kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,704
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,704
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Kerajaan Akan Laksana LSS6, Bakal Beroperasi Secara Berperingkat Pada Akhir 2029 - PETRA
Kerajaan akan melaksanakan Program Solar Berskala Besar Pusingan Keenam (LSS6) dengan jumlah penawaran kuota sebanyak 2,650 megawatt (MW) yang dijangka beroperasi secara berperingkat pada 31 Dis 2029.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu merangkumi 2,500MW solar bersama Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), iaitu 1,250MW BESS, selain 150MW solar khusus bagi syarikat Bumiputera di Semenanjung Malaysia.
"Pelaksanaan LSS6 merupakan kesinambungan kepada kejayaan program LSS terdahulu yang telah memperkukuh pembangunan industri solar tempatan serta menurunkan kos penjanaan elektrik melalui mekanisme bidaan yang telus dan berasaskan pasaran.
"Bagi membolehkan penyertaan syarikat menjadi lebih meluas, LSS6 akan dilaksanakan menerusi tiga pakej iaitu Pakej 1 membabitkan tender terbuka kepada semua pemaju bagi kapasiti 2,200MW solar dan 1,100MW BESS, Pakej 2 tender terbuka Bumiputera dengan kapasiti 300MW solar dan 150MW BESS serta Pakej 3 melibatkan 150MW solar Bumiputera tanpa BESS," menurut kenyataan itu.
PETRA memaklumkan bagi memastikan penawaran kapasiti dilaksanakan secara adil, telus dan berdaya saing beberapa penambahbaikan dasar turut diperkenalkan.
Antara penambahbaikan tersebut ialah pembangunan loji solar berskala besar secara hibrid bersama BESS untuk meningkatkan kestabilan, fleksibiliti dan kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik negara, selain memberi keutamaan kepada pembida yang menggunakan modul solar fotovolta dihasilkan secara domestik.
Menurut kenyataan itu, tumpuan pembangunan projek akan diberikan di kawasan strategik yang mempunyai pertumbuhan permintaan elektrik tinggi, khususnya di wilayah selatan Semenanjung, bagi mengoptimumkan perancangan penjanaan dan sistem penghantaran elektrik negara.
PETRA memaklumkan pelaksanaan LSS6 dijangka menarik pelaburan swasta sekitar RM13 bilion hingga RM15 bilion serta mewujudkan sebanyak 15,000 hingga 20,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembangunan dan pembinaan projek.
"Di samping itu, program ini diunjurkan dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida sekitar 2.6 juta tan setahun, sekali gus menyokong komitmen negara ke arah peralihan tenaga rendah karbon dan pencapaian sasaran pembangunan mampan," menurut kenyataan itu.
Loading…
www.bernama.com