BTC USD 84,550.6 Gold USD 4,285.46
Time now: Jun 1, 12:00 AM

KONGSI.. SATU hari SATU hadis

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kewajipan Ibadah Haji

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ فَقَالَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ فَرَضَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ الْحَجَّ فَحُجُّوا فَقَالَ رَجُلٌ: أَكَلَّ عَامٍ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَسَكَتَ حَتَّى قَالَهَا ثَلَاثًا فَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ: لَوْ قُلْتُ نَعَمْ لَوَجَبَتْ وَلَمَا اسْتَطَعْتُمْ

Daripada Abu Hurairah RA, ia berkata, “Rasûlullâh SAW pernah berkhutbah: “Wahai sekalian manusia, Allâh telah mewajibkan haji bagi kalian, maka laksanakanlah ibadat haji.” Seorang laki-laki bertanya, “Wahai Rasûlullâh, apakah setiap tahun (kewajiban mengerjakan ibadat haji)?” Maka baginda diam, sehingga orang tadi bertanya tiga kali. Kemudian Rasûlullâh SAW bersabda, “Jika aku mengatakan ‘ya’, maka tentu wajib (haji setiap tahun), dan kamu tidak mampu.” (HR Muslim No: 1337) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Ibadat Haji adalah salah satu daripada rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang mukalaf.

2.Kewajipan ibadat haji hanya sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan dan berkuasa.

3.Mereka yang tiada halangan dari sudut wang ringgit, kesihatan mahupun kemudahan untuk mengerjakan ibadat haji, namun masih tidak berusaha menunaikankannya atas alasan "belum sampai seru" dibimbangi jika meninggal dunia dalam keadaan tidak diredhai Allah.

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَمْ يَمْنَعْهُ عَنْ الْحَجِّ حَاجَةٌ ظَاهِرَةٌ أَوْ سُلْطَانٌ جَائِرٌ أَوْ مَرَضٌ حَابِسٌ فَمَاتَ وَلَمْ يَحُجَّ فَلْيَمُتْ إِنْ شَاءَ يَهُودِيًّا وَإِنْ شَاءَ نَصْرَانِيًّا

Daripada Abu Umamah, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa tidak terhalang untuk melakukan haji oleh suatu hajat yang jelas atau oleh penguasa yang zalim atau penyakit yang menahannya, kemudian ia meninggal dunia dan belum melakukan haji, boleh jadi ia meninggal dunia dalam keadaan sebagai Yahudi atau sebagai Nasrani." (HR Darimi No: 1719) Status: Isnad Dhaif

4.Kewajipan menunaikan ibadah haji adalah kepada mereka yang berkuasa mengeluarkan belanja tambang dan segala perbelanjaan lain termasuk mempunyai bekalan dan perbelanjaan yang cukup bagi saraan nafkah orang yang ditinggalkan juga mendapat giliran menunaikan haji.

5.Walaupun pada tahun ini ada yang masih belum berpeluang untuk mendapat giliran, paling tidak anda telah berusaha menabung dan mendaftar dengan Tabung Haji sebagai persiapan menunaikannya.

6.Bagi pandangan Imam Ahmad Ibn Hanbal, jika seseorang memiliki lebihan harta seperti harta tak alih (i.e. rumah lebih dari satu, kenderaan lebih dari satu) atau sesuatu yang lebih daripada keperluan, maka wajib ia menjual sebahagian daripadanya untuk keperluan menunaikan haji.

Bersegeralah kita menyediakan kemampuan diri untuk menunaikan ibadah haji dan umrah bagi yang belum menunaikannya. Jika tidak menabung dan mendaftar di Tabung Haji sekarang, bila lagi?. Jangan lupa daftar sekali untuk anak-anak dari awal.

