BTC USD 84,787.6 Gold USD 4,140.83
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Kepimpinan Ulamak???

Yul-Minho

Legendary Member
gem
Messages
15,946
Joined
Jul 23, 2012
Messages
15,946
Reaction score
1,172
Points
201
Ada satu isu yang saya rasa terpanggil untuk mengulas ringkas. Lebih-lebih lagi, ramai yang bertanyakan saya. Alang-alang biar saya tulis di blog sahajalah. Isu ini mungkin agak panas baru-baru ini. Banyak blogger menulis. Banyak yang diminta ulasan. Panasnya, hingga kebanyakan berita di laman rasmi Dewan Ulamak PAS berlegar sekitar isu ini. Isunya “Kepimpinan ulamak”. Perlu sangatkah ulamak yang menjadi pimpinan atau, tak kisahlah siapa pun, yang penting mendaulatkan Islam.

Sebelum saya menulis lanjut, perlu ditegaskan di sini, maksud saya dengan kempimpinan ulamak di sini, adalah ulamak yang memang mampu mentadbir dan memimpin serta memahami keperluan kepimpinan. Tidak dinafikan bukan semua ulamak mampu mantadbir. Adanya ulamak yang berjiwa bagai Sayidina Abu Dzar Radhiyallahu ‘Anh (yang cukup hebat tetapi tidak disarankan menjadi pemimpin) bukan menjadi kayu ukur kepimpinan ulamak yang dimaksudkan.

Saya juga perlu sebutkan di sini, kepimpinan bukanlah suatu perkara yang patut direbutkan oleh mana-mana pihak jua, tak kira ulamak mahupun profesional. Ia adalah satu beban, satu tanggungjawab yang akan ditanya oleh Allah di hari pembalasan nanti. Akan tetapi ia juga satu fardhu kifayah yang wajib ada dalam Negara Islam.


Saya ingin mengulas ringkas persoalan dari tiga sudut:

1. Apa pandangan Fuqaha‘?

2. Bagaimana dengan sejarah?

3. Bagaimana pula pimpinan Ikhwanul Muslimin baru-baru ini yang bukan berstatus ulamak?


1. Apa pandangan Fuqaha‘?

Secara ringkasnya, majoriti Fuqaha’ meletakkan syarat untuk seseorang menjadi khalifah atau pemimpin tertinggi Ummat Islam mestilah seorang mujtahid. Bukan calang-calang ulamak. MUJTAHID lagi. Ini kerana urusan sebagai khalifah bukanlah mentadbir manusia dalam urusan dunianya sahaja, tetapi juga akhiratnya. Malah mengatur urusan dunia juga dengan panduan syariat. Jadi hanya seorang yang arif urusan akhirat sahaja yang boleh mentadbir.

Andaikata tiada mujtahid pada zaman tersebut yang dapat mentadbir, maka diserahkan pula kepada orang yang paling banyak memiliki syarat-syarat ijtihad yang telah digariskan oleh para ulamak. Terlalu tinggi syaratnya, dan bukan sekadar memahami tuntutan agama secara dasar sahaja.

Dalam masa yang sama, ulamak yang mentadbir perlu merujuk kepada mereka yang pakar dalam bidang masing-masing untuk kelicinan pentadbirannya, sebagaimana yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam isu “mengahwinkan” pokok.

Namun tidak dinafikan di sana ada satu pendapat daripada Mazhab Hanafi yang berpandangan tidak disyaratkan untuk menjadi pempimpin mestilah seorang bertaraf mujtahid. Dalam pendapat ini, cukuplah seorang Muslim yang berfahaman dasar agama, dan sentiasa menjadikan ulamak sebagai sumber rujukan.

Pandangan majoriti Fuqaha’ bahawa syarat pemimpin mestilah seorang mujtahid ini juga menolak pandangan sebahagian pihak bahawa ulamak mestilah non-partisan dan menjauhkan diri dari urusan politik. Ini kerana jika semua ulamak terdahulu berpandangan begitu, bagaimana mungkin mereka meletakkan syarat mujtahid ini pada seorang khalifah.


