BTC USD 84,095.2 Gold USD 4,285.46
Time now: Jun 1, 12:00 AM

KONGSI.. SATU hari SATU hadis

Hadis Muslim 90.jpg
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Haji dan Umrah Menghapuskan Kefakiran dan Dosa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَابِعُوا بَيْنَ الْحَجِّ وَالْعُمْرَةِ فَإِنَّهُمَا يَنْفِيَانِ الْفَقْرَ وَالذُّنُوبَ كَمَا يَنْفِي الْكِيرُ خَبَثَ الْحَدِيدِ وَالذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَلَيْسَ لِلْحَجَّةِ الْمَبْرُورَةِ ثَوَابٌ إِلَّا الْجَنَّة

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Laksanakanlah ibadah haji berserta umrah, maka sesungguhnya kedua-duanya akan menghapuskan kamu daripada kefakiran dan dosa-dosa, sebagaimana al-kir (bahan yang digunakan untuk menghilangkan) segala kekotoran besi, perak dan emas. Tidak ada balasan bagi haji yang mabrur melainkan syurga” (Sunan Tarmizi No: 738) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.Menjadi kewajipan bagi Muslim yang berkemampuan dan berkuasa untuk melaksanakan ibadat haji dan umrah

2.Orang yang melaksanakan ibadat haji dan umrah dengan bersungguh-sungguh sehingga mendapat haji yang mabrur akan mendapat ganjaran yang besar iaitu Syurga.

3.Mereka yang melaksanakan ibadat haji dan umrah dengan mengeluarkan perbelanjaan yang besar, namun Rasulullah SAW menjanjikan keberkahan rezeki dan dijauhkan dari kemiskinan.

4.Orang yang melaksanakan ibadat haji dan umrah dengan bersungguh-sungguh akan menjadi penghapus daripada dosa seperti bahan kimia yang boleh menghilangkan segala kekotoran pada besi, perak dan emas.

5.Mereka yang diterima ibadah hajinya (mabrur) di sisi Allah, tidak ada sebaik-baik ganjaran yang akan diperolehi melainkan syurga untuknya.

Bagi mereka yang akan mengerjakan ibadat haji, rebutlah peluang menjadikan ibadat haji dan umrah sebagai pembersih dosa-dosa dan mendapat keampunan serta ganjaran syurga.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

26hb Mei 2023
06hb Zulkaedah 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Umrah Menghapuskan Dosa Haji Mabrur Balasannya Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّة

Daripada Abi Hurairah RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Antara satu umrah ke satu umrah menghapuskan dosa antara keduanya dan haji yang mabrur tidak ada baginya ganjaran melainkan syurga” (Sahih Bukhari No: 1773) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Ibadat umrah yang dilakukan secara berulang menjadi penghapus dosa antara keduanya. Iaitu sesiapa yang melaksanakan ibadah umrah secara berulang kali, ia menjadi penghapus dosa-dosa kecil sepanjang tempoh jarak ibadah umrah tersebut.

2.Mereka yang diterima ibadah hajinya (haji mabrur) di sisi Allah, tidak ada sebaik-baik ganjaran yang akan diperolehi di sisi Allah melainkan syurga untuknya.

3.Setiap muslim mestilah berazam bersungguh-sungguh untuk menunaikan ibadah haji dan sentiasa berusaha sedaya mungkin dalam melaksanakan perintah Allah SWT tersebut. Hal ini jelas sepertimana firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” (Surah Ali-Imran: 97)

4.Menurut Syeikh al-Maraghi dalam menafsirkan ayat di atas, ia menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang muslim mukallaf yang berkemampuan. Perlaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 2/853)

Rebut peluang menjadikan ibadat haji dan umrah sebagai pembersih dosa-dosa dan mendapat keampunan serta ganjaran syurga.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

27hb Mei 2023
07hb Zulkaedah 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Satu Rumah Satu Ibadah Korban