Bagi yang terpilih menunaikan ibadat Haji pada tahun ini, Selamat Berangkat Duyufurrahman (tetamu Allah) dan didoakan moga dikurniakan kesihatan dan kemudahan dan beroleh haji yang Mabrur.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

06hb Zulkaedah 1446H
04hb Mei 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Tangguh Melaksanakan Ibadah Haji

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَعَجَّلُوا إِلَى الْحَجِّ يَعْنِي الْفَرِيضَةَ فَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَا يَدْرِي مَا يَعْرِضُ لَهُ

Daripada Ibnu Abbas RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Segeralah kamu menunaikan haji (yang wajib) kerana kamu tidak mengetahui apa-apa yang mungkin menimpa” (Musnad Ahmad No: 2721) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Menunaikan ibadat haji suatu kewajipan kepada mereka yang memenuhi syarat berkuasa dan berkemampuan dari segi kewangan, kesihatan dan keselamatan perjalanan. Jangan ditangguh dengan sengaja melainkan bersebab yang dibenarkan Syara.

2. Mengikut Imam Shafi’i kewajipan menunaikan haji tidaklah mesti disegerakan tetapi tidak pula bererti boleh dilambatkan.

3. Segera menunaikan haji dalam keadaan kita sihat dan mampu adalah penting sebagai langkah berjaga-jaga. Apatah lagi jika telah mendapat surat tawaran. Jika dilewatkan berkemungkinan ia tidak dapat dilaksanakan langsung kerana luput masa atau berlaku sesuatu bencana.

4.Jika ada kemudahan untuk tidak menunggu giliran yang mungkin lama lagi; contohnya menggunakan package yang lebih bayarannya dan kita berkemampuan dari segi kewangan, maka elok diusahakan pemergian itu.

Bagi mereka yang berkemampuan dan berkuasa, jangan tunggu tahun depan atau tahun berikutnya. Kita tak pasti, ketika itu adakah kita masih hidup, berkuasa atau berkemampuan?.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

07hb Zulkaedah 1446H
05hb Mei 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Haji Mabrur Menghapuskan Dosa Seperti Bayi

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَمَا وَلَدَتْهُ أُمُّه

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa melaksanakan ibadat haji semata-mata kerana Allah dan ia tidak menuturkan perkataan keji dan tidak melakukan kefasikan (keluar dari ketaatan) maka ia akan kembali seperti bayi yang baru dilahirkan ibunya (bersih dari dosa) (HR Bukhari No:1690) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Orang yang melaksanakan ibadah Haji dengan tidak melakukan perkara yang dilarang akan diampunkan dosanya bersih seperti bayi yang baru dilahirkan.

2.Haji mabrur adalah haji yang dilaksanakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT (bukan kerana hendak melancong, berjual beli dan seumpamanya). Pelaksanaaan haji dengan kaifiyat (tata cara) yang betul sebagaimana yang diajarkan Nabi SAW akan menghasilkan pahala yang besar (syurga) dan keampunan dosa. Justeru, seseorang yang mahu melaksanakan ibadah haji mestilah memahami hukum-hukam berkaitan haji dan menjauhi perkataan yang kotor dan perbuatan fasiq.

3.Apabila seseorang melaksanakan ibadat haji dengan menjauhi apa-apa yang Allah haramkan, berupa rafats (perkataan atau perlakuan yang menjurus kepada perkara lucah atau keinginan syahwat) dan fusuq (segala bentuk maksiat dan perbuatan dosa yang menyalahi syariat, seperti mencaci, bergaduh, menipu, atau perbuatan buruk lainnya), meninggalkan perbuatan fasik, melakukan ketaatan, dan tidak meninggalkan apa-apa yang Allah wajibkan, serta tidak melakukan apa yang Allah haramkan - maka ia kembali dari ibadat haji dalam keadaan bersih dari dosa. Sebagaimana seseorang keluar dari perut ibunya tanpa membawa dosa, maka orang memenuhi syarat ini - dia akan bersih dari dosa.