2. Belajar dari sejarah..

Sesiapa yang tidak membaca sejarah takkan mampu mencipta sejarah. Kalam ini saya selalu ulang dalam ceramah-ceramah saya. Dalam isu sebesar ini lebih-lebih lagi kita perlu melihat kembali sejarah kita.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah pemimpin Negara Islam pertama. Itu tiada syak lagi. Selepas kewafatan baginda, bukan semua sahabat menjadi rujukan ilmu agama, dan berstatus mujtahid. Pengganti Baginda, Sayidina Abu Bakar asalnya seorang profesional. Tetapi akhirnya menjadi seorang mujtahid di kalangan para sahabat. Begitu juga dengan Sayidina Umar, Sayidina Utsman dan Sayidina Ali Radhiyallahu ‘Anhum Ajma’in. Kesemua mereka tergolong di kalangan mujtahid terbesar daripada para sahabat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Mereka ini dinamakan Khulafa’ Arrasyidin.

Pengganti mereka pula adalah Sayidina Muawiyah. Juga di kalangan profesional yang menjadi ulamak. Beliaulah penulis wahyu. Beliau juga perawi hadis. Beliau juga salah seorang ulamak di kalangan para sahabat. Selepas itu, turun pula pemerintahan kepada anaknya Yazid. Yazid bukan ulamak. Apa yang terjadi?

Fitnah besar melanda ummat Islam. Perpecahan demi perpecahan yang besar berlaku. Tidak dinafikan pada zaman Muawiyah sudah wujud perpecahan ini. Malah daripada zaman Sayidina Abu Bakar dengan golongan enggan membayar zakat, dan begitu juga zaman Khulafa’ Arrasyidin yang lain. Akan tetapi di zaman Yazid, ia tidak terkawal. Perpecahan cukup besar, hingga empayar Islam ketika itu tidak diketahui siapa pemerintah sebenarnya.

Mungkin ada yang menyebut, lihatlah Khulafa’ Arrasyidin itu semuanya profesional bukan? Memang benar. Tetapi mereka telah ditarbiah oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri hingga mereka menjadi mujtahid besar. Profesional kita hari ini pun boleh jadi ulamak jika belajar dengan bersistem dan bukan hanya dasar-dasar Islam sahaja. Ilmu Islam boleh dipelajari oleh semua pihak. Menjadi mujtahid atau tidak, itu anugerah Allah.


3. Pimpinan Ikhwanul Muslimin pula bagaimana?

Ada pihak di Malaysia (malah di kalangan mereka yang ingin berjuang dalam gerakan Islam) yang menimbulkan persoalan, Syaikh Mustafa Masyhur dan Syaikh Mahdi Akif bukanlah di kalangan ulamak, akan tetapi bagaimana mereka menjadi Mursyidul Am bagi sebuah gerakan Islam yang cukup hebat, Ikhwanul Muslimin?

Senang ceritanya, Syaikh Mustafa Masyhur dan Syaikh Mahdi Akif walaupun tidak digelar ulamak, tetapi keilmuan mereka jauh lebih tinggi berbanding kebanyakan “ustaz-ustaz” kita di Malaysia. Kitab-kitab karangan mereka sahaja sudah membuktikan betapa tinggi ilmu mereka. Banding dengan Ustaz pun kita kalah, belum nak dibandingkan dengan golongan profesional kita.

Mereka tidak digelar ulamak. Tetapi mereka telah menghafal AlQuran dari kecil. Hadis telah menjadi sebati dalam diri. Kalam Fuqaha’ dan ulamak mereka telah hadami. Walaupun Syaikh Mahdi contohnya, adalah guru sukan, tetapi beliau adalah khatib di Masjid. Beliau adalah pendakwah yang cukup tegar. Ilmunya jauh lebih hebat dari kita. Jadi sebenarnya perbandingan yang kita lakukan dengan profesional Malaysia lansung tidak kena. Malah ia lebih menunjukkan betapa Ikhwanul Muslimin sehingga hari ini masih lagi menitikberatkan kepimpinan ulamak.

Adapun di Malaysia, oleh kerana suasana tempatan kita yang jauh berbeza, dan tahap keilmuan kita juga yang masih rendah, maka tahap mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda dalam Pengajian Islam adalah satu kayu ukur mudah untuk ketetapan kelayakan minimum. Saya mengakui ada juga mereka yang tiada ijazah jauh lebih alim daripada yang mempunyai PhD., akan tetapi amat sukar untuk kita menentukan tanpa kayu ukur begini.

