puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa sunat hari Arafah, perbanyakkan zikir – tahlil, takbir dan tahmid, tilawah al-Quran, doa, bersedekah, menunaikan ibadah haji juga melakukan ibadah korban, berdakwah serta pelbagai amal soleh yang lain.

5. Rebutlah peluang melakukan pelbagai amalan sunat menjelang Awal Zulhijjah. Kita mulakan dengan amalan puasa sunat Isnin atau Khamis atau paling tidak 9hb (puasa sunat hari Arafah) di samping perbanyakkan zikir dengan kalimah tahlil, tahmid dan takbir

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

29hb Zulkaedah 1446H
27hb Mei 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Yang Mengatasi Jihad

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا مِنْ أَيَّامٍ العَمَلُ الصَّالِحُ فِيهِنَّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ العَشْرِ فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ"

Daripada Ibn Abbas dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memaksudkan: 10 hari terawal Zulhijjah-."Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?" Baginda bersabda,"Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali (menemui syahid). (Abu Daud di dalam Bab Puasa: 2438) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Allah menyukai orang yang melakukan amal soleh pada 10 hari pertama dari bulan Zulhijjah.

2. Orang yang melakukan amal soleh dalam tempoh ini dapat memberikan pahala yang lebih besar dari Jihad kecuali orang yang pergi berjihad itu gugur syahid.

3. Al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan: Yang jelasnya, antara sebab keistimewaan 10 hari awal Zulhijjah ini berbanding hari lain ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah, korban dan haji. Himpunan amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain (Fath al-Bari).

4. Justeru peluang kita yang menemui 10 hari pertama Zulhijjah ini perlu direbut untuk mempertingkatkan pelbagai amalan harian kita.

5. Amal soleh pada hari-hari awal 10 Zulhijjah tidak terbatas. Ia meliputi solat, puasa, sedekah, bacaan al-Quran, zikir, berdoa, bertaubat, tahmid, takbir, tahlil, amar makruf nahi mungkar, tolong-menolong untuk kebaikan, menyebarkan ilmu, menyantuni anak yatim, membantu orang yang kesusahan, memberikan makan kepada fakir miskin dan seumpamanya.

JOM tingkatkan pelbagai amal soleh kita.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

30hb Zulkaedah 1446H
28hb Mei 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mensyukuri Nikmat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم انْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلَا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَهُوَ أَجْدَرُ أَنْ لَا تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اَللَّهِ عَلَيْكُمْ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Lihatlah orang yang berada di bawahmu dan jangan melihat orang yang berada di atasmu, kerana yang demikian itu lebih patut, agar kamu tidak memandang remeh nikmat yang telah Allah berikan kepada kamu.” (HR Muslim No: 2963) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1. Setiap kita wajib bersyukur di atas segala nikmat yang Allah kurniakan.

2. Satu cara untuk kita sentiasa mensyukuri setiap nikmat yang Allah kurniakan adalah dengan sentiasa melihat orang yang lebih rendah daripada kita dalam perkara yang berkaitan dengan nikmat dunia seperti tubuh badan yang menarik dan sihat, pemilikan harta, pangkat dan kedudukan.

3. Bersyukurlah diatas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita. Semoga dengan memiliki sifat bersyukur akan menjauhkan kita dari penyakit tamak, hasad, dengki dan panjang angan-angan.

4. Manusia jika melihat kepada orang yang lebih tinggi levelnya dari sisi dunia, maka jiwanya akan menuntut yang serupa dan mulai mengerdilkan kenikmatan yang Allah berikan kepadanya, kemudian bertekad untuk menambah hartanya agar dia dapat mengejar kekayaan orang tersebut atau minima menyamainya. Namun jika dia melihat kepada orang yang lebih rendah darajatnya dalam hal dunia dan harta, akan terpampang di hadapannya kenikmatan Allah yang besar kepadanya, maka dia akan bersyukur atas kenikmatan itu, bersikap rendah hati, serta akan melakukan amalan-amalan kebaikan.

5. Dalam hal kehidupan dunia, berusahalah sebaik mungkin untuknya namun jangan sering memandang orang yang berada di atas kita. Bersyukurlah dengan apa yang telah kita miliki kini. Tidak perlu irihati dengan apa yang dimiliki oleh orang lain. Lihatlah orang yang berada di bawah kita. Masih ramai orang yang tidak seberuntung kita. Kerana hal ini akan menjauhkan kita dari bersyukur. Allah SWT telah berfirman

لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”. (Surah Ibrahim ayat : 7)

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

01hb Zulhijjah 1446H
29hb Mei 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Dua Titisan dan Kesan Yang Dicintai Allah SWT

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ شَيْءٌ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ قَطْرَتَيْنِ وَأَثَرَيْنِ قَطْرَةٌ مِنْ دُمُوعٍ فِي خَشْيَةِ اللَّهِ وَقَطْرَةُ دَمٍ تُهَرَاقُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَأَمَّا الْأَثَرَانِ فَأَثَرٌ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَأَثَرٌ فِي فَرِيضَةٍ مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ.

