combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Kerajaan Teliti Inisiatif Perkasa Galeri Karyawan Nordin Ahmad - Fahmi
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil ditemu bual pemberita selepas melakukan lawatan di Galeri Karyawan Nordin Ahmad di Permatang Pasir hari ini.
Kerajaan akan meneliti inisiatif yang sesuai bagi memperkasakan Galeri Karyawan Nordin Ahmad di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir, di sini sebagai usaha memelihara khazanah seni dan filem Melayu untuk tatapan generasi akan datang.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perpaduan Negara bagi melihat bentuk bantuan, sokongan atau khidmat nasihat dalam menguruskan galeri itu memandangkan muzium berada di bawah bidang kuasa kementerian itu.
Beliau berkata usaha yang digerakkan oleh penggiat seni dan karyawan Pulau Pinang untuk mengangkat legasi Allahyarham Datuk Nordin Ahmad wajar diberikan sokongan kerana tokoh itu merupakan antara ikon penting dalam era kegemilangan filem Melayu.
“Ketokohan Datuk Nordin Ahmad tidak boleh dipertikai dan saya nampak usaha seperti ini membuka lembaran baharu terutama untuk generasi muda mengenali bukan hanya karya-karya, lagu-lagu tetapi juga sedikit sebanyak tentang sejarah perjalanan hidup Allahyarham,” katanya kepada pemberita selepas melawat galeri itu hari ini.
Fahmi turut meninjau ruang pameran interaktif yang menampilkan foto arkib, memorabilia dan bahan digital berkaitan Allahyarham yang merupakan antara pelakon unggul dan bintang besar pada era filem Melayu klasik.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Presiden Karyawan Pulau Pinang Datuk Dr Sohaimi Abdul Aziz.
Fahmi berkata beliau akan meminta FINAS untuk membantu menyediakan bahan arkib termasuk klip filem lama dalam resolusi tinggi bagi memperkayakan koleksi galeri berkenaan.
Beliau turut mencadangkan agar kandungan serta kaedah persembahan di galeri itu dipertingkatkan supaya lebih bersifat interaktif dan dekat dengan golongan muda termasuk memanfaatkan teknologi digital serta kandungan media sosial.
“Terdapat banyak cara termasuk menyediakan filter atau background untuk anak muda buat kandungan TikTok, jadi nanti kita akan bantu untuk galeri ini untuk terus berkembang,” katanya.