Akan tetapi bukan semua yang memiliki ijazah sarjana muda (hatta PhD) dalam pengajian Islam adalah ulamak. Banyak juga apa yang diistilahkan sebagai Ustaz Mee Segera atau Ulamak Mee Celup. Ada juga yang ijazah bergulung tetapi kefahaman agama amat kurang, maka kita perlu pula meletakkan syarat-syarat lain untuk mengenalpasti golongan ulamak (antaranya adalah dengan mengenalpasti dengan guru-guru mana yang dipelajari, dan kitab-kitab apakah yang sudah dikhatamkan).



Penutup

Tulisan ini bukan ingin merendahkan mana-mana golongan. Maaf jika ada yang terasa pula. Ia hanya sekadar satu pencerahan yang saya rasa perlu dilakukan, dan satu jawapan kepada beberapa persoalan yang masih berbuku di hati kebanyakan kita, khususnya yang ingin bergelar pejuang Islam.

Saya juga tidak menafikan kewujudan khilaf ulamak dalam hal ini yang membolehkan kita bertaqlid dengan pendapat kedua. Namun saya masih tidak nampak rasionalnya untuk meninggalkan pendapat majoriti Fuqaha’ ini berdasarkan sirah dan pengalaman gerakan Islam selama ini.

Moga gerakan Islam akan makin utuh apabila gabungan ulamak dan profesional dapat bersatu hati dan tidak berpuak-puak. Malah biarlah kita menjadi satu. Sudah ramai ulamak yang menjadi profesional pada hari ini. Satu hari nanti, kita harapkan moga ramai di kalangan profesional kita pula yang boleh bergelar ulamak kemudiannya. Amiin…




sumber
 
Siapa Ulamak???

Kebelakangan ini, ramai sungguh yang bertanya saya persoalan sebegini:

“Ustaz, siapa yang dikatakan ulamak itu?”

“Berapa lama tempohnya nak jadi ulamak ya?”

“Selepas berapa lama jadi pendakwah baru orang tu boleh diiktiraf menjadi ulamak ya?”

Kalau nak jawab cara ilmiah universiti panjang berjela. Sebenarnya sudah banyak pun yang ditulis. Tapi ramai yang tidak membacanya, mungkin kerana jemu, malas atau tak ada masa. Jadi, saya jawab secara ringkas berdasarkan beberapa nas Al-Quran dan Hadis dan bukan penerangan cara universiti ya.

Mudahnya ulamak adalah jama’ (plural) kepada perkataan ‘alim. ‘Alim pula yang berilmu. Bila disebutkan ‘alim dalam kefahaman kita adalah yang berilmu agama. Kriteria nak jadi ulamak yang hakiki banyak sangat. Antaranya:

1) Allah Ta’ala berfirman:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ

“Hanya yang takutkan Allah di kalangan hamba-hamba-Nya adalah Ulamak“

Sayyidina Anas berkata: Sesiapa yang tidak takutkan Allah bukanlah orang alim.

Jadi, kriteria utamanya mestilah takutkan Allah. Kalau berani lawan Allah, sertai golongan sekular yang menentang hukum Allah, walau ada PhD bertimbun pun tak dikira ulamak. Inilah yang menyebabkan istilah “Ulamak UMNO” sebenarnya tidak sah dan tidak boleh wujud.

Begitu juga yang tidak beradab dengan para ulamak agung yang lain, maka bukanlah dia seorang yang alim. Salah satu tanda seseorang itu takut pada Allah adalah dia mencintai para kekasih Allah dan tentu sekali menjaga lidahnya dari berkata buruk kepada mereka. Bekas mufti sekalipun, kalau lidah biasa berkata nista pada Imam Al-Ghazali, Imam Annawawi dan lain-lain, maka bukanlah seorang alim dalam erti kata sebenarnya. Begitu juga yang berkata “Dr Haron Din ulamak kepala lutut,” walau rajin menulis blog dengan tulisan yang dipenuhi Al-Quran, Hadis dan petikan kitab, maka bukanlah dia seorang yang wajar dijadikan rujukan mahupun digelar seorang alim.

2) Dalam sebuah hadis yang sahih:

وإنما العلم بالتعلم

Dan ilmu itu (didapati) dengan ta’allum (dipelajari dari guru).