Daripada Abu Umamah RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: "Tiada sesuatu perkara yang paling disukai oleh Allah melainkan dua titisan dan dua kesan. Titisan air mata yang menangis kerana takutkan kepada Allah SWT dan titisan darah yang tumpah pada jalan Allah. Adapun dua kesan yang Allah sukai adalah kesan pada jalan Allah dan kesan fardhu daripada kefardhuan Allah SWT." (HR Tirmizi No: 1669) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Allah SWT amat menyukai akan amalan hamba-Nya yang dilakukan secara ikhlas semata-mata kerana-Nya dan semakin banyak susah payah yang dihadapi, maka semakin bertambahlah ganjaran pahala.

2. Antara amalan yang disukai oleh Allah SWT adalah dua titisan dan dua kesan. Antara dua titisan itu yang pertama adalah titisan air mata yang takut kepada Allah SWT terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan. Rasulullah SAW menyebutkan tujuh golongan yang akan mendapat naungan di hari kiamat salah satu daripadanya adalah:

وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ

“dan lelaki yang mengalir air matanya ketika bersendirian kerana takut kepada Allah”

Titisan kedua yang disukai Allah adalah titisan darah yang ditumpahkan kerana berjuang di jalan Allah SWT.

3. Dua kesan yang disukai Allah, pertama adalah kesan luka semasa berjuang untuk jalan Allah SWT dan kedua adalah kesan kerana melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Semoga kita tergolong dalam golongan tersebut.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

02hb Zulhijjah 1446H
30hb Mei 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Taqarub Kepada Allah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَإٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ بِشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا وَإِنْ أَتَانِي يَمْشِي أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً

Daripada Abu Hurairah RA berkata, "Nabi SAW bersabda bahawa Allah telah berfirman: "Aku bersikap mengikut sangkaan hamba-Ku terhadap Ku. Aku bersama-sama mereka apabila mereka mengingati Ku. Apabila mereka mengingati Ku dalam dirinya, maka Aku mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila mereka mengingati-Ku dalam perkumpulan mereka, maka Aku mengingatinya dalam perkumpulan yang lebih baik daripada mereka. Demi sekiranya mereka mendekatkan diri kepada-Ku sejengkal, maka Aku mendekatkan diri kepadanya sehasta, dan jika ia mendekatkan diri kepada-Ku sehasta, Aku mendekatkan diri kepadanya sedepa. Sekiranya mereka mendatangi-Ku dalam keadaan berjalan, maka Aku akan mendatanginya dalam keadaan berlari (segera)." (HR Bukhari No: 6856) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Allah bersikap seperti sikap hamba terhadapNya. Jika seseorang mengingati Allah dalam dirinya, berzikir dalam hatinya, dan menganggap Allah sentiasa mengingatinya sama ada ketika dia bersendiri atau bersama orang lain, nescaya Allah akan sentiasa mengingati hambaNya.

2. Seseorang yang memuji Allah dengan bersyukur, sentiasa berdoa, bertaubat dan menjaga keimanan di khalayak ramai, pasti Allah akan mengingati dan memujinya di khalayak yang lebih baik dan utama.

3. Seseorang yang mendekatkan diri kepada Allah melalui ibadat dan amal solehnya dengan jarak sejengkal atau sehasta, Allah akan mendekatinya lebih dekat daripada itu. Jika seorang hamba itu mendekati Allah dengan berjalan, nescaya Allah akan mendatanginya lebih cepat daripada itu.

4. Setiap amalan seseorang yang baik bertujuan mendekatkan diri kepada Allah, maka Allah akan menggandakan balasan baik kepadanya. Tambah lagi jika dilakukan pada 10 pertama Zulhijjah ini.

فَٱذۡكُرُونِيٓ أَذۡكُرۡكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِي وَلَا تَكۡفُرُونِ ١٥٢

“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) –Ku” (Al-Baqarah : 152)

Pastikan kita sentiasa taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah dengan membanyakkan zikrullah dan ibadat kepadaNya khususnya pada 10 pertama Zulhijjah ini.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

03hb Zulhijjah 1446H
31hb Mei 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Upah Penyembelih dan Petugas Korban

عَنْ عَلِيٍّ قَالَ أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا وَأَنْ لَا أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا قَالَ نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا

Daripada Ali RA ia berkata; "Aku disuruh Rasulullah SAW mengurus penyembelihan haiwan korban, menyedekahkan daging dan kulitnya, serta mengurus segala sesuatu yang berhubungan dengan kesempurnaan korban. Tetapi aku dilarang oleh baginda mengambil upah untuk tukang potong dari haiwan korban itu. Maka untuk upahnya kami ambilkan dari wang kami sendiri." (Sahih Muslim No: 2320) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Antara ibadat yang dituntut pada hari Raya Eidul Adha 10 Zulhijjah dan Hari Tasyrik 11, 12 dan 13 Zulhijjah ialah melaksanakan Ibadat korban.