4.Setiap Muslim yang akan melaksanakan ibadah haji hendaklah segera bertaubat (menyesali dan meninggalkan perbuatan maksiat) dan bertekad tidak akan mengulangi dosa-dosa tersebut. Bagi kesalahan dan dosa berkaitan dengan manusia atau mengambil haknya, hendaklah segera meminta maaf dan mengembalikan hak-hak mereka sebelum pergi melaksanakan haji. Sesungguhnya haji merupakan jalan menuju ke syurga dan membebaskan diri daripada api neraka.

5.Ibadat haji yang dilaksanakan akan menjadi penghapus dosa apabila dilaksanakan mengikut peraturan dan meninggalkan larangan. Imam al-Nawawi dalam Al-majmu berkata: “Apabila seseorang ingin mengerjakan ibadat haji maka ia wajib mempelajari tatacaranya, kerana tidak sah ibadah dari orang yang tidak mengetahuinya.”

Bagi yang akan menunaikan ibadat haji, pastikan ibadat haji yang dilakukan mengikut peraturan dan mematuhi larangan agar ia menjadi pengampun dosa.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

08hb Zulkaedah 1446H
06hb Mei 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Haji dan Umrah Menghapuskan Kefakiran dan Dosa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَابِعُوا بَيْنَ الْحَجِّ وَالْعُمْرَةِ فَإِنَّهُمَا يَنْفِيَانِ الْفَقْرَ وَالذُّنُوبَ كَمَا يَنْفِي الْكِيرُ خَبَثَ الْحَدِيدِ وَالذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَلَيْسَ لِلْحَجَّةِ الْمَبْرُورَةِ ثَوَابٌ إِلَّا الْجَنَّة

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Laksanakanlah ibadah haji berserta umrah, maka sesungguhnya kedua-duanya akan menghapuskan kamu daripada kefakiran dan dosa-dosa, sebagaimana al-kir (bahan yang digunakan untuk menghilangkan) menghapuskan segala kekotoran besi, perak dan emas. Tidak ada balasan bagi haji yang mabrur melainkan syurga” (Sunan Tarmizi No: 738) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Menjadi kewajipan bagi Muslim yang berkemampuan dan berkuasa untuk melaksanakan ibadat haji dan umrah

2. Orang yang melaksanakan ibadat haji dan umrah dengan ikhlas dan sempurna akan menjadi penghapus dosa seperti bahan kimia yang boleh menghilangkan segala kekotoran pada besi, perak dan emas serta memperoleh ganjaran Syurga.

3. Mereka yang melaksanakan ibadat haji dan umrah terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar, namun Rasulullah SAW menjanjikan keberkahan rezeki dan dijauhkan dari kemiskinan.

4. Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari menjelaskan, walaupun haji memerlukan perbelanjaan, Allah akan gantikan dengan rezeki yang lebih baik jika dilakukan dengan niat yang benar.

5. Mereka yang diterima ibadah hajinya (mabrur) di sisi Allah, tidak ada sebaik-baik ganjaran yang akan diperolehi melainkan syurga untuknya.

Selamat mengerjakan ibadat haji dan umrah kepada duyufurahman. Rebutlah peluang menjadikan ibadat haji dan umrah sebagai pembersih dosa-dosa dan mendapat keampunan serta ganjaran syurga.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

09hb Zulkaedah 1446H
07hb Mei 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Umrah Menghapuskan Dosa Haji Mabrur Balasannya Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّة

Daripada Abi Hurairah RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Antara satu umrah ke satu umrah menghapuskan dosa antara keduanya dan haji yang mabrur tidak ada baginya ganjaran melainkan syurga” (HR Bukhari No: 1773) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Ibadat umrah yang dilakukan secara berulang menjadi penghapus dosa antara keduanya. Iaitu sesiapa yang melaksanakan ibadah umrah secara berulang kali, ia menjadi penghapus dosa-dosa kecil sepanjang tempoh jarak antara ibadah umrah tersebut.

2. Menurut Imam al-Nawawi dan para ulama lain, hadis ini menunjukkan bahawa ibadah umrah berperanan menyucikan jiwa dan menghapuskan kesalahan lalu, seperti mana solat dan puasa juga menjadi kafarah dosa.

3. Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari menjelaskan bahawa hadis ini menjadi dalil keutamaan melakukan umrah secara berulang-ulang jika mampu, kerana ia menjadi sebab diampunkan dosa.

4. Mereka yang diterima ibadah hajinya (haji mabrur) di sisi Allah, tidak ada sebaik-baik ganjaran yang akan diperolehi di sisi Allah melainkan syurga untuknya.

5. Menurut Imam al-Nawawi, haji mabrur adalah haji yang tidak dicemari dengan maksiat, dilakukan dengan niat yang ikhlas, memenuhi syarat dan rukun dengan sempurna.

6. Setiap muslim mestilah berazam bersungguh-sungguh untuk menunaikan ibadah haji dan sentiasa berusaha sedaya mungkin dalam melaksanakan perintah Allah SWT tersebut agar mendapat haji yang mabrur. Firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” (Surah Ali-Imran: 97)

7. Menurut Syeikh al-Maraghi dalam menafsirkan ayat di atas, ia menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang muslim mukallaf yang berkemampuan. Perlaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 2/853)

Laksanakanlah ibadat haji dan umrah dengan memelihara rukun dan sunat serta meninggalkan larangan dengan sempurna. Rebut peluang menjadikan ibadat haji dan umrah sebagai pembersih dosa-dosa dan mendapat keampunan serta ganjaran syurga.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

10hb Zulkaedah 1446H
08hb Mei 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Satu Rumah Satu Ibadah Korban

عَنْ مِخْنَفِ بْنِ سُلَيْمٍ كُنَّا وَقُوفًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَفَةَ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ عَلَى كُلِّ أَهْلِ بَيْتٍ فِي كُلِّ عَامٍ أُضْحِيَّة

Daripada Mikhnaf bin Sulaim, kami berwukuf di Arafah bersama Rasulullah SAW dan aku mendengar baginda bersabda: Wahai sekalian manusia, sesungguhnya keatas setiap ahli sebuah rumah, satu ibadah korban pada setiap setahun" (HR Ibnu Majah No: 3116) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.Kita telah memasukki bulan Zulkaedah. Kita ada lebih kurang sebulan lagi untuk menyambut kedatangan Hari Raya Eidul Adha di mana antara amalan yang dituntut kepada Muslim yang mampu adalah ibadah Kurban.

2.Berdasarkan hadis di atas, sebahagian ulamak beranggapan, Ibadah korban adalah sunat kifayah bagi setiap rumah (suatu sunat yang amat dituntut). Satu sembelihan korban boleh mewakili satu keluarga. Dalam mazhab Syafie ibadat korban hukumnya sunat Muakkad (amat digalakkan).

3.Bagi Imam Abu Hanifah dan ulamak bermazhab Hanafi telah menetapkan bahawa menyembelih korban adalah wajib sekali setahun bagi orang bermukim dan berkemampuan dari segi kewangan daripada penduduk tempatan

4.Ibadat korban ini adalah sebahagian dari syiar agama sebagai memperingati pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan Ismail AS. Melaksanakan ibadat ini akan membangkitkan kesedaran untuk sentiasa membelanjakan harta dan berkorban semata-mata meninggikan syiar agama Allah

5.Jika kita mampu membayar bil handset RM 40.00 hingga RM 100.00 sebulan, sanggup membayar bil unifi RM 80.00 bulanan, sewajarnya kita juga mampu menyimpan sekitar RM 80.00 sebulan untuk membeli satu bahagian daripada korban pada setiap Hari Raya Korban.


#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

11hb Zulkaedah 1446H
09hb Mei 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tuntutan Ibadat Korban Bagi Yang Mampu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ وَجَدَ سَعَةً فَلَمْ يُضَحِّ فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا

Daripada Abi Hurairah RA, telah bersabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang ada kelapangan belanja tetapi tidak melakukan korban, maka janganlah dia menghampiri masjid kami. (Musnad Ahmad No: 7924) Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1. Ibadah korban sebagai tanda bersyukur di atas segala nikmat yang kita perolehi.