Hadis ini sebenarnya sambungan kepada hadis yang popular berkenaan sesiapa yang Allah hendakkan baginya kebaikan, Allah akan memahamkannya dalam agama.

Jadi syarat nak jadi ‘alim mesti belajar. Tempohnya? Tentu sekali panjang dengan ilmu yang begitu banyak hendak dipelajari. Bukan hanya membaca buku sendiri. Bukan juga dengan melihat di laman-laman web sahaja. Bukan juga dengan pandai berkata-kata atau menulis. Tetapi mestilah dengan dipelajari secara tersusun dengan tertib dan adabnya, dari guru yang belajar pula dengan gurunya hinggalah kepada Penghulu semua guru-guru, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Hari ini ramai yang hendak boleh bercakap dan menulis ilmu agama. Malah dikatakan “ada 10 juta mufti di Malaysia”. Masing-masing hendak mengeluarkan fatwa. Malangnya, tidak pernah pula belajar. Malah tidak menghormati pula golongan ulamak yang sebenar. Merasakan diri sudah alim hanya semata-mata dengan pembacaan di sana sini.

3) Hadis sahih yang lain pula:

إن العلماء ورثة الأنبياء

Sesungguhnya ‘ulamak adalah waris para nabi

Apa yang mereka warisi? Tentu sekali ilmu. Apa yang patut ada pada mereka? Menyambung perjuangan, dakwah dan kepimpinan para Nabi. Mereka yang berpeluk tubuh sahaja bukanlah para ulamak. Waris Nabi yang sebenar tentulah menyedari tanggungjawab ilmu yang mereka warisi dari para Nabi. Tanggungjawab yang tersangat berat.

Malah inilah yang disebutkan dalam hadis yang lain bahawa apabila ilmu itu diangkat oleh Allah dengan mematikan para ‘ulamak, maka manusia akan mengangkat orang yang jahil sebagai pemimpin, sesat lagi menyesatkan. Bermakna selagi ‘ulamak hidup, mereka perlu memimpin masyarakat, menyelamatkan masyarakat dari kesesatan, selayaknya tugas sebagai waris para nabi.

Hari ini ada yang mengatakan ulamak sepatutnya jauh dari politik dan permasalahan negara. Ulamak perlu berceramah dari masjid ke masjid sahaja. Ulamak tulislah kitab (dan blog?). Ulamak duduklah di atas sajadah mendoakan kebahagian ummah. Urusan kepimpinan serahkan sahaja kepada yang lain. Jangan diganggu. Sangat berbahaya pemikiran begini. Nantikanlah kiamat bila semua manusia berfikiran begini, kerana “matilah” ulamak yang sebenar.

Hari ini juga di kalangan mereka yang duduk dalam perjuangan Islam pun hendak mengubah dari “kepimpinan ulamak” kepada “kepimpinan berkebajikan”, ”kepimpinan bertaqwa” dan sebagainya. Inilah masalahnya apabila tidak menilai dengan neraca Syariat bersumberkan Al-Quran dan Hadis. Lupakah kita, ulamak rabbani, mereka dipimpin oleh Allah. Bagai hadis qudsi yang menyebutkan perihal kekasih Allah. Penglihatan, pedengaran dan pergerakan mereka semua dipandu oleh Allah, berkat amalan mereka yang tentu jauh lebih banyak dari kita. Mana yang lebih baik, pergerakan yang dipandu oleh Allah atau yang dipandu oleh otak yang genius dan pemikiran politikus hebat?

Catatan hujung:

1) Banyak lagi ciri yang lain yang mungkin boleh disebutkan dari masa ke masa nanti insyaAllah

2) Pendakwah tak semestinya ‘alim. Ibarat penjual sesuatu produk tidak semestinya arif segala perkara yang dijualnya. Pendakwah ibarat yang mempromosikan produk Islam. Tetapi yang mengerti produk itu sendiri adalah seorang ‘alim. Ada juga yang mengerti produk tapi tak reti nak promosikannya. Maka ‘ulamak yang hebat biasanya ada kedua-duanya.