2. Daging serta apa-apa sahaja daripada binatang korban hendaklah disedekahkan kepada yang berhak seperti fakir miskin juga jiran tetangga.

3. Memberi daging korban kepada penyembelih atau pelapah atau petugas sebagai upah hasil kerja yang mereka lakukan adalah dilarang kerana ia termasuk dalam hukum jual beli, iaitu menjual daging untuk membeli tenaga kerja mereka.

4. Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim menyebut: “Hadis ini meminta agar kita tidak memberikan kepada penyembelih dan pelapah bahagian dari sembelihan korban kerana jika diberi kepadanya sebagai ganjaran kepada pekerjaannya sama ertinya dengan menjual satu bahagian dari bahagian korban kepada mereka. Ia tidak dibolehkan” (9/435 Cetakan Dar al-Khair, Beirut).

5. Telah sepakat al-Imam al-Syafii dan tokoh-tokoh mazhab al-Syafii bahawa tidak boleh sedikit pun dari sembelihan semasa haji dan umrah serta sembelihan korban dijual. Sama ada ia korban nazar atau sunat. Hal ini termasuk daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan sebagainya. Tidak boleh pula kulit atau selainnya dijadikan upah untuk penyembelih. (8/419-420. Beirut: Dar al-Fikr) kecuali penerima daging korban yang miskin atau fakir.

6. Hadis ini bukan melarang memberikan upah kepada para penyembelih atau pelapah. Larangan hanya jika upah itu diambil dari bahagian korban. Upah itu boleh diberikan dalam bentuk lain seperti wang atau selainnya yang tidak dari bahagian korban. Kerja dan tenaga seseorang itu patut dibayar upah.

7. Saidina Ali menyebut: Untuk upahnya (penyembelih dan pelapah), kami ambil dari wang kami sendiri.

8. Walaupun begitu, jika diberi kepada penyembelih atau petugas dari apa yang dikorban disebabkan kemiskinannya atau sebagai hadiah kerana dia jiran dan sebagainya, maka ini tidak mengapa. (juz. 3/ m .s.633. ctk. Dar al-Fikr, Damsyik.)

9. Antara kesalahan yang sering berlaku semasa pengurusan korban ialah mencuri daging korban ataupun bahagian korban tanpa izin dari empunya korban. Biasanya hal ini dilakukan oleh pelapah dan petugas yang terlibat dengan proses pengurusan penyembelihan. Kadang-kala mereka merasa berhak kerana menolong atau kerana AJK.

10. Ada yang meletakkan bahagian yang mereka sukai itu berasingan dan mengambil apabila selesai urusan korban. Walaupun mungkin tuan empunya tidak membuat bantahan, namun itu bukan bererti dia bersetuju memberikan. Ingatlah Firman Allah:

ياأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

“Wahai mereka yang beriman, jangan kamu makan harta antara kamu dengan cara yang batil (salah)” (Surah al-Nisa: 29).

Justeru itu, kepada mereka yang akan menjadi petugas korban, JANGAN sekali-kali mengambil sendiri bahagian dari sembelihan korban sebagai habuan seperti kaki, kepala, ekor, perut dan lainnya melainkan yang dihadiahkan oleh orang yang berkorban atau yang diterima seperti agihan kepada penerima lain yang layak.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

04hb Zulhijjah 1446H
01hb Jun 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Keutamaan Arafah

وعن أبي هريرة رضي الله عنه عن رسول الله صلى الله عليه وسلم - قال: إنَّ اللهَ يُبَاهِي بِأَهْلِ عَرَفَات أهْلَ السَّمَاءِ، فَيَقُولُ لَهُمُ: انْظُرُوا إِلَى عِبَادي جَاءونِي شُعْثاً غُبْراً

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah membanggakan ahli Arafah di hadapan penduduk langit. Lalu Allah berkata: ‘Lihatlah hamba-hamba-Ku, mereka datang kepada-Ku dalam keadaan kusut dan berdebu.’ (HR Ahmad No 8047) Status Hadis Sahih.

Pengajaran:

1. Mengikut Ibn Hajar, Allah membanggakan ahli Arafah bermaksud Allah memberi penghormatan dan memuliakan para jemaah haji yang hadir di Arafah dengan menyebut mereka dengan pujian kepada para malaikat-Nya.

2. Hari Arafah adalah kemuncak ibadat Haji, hari yang sangat mulia dimana pada hari tersebut Allah melimpahkan rahmat dan keampunan yang sangat luas kepada hamba-hamba-Nya.

3. Jemaah haji yang datang dalam keadaan "kusut dan berdebu" menunjukkan bahawa Allah tidak melihat rupa dan harta para Jemaah haji, tetapi keikhlasan dan usahanya meninggalkan keselesaan dalam beribadah demi mencari keampunan Allah.

4. Wukuf adalah waktu paling mustajab doa, dan hadis ini mendorong para Jemaah haji agar menghadirkan diri di Padang Arafah dengan hati yang tunduk dan penuh harap.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

05hb Zulhijjah 1446H
02hb Jun 2025
 
Back
Top
Log in Register