combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,142
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,142
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Kes Demam Denggi Meningkat 66 Peratus - Fahmi
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi hari ini.
Kes demam denggi di negara ini meningkat 66 peratus kepada 65,979 kes sehingga minggu epidemiologi ke-35 tahun ini, berbanding 39,616 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata peningkatan itu antara perkara yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam taklimat mengenai status terkini kes demam denggi hari ini.
"Bagi kumulatif kematian bagi tahun 2025 hingga minggu epidemik ke-35 terdapat 32 kes dan bagi 2026 tempoh masa yang sama terdapat 62 kes dan ini adalah peningkatan 93.8 peratus," katanya pada sidang media mingguan pascamesyuarat Kabinet di sini.
Fahmi berkata bagi langkah pencegahan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan program gotong-royong secara besar-besaran dalam tempoh beberapa bulan akan datang sebagai antara langkah mempergiat usaha membendung penularan denggi.
"Pada masa sama, antara perkara yang dibincangkan ialah usaha perlu ditingkatkan untuk melakukan gotong-royong perdana, termasuk di kawasan-kawasan dikenal pasti sebagai zon merah ataupun berlaku wabak," katanya.
Fahmi berkata Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai pencapaian dan kejayaan program pembiakan nyamuk aedes BerWolbachia termasuk pelaksanaannya di Putrajaya.
Beliau menjelaskan nyamuk aedes yang mempunyai Wolbachia berupaya merencatkan pembiakan virus denggi, sekali gus mengurangkan keupayaan virus tersebut untuk disebarkan.
Bagaimanapun, beliau berkata aktiviti fogging atau semburan asap boleh membunuh nyamuk aedes BerWolbachia yang dilepaskan dalam program berkenaan.
"Namun, apabila berlaku proses fogging, nyamuk-nyamuk Wolbachia juga mati. Jadi itu salah satu perkara yang telah dimaklumkan," katanya.