3) Gulungan ijazah bukan nilai seorang itu alim atau tidak. Tapi syarat nak jadi alim mesti belajar. Zaman kita biasanya bila belajar dapatlah gulungan ijazah. Tapi tak semua yang dapat gulungan ijazah itu benar-benar belajar. Fahamilah.

4) Ulamak ada pelbagai peringkat. Dari sehebat seorang Mujtahid Mutlaq, hinggalah seorang mufti, sampai seorang ‘alim biasa.

5) Hadis – Seluruh yang berada di langit dan bumi memohon keampunan bagi seorang alim. Untung kan? Siapalah kita berbanding mereka.

Doakan kita semua boleh menjadi seperti mereka, waris sebenar para Nabi, atau sekurang-kurangnya termasuk dalam golongan yang mencintai mereka. Mudah-mudahan di akhirat nanti kita dibangkitkan bersama mereka. Seronoknya kalau bangun dari kubur nanti, tengok kanan ada Imam Al-Ghazali, tengok kiri ada Imam An-Nawawi, tengok depan ada Imam Assyafie…
 
Kriteria Qawiy dan Amin, bukan lulusan agama?

Dalam keadaan demam yang memberi peluang kepada saya tidak ke kuliah maghrib, saya pun membuka beberapa buah kitab tafsir yang ada dalam simpanan, berkenaan ayat tersebut, serta kitab-kitab berkenaan pentadbiran Islam yang ditulis ratusan tahun dahulu jauh dari politik Malaysia atau politik dalaman mana-mana parti di Malaysia.

Apa yang saya dapati rupanya mereka yang menggunakan ayat dalam kisah puteri-puteri Nabi Syu’aib tersebut menggunakannya samaada di luar konteks atau tidak melihatnya seperti yang ditafsirkan oleh para ulamak. Luar konteks kerana ayat itu berkenaan dua sifat terbaik bagi orang yang hendak diupah bagi melaksanakan sesuatu kerja dan bukan orang yang dilantik untuk memimpin kita.

Namun begitu tidaklah kita katakan pemimpin tidak memerlukan sifat tersebut. Oleh kerana syarat menjadi pemimpin memerlukan banyak lagi perkara yang terlalu besar, maka jarang sekali kita temui dalam kitab-kitab kepimpinan Islam terdahulu, meletakkan syarat tersebut. Lagipun biasanya para ulamak yang menjadi pemimpin, memang tentu sekali mereka mempunyai kedua-dua sifat tersebut. Mereka takutkan Allah. Jika mereka tidak memiliki sifat yang sepatutnya ada bagi seorang pemimpin, mereka tidak akan mengambil tanggungjawab tersebut, seperti sahabat yang agung, Sayidina Abu Dzar, Radhiyallahu ‘Anh.

Tambahan pula para ulamak yang mensyarahkan sifat tersebut meletakkan ilmu agama merupakan syarat utama kepadanya. Jika tidak maka tidaklah dia dipanggil “amin” dalam kepimpinannya. Ini kerana salah satu sifat amanah yang jelas adalah mempunyai ilmu berkenaan tanggungjawabnya itu. Jika tiada ilmu maka sudah pasti tiada amanah, walaupun dia jujur dan tidak menipu serta berintegriti kononnya!

Dalam kepimpinan perjuangan Islam, atau menjadi khalifah bagi ummat Islam, ia akan kembali kepada “menjaga agama, dan mentadbir dunia dengannya“. Asas kepada kedua-dua perkara ini memerlukan seorang yang berilmu agama. Ilmu yang mantap, bukan sekadar tahu solat dan puasa serta beberapa hukum sampingan sahaja.

Di sini saya bawakan pandangan para ulamak sehingga kita jelas adakah kriteria qawiy dan amin sahaja yang diperlukan untuk menjadi pemimpin tertinggi atau memang memerlukan pengetahuan agama yang mendalam.

Pandangan Pertama: Mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali:
Pemimpin tertinggi disyaratkan seorang mujtahid. Diletakkan dalam kategori syarat sah. Jika tiada mujtahid, maka dipilih yang paling hampir kepada tahap mujtahid tersebut.

Pandangan Kedua: Mazhab Hanafi:
Menjadi mujtahid bukan syarat sah. Akan tetapi ia menjadi syarat keutamaan bagi menjadi pemimpin tertinggi.

