combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Kompleks Baharu JPJ N.Sembilan Bakal Dibina Dengan Kos RM140 Juta - Loke
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (tengah) beramah mesra bersama pelanggan yang berurusan di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Nilai selepas merasmikan pembukaan pejabat baharu itu, hari ini.
Turut sama Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli (kanan).
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan bakal memiliki kompleks baharu bernilai RM140 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata kompleks baharu itu akan dibangunkan di tapak sedia ada JPJ di Senawang selepas pejabat pengoperasian dipindahkan sepenuhnya ke pejabat sementara di Era Walk Terminal 2 Seremban yang dijangkakan pada tahun depan.
Beliau berkata bangunan sedia ada akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan kompleks bangunan lebih moden dan mesra pengguna yang akan direka mengikut keperluan semasa.
"Projek ini telah mendapat kelulusan di bawah RMK13 dan akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Fokus kita sekarang adalah menyediakan pejabat sementara sebelum pembinaan kompleks baharu dimulakan.
"Kerja pengubahsuaian pejabat sementara itu (akan mengambil masa) lebih kurang enam hingga lapan bulan sebelum boleh digunakan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan JPJ Cawangan Nilai, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.
Loke berkata kerajaan akan terus memastikan setiap sen yang dibelanjakan dalam pembangunan akan memberikan manfaat maksimum kepada rakyat.
Sementara itu, Loke berkata pejabat baru JPJ Cawangan Nilai seluas hampir 9,000 kaki persegi itu, melibatkan kos pengubahsuaian sebanyak RM1.7 juta dan berjaya disiapkan dalam tempoh kurang enam bulan sebelum mula beroperasi pada Isnin lepas.
Beliau berkata konsep mengoptimumkan penggunaan bangunan sedia ada turut diterapkan dalam pembukaan JPJ Cawangan Nilai yang beroperasi di ruang pejabat milik Majlis Bandaraya Seremban (MBS) itu sebagai langkah penjimatan untuk membina bangunan baharu.