INSIDEN HARIMAU BELANG DI JALAN FELDA LEPANG NENERING
Malam ini saya berpeluang bersama pasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Daerah Hulu Perak turun ke lokasi kejadian bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas serta maklumat lanjut berhubung situasi tersebut.
Hasil pemantauan di lokasi mendapati harimau berkenaan tidak lagi berada di kawasan kejadian dan dipercayai telah kembali memasuki hutan berhampiran. Walau bagaimanapun, haiwan tersebut dilaporkan berada dalam keadaan cedera, sangat agresif dan boleh mengancam keselamatan sesiapa sahaja.
Pihak PERHILITAN Daerah Hulu Perak, dengan bantuan Unit Harimau Negeri Perak, akan melaksanakan pemantauan khusus bagi memastikan keselamatan penduduk serta pengguna jalan raya.
Saya menyeru kepada warga Felda Nenering, masyarakat setempat dan pengguna lalu lintas agar mengelakkan berada di kawasan tersebut buat sementara waktu serta sentiasa berhati-hati ketika melalui laluan berkenaan.
Terima kasih diucapkan kepada pihak PERHILITAN atas tindakan pantas dan keprihatinan mereka dalam menangani insiden ini.
Sumber Amin Roslan
Perhilitan pantau insiden harimau belang dilanggar kenderaan di Jalan Felda Lepang Nenering
GERIK : Pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Hulu Perak, dengan bantuan Unit Harimau Negeri Perak melaksanakan pemantauan khusus bagi memastikan keselamatan penduduk serta pengguna jalan raya.
Ini susulan aduan berkenaan seekor harimau belang dilanggar sebuah kenderaan di Jalan Felda Lepang Nenering, Pengkalan Hulu malam semalam.
Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 7.33 malam berdasarkan rakaman daripada kamera papan pemuka yang tular di media sosial.
Perkara tersebut dikongsi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Mohamad Amin Roslan menerusi hantaran dalam laman Facebook beliau.
Menurut Mohamad Amin, beliau berpeluang bersama pasukan Perhilitan Daerah Hulu Perak turun ke lokasi kejadian bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas serta maklumat lanjut berhubung situasi tersebut.
Hasil pemantauan di lokasi mendapati, harimau berkenaan tidak lagi berada di kawasan kejadian dan dipercayai telah kembali memasuki hutan berhampiran.
Kata Mohamad Amin, bagaimanapun haiwan tersebut dilaporkan berada dalam keadaan cedera, sangat agresif dan boleh mengancam keselamatan sesiapa sahaja.
“Pihak Perhilitan Daerah Hulu Perak, dengan bantuan Unit Harimau Negeri Perak, akan melaksanakan pemantauan khusus bagi memastikan keselamatan penduduk serta pengguna jalan raya.
“Saya menyeru kepada warga Felda Nenering, masyarakat setempat dan pengguna lalu lintas agar mengelakkan berada di kawasan tersebut buat sementara waktu serta sentiasa berhati-hati ketika melalui laluan berkenaan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau meminta penduduk setempat supaya berhati-hati dan pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada pihak Perhilitan atas tindakan pantas yang diambil.
Pada November tahun lalu, seekor harimau belang mati akibat dilanggar lori di KM67.1 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa.
Hasil siasatan mendapati harimau itu dilanggar lori yang sedang dalam perjalanan dari Gerik ke Jeli sekitar 5.30 pagi.
Video kejadian itu tular memaparkan bangkai harimau belang di atas jalan raya yang hanya tinggal kepala selepas dipercayai dilanggar lori, di samping video memaparkan bahagian badan bangkai haiwan itu yang hampir keseluruhan sudah tercabut bahagian kulitnya.
#Peraktastic