Jangan lupa Kelantan pernah hendak menwujudkan hukum hudud tapi ditentang pelbagai pihak dengan akta ni.
Bab 1 - Pembahagian kuasa perundangan
Perkara 73. Takat undang-undang persekutuan dan Negeri.
Pada menjalankan kuasa perundangan yang diberikan kepadanya oleh Perlembagaan ini—
(a) Parlimen boleh membuat undang-undang bagi keseluruhan atau mana-mana bahagian Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa di luar dan juga di dalam Persekutuan.
(b) Badan Perundangan sesuatu Negeri boleh membuat undang-undang bagi keseluruhan atau mana-mana bahagian Negeri itu.
Perkara 74. Hal perkara undang-undang persekutuan dan Negeri.
(1) Tanpa menjejaskan apa-apa kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan kepadanya oleh mana-mana Perkara lain, Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Persekutuan atau Senarai Bersama (iaitu Senarai Pertama atau Ketiga yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan).
(2) Tanpa menjejaskan apa-apa kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan kepadanya oleh mana-mana Perkara lain,Badan Perundangan sesuatu Negeri boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri (iaitu Senarai Kedua yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan) atau Senarai Bersama.
(3) Kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan oleh Perkara ini boleh dijalankan tertakluk kepada apa-apa syarat atau sekatan yang dikenakan oleh Perlembagaan ini mengenai mana-mana perkara tertentu.
(4) Jika ungkapan am dan juga ungkapan khusus digunakan pada memperihalkan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai-Senarai yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan maka keluasan ungkapan am itu tidak boleh dikira sebagai dihadkan oleh ungkapan khusus itu.
Perkara 75. Ketidakselarasan antara undang-undang persekutuan dengan undang-undang Negeri.
Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu.
Perkara 76. Kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang bagi Negeri-Negeri dalam hal-hal tertentu.
(1) Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri, tetapi hanya seperti yang berikut sahaja, iaitu:
(a) bagi maksud melaksanakan apa-apa triti, perjanjian atau konvensyen antara Persekutuan dengan mana-mana negara lain, atau apa-apa keputusan sesuatu organisasi antarabangsa yang dianggotai oleh Persekutuan; atau
(b) bagi maksud menggalakkan keseragaman undang-undang antara dua Negeri atau lebih; atau
(c) jika diminta sedemikian oleh Dewan Undangan mana-mana Negeri.
(2) Tiada undang-undang boleh dibuat menurut perenggan (a) Fasal (1) mengenai apa-apa perkara mengenai hukum Syarak atau adat orang Melayu atau mengenai apa-apa perkara tentang undang-undang atau adat anak negeri di Negeri Sabah dan Sarawak dan tiada Rang Undang-Undang bagi suatu undang-undang di bawah perenggan itu boleh dibawa di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen sehingga Kerajaan mana-mana Negeri yang berkenaan telah dirundingi.
(3) Tertakluk kepada Fasal (4), sesuatu undang-undang yang dibuat menurut perenggan (b) atau perenggan (c) Fasal (1) tidak boleh berkuat kuasa di mana-mana Negeri sehingga undang-undang itu telah diterima pakai melalui suatu undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu, dan selepas itu hendaklah disifatkan sebagai suatu undang-undang Negeri dan bukan suatu undang-undang persekutuan, dan boleh dipinda atau dimansuhkan sewajarnya melalui suatu undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan itu.
(4) Parlimen boleh, hanya bagi maksud memastikan keseragaman undang-undang dan dasar, membuat undang-undang mengenai pemegangan tanah, perhubungan antara tuan tanah dengan penyewa, pendaftaran hakmilik dan surat ikatan yang berhubungan dengan tanah, pindah hakmilik tanah, gadai janji, pajakan dan gadaian berkenaan dengan tanah, isemen dan hak dan kepentingan lain mengenai tanah, pengambilan tanah dengan paksa, perkadaran dan penilaian tanah, dan kerajaan tempatan; dan Fasal (1)(b) dan (3) tidaklah terpakai bagi mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan mana-mana perkara itu.
Perkara 76A. Kuasa Parlimen untuk memperluas kuasa perundangan Negeri.
(1) Dengan ini ditegaskan bahawa kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang mengenai sesuatu perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Persekutuan termasuklah kuasa untuk membenarkan Badan-Badan Perundangan Negeri-Negeri atau mana-mana daripadanya, tertakluk kepada apa-apa syarat atau sekatan (jika ada) yang dikenakan oleh Parlimen, untuk membuat undang-undang mengenai kesemua atau mana-mana bahagian perkara itu.
(2) Walau apa pun Perkara 75, sesuatu undang-undang Negeri yang dibuat di bawah kuasa yang diberikan oleh Akta Parlimen sebagaimana yang disebut dalam Fasal (1) boleh, jika dan setakat yang diperuntukkan sedemikian oleh Akta itu, meminda atau memansuhkan (berkenaan dengan Negeri yang berkenaan) mana-mana undang-undang persekutuan yang telah diluluskan sebelum Akta itu.
(3) Apa-apa perkara yang mengenainya Badan Perundangan sesuatu Negeri dibenarkan pada masa itu oleh Akta Parlimen untuk membuat undang-undang hendaklah, bagi maksud Perkara 79, 80 dan 82, dikira berkenaan dengan Negeri yang berkenaan seolah-olah perkara itu ialah suatu perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Bersama.
Perkara 77. Kuasa baki perundangan.
Badan Perundangan sesuatu Negeri berkuasa membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang tidak disebut satu persatu dalam mana-mana Senarai yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan, iaitu yang bukan suatu perkara yang berkenaan dengannya Parlimen berkuasa membuat undang-undang.
Perkara 78. Perundangan yang menyekat penggunaan sungai.
Setakat yang mana-mana undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau mana-mana peraturan yang dibuat menurut suatu undang-undang yang sedemikian menyekat hak sesuatu Negeri atau pemastautinnya untuk menggunakan untuk pelayaran atau pengairan mana-mana sungai yang terletak keseluruhannya di dalam Negeri itu, undang-undang atau peraturan itu tidak boleh berkuat kuasa di dalam Negeri itu melainkan jika undang-undang atau peraturan itu telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri itu melalui suatu ketetapan yang disokong oleh majoriti jumlah bilangan ahlinya.
Perkara 79. Penjalanan kuasa perundangan bersama.
(1) Jika didapati oleh pegawai pengerusi mana-mana satu Majlis Parlimen atau pegawai pengerusi Dewan Undangan mana-mana Negeri bahawa sesuatu Rang Undang-Undang atau sesuatu pindaan kepada Rang Undang-Undang mencadangkan suatu perubahan dalam undang-undang yang berhubungan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Bersama, atau dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri yang mengenainya Persekutuan sedang menjalankan fungsi mengikut Perkara 94, maka dia hendaklah memperakui Rang Undang-Undang atau pindaan itu bagi maksud Perkara ini.
(2) Sesuatu Rang Undang-Undang atau pindaan yang diperakui di bawah Perkara ini tidak boleh diteruskan sehingga empat minggu telah berlalu selepas penyiarannya, melainkan jika pegawai pengerusi itu membenarkan Rang Undang-Undang atau pindaan itu diteruskan atas alasan keterdesakan, setelah berpuas hati bahawa Kerajaan Negeri atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, Kerajaan Persekutuan, telah dirundingi.