2. Orang yang berkemampuan tetapi dengan sengaja tidak melaksanakan ibadah korban, seolah-olahnya tidak layak mendatangi masjid untuk melaksanakan ibadat solat pada Hari Raya (menunjukkan satu teguran).

3. Dalam Mazhab Syafie, kelapangan belanja bermaksud seseorang yang mempunyai wang untuk membeli binatang korban, yang lebih daripada keperluannya dan keperluan mereka yang berada di bawah tanggungannya pada hari raya dan hari-hari tasyrik (10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah).

4. Dalam Mazhab Hanbali pula, kelapangan belanja ialah mereka yang dapat membeli harga korban walaupun secara meminjam atau berhutang, dan hutang itu mampu dijelaskan.

5. Imam Malik berkata: “Saya tidak suka terhadap seseorang yang mampu untuk menyembelih binatang (korban) lalu dia meninggalkannya (tidak melakukannya)”. (Lihat: الموطأ 2/38. Imam Malik. Syarah al-Muwatha: Tanwir al-Hawalik)

6. Berusaha melaksanakan ibadat korban agar ia menjadi penghapus kepada dosa-dosa kita dan memberi kelegaan khususnya kepada fakir miskin dan kegembiraan jiran tetangga.

7. Islam sangat menekankan semangat pengorbanan, keikhlasan dan kepedulian sosial melalui ibadah korban.

8. Bagi mereka yang berkemampuan dan ada lebihan wang, afdhal melaksanakan Ibadat Korban di mana kita tinggal. Namun kita juga berpeluang melaksanakannya di luar negara melalui MyCARE. Penyertaan korban dibuka.

Layari:

Pilih jenis qurban/akikah, pilih pakej haiwan di negara tertentu, kemudian layari:


Anda juga boleh membuat pembayaran melalui bank online / CDM / cek.

Humanitarian Care Malaysia Berhad
CIMB Islamic
8602 13 5592

Sila hantarkan maklumat di bawah ke email [email protected] atau Whatsapp ke

http://wasap.my/60164127004

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

12hb Zulkaedah 1446H
10hb Mei 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ingin Syurga Jauhi Neraka

عن عبدالله بن عمر بن العاص قَالَ: قَالَ رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: مَنْ أَحَبَّ أنْ يُزَحْزَحَ عَنِ النَّارِ، ويُدْخَلَ الجَنَّةَ، فَلْتَأْتِهِ مَنِيَّتُهُ وَهُوَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ، وَلْيَأْتِ إِلَى النَّاسِ الَّذِي يُحِبُّ أنْ يُؤْتَى إِلَيْهِ.

Daripada Abdullah bin A’mar bin Ash RA ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang suka untuk dijauhkan dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka hendaklah kematian menjemputnya dalam keadaan dia beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah dia memperlakukan manusia sebagaimana dia suka manusia lain memperlakukannya." (HR Muslim No: 1566) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Hadis ini mengandungi dua prinsip besar dalam Islam:

a) Keimanan yang tulus kepada Allah dan hari akhirat,

b) Berakhlak mulia terhadap sesama manusia

2. Iman yang sahih dan kekal hingga akhir hayat adalah syarat utama untuk masuk syurga dan dijauhkan daripada neraka.

3. Menurut Imam Nawawi dalam syarah Sahih Muslim menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan jalan selamat ke syurga bukan hanya melalui iman, tetapi juga melalui hubungan baik dengan manusia. Iman mesti diiringi dengan amal dan akhlak mulia sesama manusia.

4. Berakhlak dengan manusia seperti mana kita suka diperlakukan adalah akhlak Islam yang unggul.

5. Menurut al-Ghazali, berbuat baik kepada orang lain seperti yang kita harapkan untuk diri sendiri adalah asas kepada semua akhlak mulia. Rasulullah SAW dalam hadis ini meletakkan akhlak dan muamalah sesama manusia sebagai sebahagian daripada tiket ke syurga, selepas keimanan.

