Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,777
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,777
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Pengerusi Majlis Perniagaan BIMP-EAGA Malaysia Tawau Wong Thart Sin
Langkah kerajaan Persekutuan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung pemberian khas negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan negeri itu.
Pengerusi Majlis Perniagaan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) Tawau Wong Thart Sin berkata keputusan itu membuka ruang perbincangan untuk membawa lebih banyak hasil ke Sabah.
"Saya percaya melalui hasil itu, pembangunan mampan dapat direalisasikan seperti kemudahan infrastruktur, pendidikan dan kesihatan yang bakal memberi manfaat yang besar kepada rakyat.
“Pembangunan ekonomi penduduk setempat juga dapat dilaksanakan dengan lebih baik misalnya peruntukan kepada satu kampung untuk satu perusahaan mikro, kecil dan sederhana diwujudkan," katanya kepada Bernama.
Pada 17 Okt, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan bagi tahun 1974 hingga 2021.
Pada Isnin lepas, Jabatan Peguam Negara memaklumkan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri telah memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu.
Bagi pereka fesyen, Mohd Norwahidin Noordin, 24, pemberian khas itu dapat memajukan kawasan pelancongan seperti di tempat kelahirannya di Semporna sebagai pusat pelancongan berdaya maju yang seterusnya memberi limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan.
“Semporna semakin menjadi tumpuan pelancong luar untuk melancong ke pulau-pulau di daerah itu, oleh itu kemudahan infrastruktur perlu ditambah baik dengan membina lebih banyak hotel-hotel sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya.
Hasil itu dapat membiayai pembinaan sebuah lapangan terbang di Semporna bagi memudahkan akses kepada pelancong memandangkan ketika ini mereka perlu mendarat di Lapangan Terbang Tawau yang terletak lebih 80 kilometer dari bandar Semporna.
Kerajaan Tidak Rayu Keputusan 40 Peratus Hasil, Beri Impak Positif Kepada Sabah
Sabah, Semporna, pemberian khas 40 peratus, rayuan