Jelas pandangan keempat-empat mazhab berkenaan perkara ini. Adakah mereka yang nak memperjuangkan Islam berani mengenepikan jutaan para ulamak tersebut yang jelas bukan gilakan kuasa atau mahukan kekuasaan hanya berlegar di sekita mereka sahaja?

Kejatuhan Eropah?

Ada pula yang berani menyamakan ulamak Islam dengan paderi-paderi kristian yang korup dengan mendakwa, “Mempertahankan ulama yang tidak kompeten adalah formula yang meruntuhkan Eropah di zaman Pencerahan”. Saya hanya mampu menggelengkan kepala bila saya mendengar komentar sebegini pertama kali. Terkejut. Sudah terlalu depseratekah sehingga menyamakan para ulamak Islam yang telah dijamin oleh Allah dan Rasul dengan paderi-paderi kristian yang sudah jauh sesat dan menyeleweng dari ajaran agama mereka.

Terlupakah kita bahawa Islam berbeza dengan agama lain kerana ia dijamin dipelihara oleh Allah. Rasulullah juga menyebutkan dalam hadis yang jelas, berkenaan ilmu yang dicabut dengan dimatikan para ulamak. Ketika itu manusia akan mengambil PEMIMPIN yang jahil lalu keluarlah fatwa yang sesat lagi menyesatkan. Runtuhnya ummat Islam bila ulamak diketepikan dari menjadi pemimpin dan diambil pemimpin yang kurang memahami agama, walau dia seorang yang kononnya “Qawiy” dan “Amin”.

Jika hendak berjuang menegakkan Islam tetapi diketepikan pandangan jutaan para ulamak Islam terdahulu lalu mendahulukan fikiran dan logik akal kita sendiri, maka tanyalah pada diri, sejauh mana akal kita ini lebih hebat berbanding kumpulan ilmu dan kegeniusan jutaan para ulamak tersebut.

Namun begitu saya sudahi tulisan serba ringkas dan segera ini dengan apa yang pernah saya catitkan dua tahun lalu:

Maksud saya dengan kempimpinan ulamak di sini, adalah ulamak yang memang mampu mentadbir dan memimpin serta memahami keperluan kepimpinan. Tidak dinafikan bukan semua ulamak mampu mantadbir. Adanya ulamak yang berjiwa bagai Sayidina Abu Dzar Radhiyallahu ‘Anh (yang cukup hebat tetapi tidak disarankan menjadi pemimpin) bukan menjadi kayu ukur kepimpinan ulamak yang dimaksudkan.

Saya juga perlu sebutkan di sini, kepimpinan bukanlah suatu perkara yang patut direbutkan oleh mana-mana pihak jua, tak kira ulamak mahupun profesional. Ia adalah satu beban, satu tanggungjawab yang akan ditanya oleh Allah di hari pembalasan nanti. Akan tetapi ia juga satu fardhu kifayah yang wajib ada dalam Negara Islam.

Dalam artikel lain saya pernah menyebut:

Lupakah kita, ulamak rabbani, mereka dipimpin oleh Allah. Bagai hadis qudsi yang menyebutkan perihal kekasih Allah. Penglihatan, pedengaran dan pergerakan mereka semua dipandu oleh Allah, berkat amalan mereka yang tentu jauh lebih banyak dari kita. Mana yang lebih baik, pergerakan yang dipandu oleh Allah atau yang dipandu oleh otak yang genius dan pemikiran politikus hebat?

Doakan kita semua boleh menjadi seperti mereka, waris sebenar para Nabi, atau sekurang-kurangnya termasuk dalam golongan yang mencintai mereka. Mudah-mudahan di akhirat nanti kita dibangkitkan bersama mereka. Seronoknya kalau bangun dari kubur nanti, tengok kanan ada Imam Al-Ghazali, tengok kiri ada Imam An-Nawawi, tengok depan ada Imam Assyafie…
 
pilihlah pemimpin yg betul..
kelak di akhirat kita akan dibangkitkan bersama2 pemimpin yang kita pilih...
 
pilihlah pemimpin yg betul..
kelak di akhirat kita akan dibangkitkan bersama2 pemimpin yang kita pilih...

semoga Allah menghantar seorang mujaddid
untuk memperbetulkan kekeliruan umat Islam seluruh dunia pada hari ini ...
 
Back
Top
Log in Register