6. Empati, keadilan, dan ihsan dalam hubungan sosial menjadi asas kepada masyarakat yang harmoni.

7. Menurut Ibn Rajab al-Hanbali, hadis ini menyeru kepada sikap empati dan keadilan. Seseorang tidak boleh menuntut layanan baik jika dia sendiri tidak berbuat baik kepada orang lain.

8. Islam bukan hanya tentang ibadah khusus kepada Allah, tetapi juga hubungan baik dengan manusia.

9. Hadis ini menggabungkan aspek aqidah (iman) dan akhlak (dalam bermuamalah) sebagai satu formula kejayaan akhirat – Masuk Syurga Jauhi Neraka.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

13hb Zulkaedah 1446H
11hb Mei 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mencium Hajarul Aswad

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ سَرْجِسَ قَالَ :رَأَيْتُ الْأَصْلَعَ يَعْنِي عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ يُقَبِّلُ الْحَجَرَ وَيَقُولُ: وَاللَّهِ إِنِّي لَأُقَبِّلُكَ وَإِنِّي أَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ وَأَنَّكَ لَا تَضُرُّ وَلَا تَنْفَعُ وَلَوْلَا أَنِّي رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبَّلَكَ مَا قَبَّلْتُكَ

Daripada ‘Abdullah bin Sarjis RA berkata; Aku pernah melihat al-Ashla' iaitu ‘Umar bin Al-Khattab RA mencium Hajar Aswad sambil berkata: "Demi Allah, sesungguhnya aku pasti akan menciummu, meskipun aku tahu kamu hanyalah sebiji batu yang tidak dapat memberi mudharat dan tidak pula dapat memberi manfaat. Sekiranya aku tidak melihat Rasulullah SAW menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu." (HR Bukhari, No: 1597) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Allah SWT yang mencipta seluruh makhluk dan Allah berkuasa atas segala sesuatu. Setiap ciptaan-Nya tidak dapat mendatangkan sesuatu kebaikan mahupun keburukan kecuali dengan keizinan dan kehendak-Nya.

2. Setiap Muslim hendaklah mentaati segala perintah Allah SWT selari dengan petunjuk Sunnah Nabi SAW.

3. Perlu difahami bahawa perintah Allah SWT ada yang dihukumkan sebagai wajib, sunat, makruh, haram dan harus berdasarkan kaedah-kaedah hukum yang telah disepakati oleh ulama. Contohnya apabila kita berada di Masjilil Haram antara amalan sunat adalah perbuatan mencium hajar aswad. Para sahabat Nabi SAW mengikuti amalan tersebut sebagai ittiba’ (ikutan sunnah) tanpa banyak persoalan kerana mereka melihat amalan tersebut dilakukan oleh Nabi SAW.

4. Dalam mazhab Syafie hukum mencium hajar aswad adalah sunat. Namun perlu diingat, ketika melakukan perbuatan mencium hajarul aswad itu, pastikan tidak menzalimi dengan menarik atau menyakiti orang lain. Dibimbangi perkara sunat itu menjadi haram. Moga menjadi peringatan buat mereka yang sekarang ini menjadi tetamu duyufurahman di Makah.

5. Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui hikmah dan kepentingan disebalik sesuatu pensyariatan. Justeru, sebagai seorang hamba-Nya yang Muslim, maka wajiblah setiap perintah-Nya dilaksanakan manakala setiap larangan-Nya hendaklah dijauhi mengikut kemampuan tanpa perlu dipersoalkan kenapa ianya disyariatkan.