عَنْ مِخْنَفِ بْنِ سُلَيْمٍ كُنَّا وَقُوفًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَفَةَ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ عَلَى كُلِّ أَهْلِ بَيْتٍ فِي كُلِّ عَامٍ أُضْحِيَّة

Daripada Mikhnaf bin Sulaim, kami berwukuf di Arafah bersama Rasulullah SAW dan aku mendengar baginda bersabda: Wahai sekalian manusia, sesungguhnya keatas setiap ahli sebuah rumah, satu ibadah korban pada setiap setahun" (HR Ibnu Majah No: 3116) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.Kita telah memasukki bulan Zulkaedah. Kita ada lebih kurang sebulan lagi untuk menyambut kedatangan Hari Raya Eidul Adha di mana antara amalan yang dituntut kepada Muslim adalah ibadah Kurban.

2.Berdasarkan hadis di atas, sebahagian ulamak beranggapan, Ibadah korban adalah sunat kifayah bagi setiap rumah (suatu sunat yang amat dituntut). Dalam mazhab Syafie ibadat korban ini sunat Muakkad.

3.Bagi Imam Abu Hanifah dan ulamak bermazhab Hanafi telah menetapkan bahawa menyembelih korban adalah wajib sekali setahun bagi orang bermukim dan berkemampuan daripada penduduk tempatan

4.Ibadat korban ini adalah sebahagian dari syiar agama sebagai memperingati pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan Ismail. Melaksanakan ibadat ini akan membangkitkan kesedaran untuk sentiasa membelanjakan harta dan berkorban semata-mata meninggikan syiar agama Allah

5.Jika kita mampu membayar bil handset RM 40.00 hingga RM 100.00 sebulan, sanggup membayar bil astro RM 60.00 bulanan, membeli surat khabar dan majalah tidak kurang RM 50.00 sebulan – sewajarnya kita juga mampu menyimpan RM 70.00 hingga 80.00 sebulan untuk membeli satu bahagian daripada korban pada setiap Hari Raya Korban.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

28hb Mei 2023
08hb Zulkaedah 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tuntutan Ibadat Korban Bagi Yang Mampu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ وَجَدَ سَعَةً فَلَمْ يُضَحِّ فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا

Daripada Abi Hurairah RA, telah bersabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang ada kelapangan belanja tetapi tidak melakukan korban, maka janganlah dia menghampiri masjid kami. (Musnad Ahmad No: 7924) Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.Ibadah korban sebagai tanda bersyukur di atas segala nikmat yang kita perolehi.

2.Orang yang berkemampuan tetapi tidak melaksanakan ibadah korban seolah-olahnya tidak layak mendatangi masjid untuk melaksanakan ibadat solat.

3.Dalam Mazhab Syafie, kelapangan belanja bermaksud seseorang yang mempunyai wang untuk membeli binatang korban, yang lebih daripada keperluannya dan keperluan mereka yang berada di bawah tanggungannya pada hari raya dan hari-hari tasyrik (10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah).

4.Dalam Mazhab Hanbali pula, kelapangan belanja ialah mereka yang dapat membeli harga korban walaupun secara meminjam atau berhutang, dan hutang itu mampu dijelaskan.

5.Imam Malik berkata: “Saya tidak suka terhadap seseorang yang mampu untuk menyembelih binatang (korban) lalu dia meninggalkannya (tidak melakukannya)”. (Lihat: الموطأ 2/38. Imam Malik. Syarah al-Muwatha: Tanwir al-Hawalik)

6.Berusaha melaksanakan ibadat korban agar ia menjadi penghapus kepada dosa-dosa kita dan memberi kelegaan khususnya kepada fakir miskin dan kegembiraan jiran tetangga.

7.Bagi mereka yang berkemampuan dan ada lebihan wang, afdhal melaksanakan Ibadat Korban di mana kita tinggal.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

29hb Mei 2023
09hb Zulkaedah 1444H
 
Back
Top
Log in Register