Insiden Komander AKPS Ditembak: Shuhaily Akui Ancaman Sudah Dijangka
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, memberi penerangan pada sidang media selepas menerima taklimat mengenai insiden tembakan terhadap kenderaan Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir.
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Insiden tembakan terhadap kenderaan yang dinaiki oleh Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir, dipercayai mempunyai kaitan dengan tindakan penguatkuasaan tegas agensi itu sejak kebelakangan ini.
Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata beliau tidak menolak kemungkinan ada pihak terjejas susulan tindakan itu, sehingga mencetuskan risiko ancaman terhadap pegawai dan anggotanya.
Mohd Shuhaily berkata ancaman seperti itu telah dijangka dan beliau sendiri, semasa menyampaikan ucapan kepada komander-komandernya empat minggu lepas, telah mengingatkan pegawai serta anggotanya agar berwaspada dengan sebarang ancaman dan ugutan jenayah.
"Jadi, kita telah ambil perhatian (terhadap risiko ancaman) dan pagi ini kita tidak menjangka pergi ke tahap tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini hari ini, ketika diminta mengulas tentang insiden berkenaan.
Beliau berkata sejak ditubuhkan 14 bulan lepas, AKPS telah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan integriti, sekali gus memberikan tekanan kepada pihak yang selama ini terlibat dalam kegiatan menyalahi undang-undang.
"AKPS baru berusia 14 bulan dan untuk terima tekanan atau ancaman sedemikian, sudah tentu (AKPS) telah menzahirkan satu tekanan kepada pihak yang melanggar undang-undang selama ini. Siapa tak sanggup buat begitu, kalau tak rasa tertekan?
"Dalam tempoh 14 bulan ini, anak buah saya lakukan tugas dengan penuh keikhlasan dan kejujuran. Jadi, mungkin selama ini aktiviti (jenayah) biasa dah sukar dilaksanakan, itu menyebabkan ada tindak balas sedemikian," katanya.
Baru-baru ini, katanya, AKPS Bukit Kayu Hitam mencatat rekod rampasan tertinggi pelbagai barangan seludup bernilai lebih RM3.1 juta, hasil Ops Bersepadu yang dijalankan bermula dari 15 Jan hingga 15 Feb lepas.
"Ia merupakan satu rekod untuk pintu masuk Bukit Kayu Hitam yang belum pernah dicapai selama ini. Rekod itu membawa risiko yang dihadapi pagi tadi (insiden tembakan)," katanya.
Mohd Shuhaily Mohd Zain, AKPS, risiko, tembakan, K
www.bernama.com