6. Imam al-Nawawi menyebut bahawa hadis ini mengandungi dalil bahawa mengikuti Nabi SAW dalam perbuatan ibadah adalah dituntut, walaupun kita tidak mengetahui hikmahnya secara langsung.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

14hb Zulkaedah 1446H
12hb Mei 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Keutamaan Sifat Tenang Ketika Beribadah

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّهُ دَفَعَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَرَفَةَ فَسَمِعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَاءَهُ زَجْرًا شَدِيدًا وَضَرْبًا وَصَوْتًا لِلْإِبِلِ فَأَشَارَ بِسَوْطِهِ إِلَيْهِمْ وَقَالَ أَيُّهَا النَّاسُ عَلَيْكُمْ بِالسَّكِينَةِ فَإِنَّ الْبِرَّ لَيْسَ بِالْإِيضَاعِ

Daripada Ibnu 'Abbas RA, bahawasanya beliau telah bertolak bersama-sama Nabi SAW pada hari 'Arafah. Kemudian Nabi SAW mendengar dari arah belakang Baginda SAW suara yang keras dan bentakan serta pukulan terhadap unta. Maka Baginda SAW memberi isyarat kepada mereka dengan cemeti agar bertenang. Baginda SAW bersabda: "Wahai manusia, hendaklah kamu bertenang, kerana sesungguhnya kebaikan bukan (diperoleh) dengan tergesa-gesa." (HR Bukhari No: 1671) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam adalah agama yang membawa rahmat, bukan sahaja kepada sesama manusia bahkan kepada semua makhluk termasuk binatang.

2. Bersifat rahmah dengan berlemah lembut dengan binatang tunggangan adalah suatu yang dituntut.

3. Peristiwa dalam hadis ini berlaku ketika para jemaah haji sedang meninggalkan Arafah menuju Muzdalifah, selepas wukuf yang menjadi salah satu rukun dalam ibadah haji. Sebahagian mereka menggesa unta-unta mereka secara kasar dan tergesa-gesa, mungkin kerana ingin segera sampai atau kerana kesesakan.

4. Ibadah perlu dilakukan dengan ketenangan dan tertib, bukan dalam keadaan tergesa-gesa. Imam Nawawi menjelaskan bahawa hadis ini adalah dalil bahawa ketenangan dan adab ketika ibadah sangat dituntut, terutama semasa menunaikan ibadah haji yang suci.

5. Antara rahmat yang diberikan Allah SWT kepada hamba-Nya adalah dapat melakukan ibadah dengan taufik dan hidayah-Nya. Setiap ibadah yang dilakukan seperti solat, haji dan sebagainya hendaklah dilakukan dengan penuh ketenangan. Hanya ibadah yang dilaksanakan dengan penuh ketenangan akan melahirkan kebesaran dan ketaqwaan kepada Allah SWT dalam hatinya.

6. Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan bahawa teguran Nabi itu bertujuan meluruskan kefahaman para sahabat, bahawa kebaikan (al-birr) bukanlah diukur melalui kepantasan, tetapi melalui adab dan ketenangan dalam amal ibadah.

7. Menolak sikap tergesa-gesa (ta‘ajul) – Islam menekankan ketenangan dalam segala hal, terutama dalam ibadah. Tergesa-gesa boleh membawa kepada kesilapan dan hilangnya roh ibadah.

8. Setiap Muslim hendaklah sentiasa bersifat tenang kerana sifat tergesa-gesa akan menyebabkan seseorang itu melakukan kesilapan dan ketidaksempurnaan dalam melakukan amal ibadah yang akhirnya menyebabkan amalan tersebut ditolak oleh Allah SWT.

9. Buat para Jemaah Haji yang diberi peluang mengerjakan ibadah haji dan menjadi tetamu duyufurrahman pada tahun ini, semoga sentiasa tenang beribadat di sana serta didoakan kebaikan dan mendapat haji yang mabrur.

زَوَّدَكَ اللَّهُ التَّقْوَى وَغَفَرَ ذَنْبَكَ وَيَسَّرَ لَكَ الْخَيْرَ حَيْثُمَا كُنْتَ

“Semoga Allah SWT membekalkanmu dengan ketaqwaan, mengampunkan dosamu dan Allah memudahkan kebaikan untukmu di mana sahaja kamu berada.”

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا

“Semoga Allah menganugerahkan haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

15hb Zulkaedah 1446H
13hb Mei 2025
 
Back
Top
Log in Register