kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,687
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,687
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Kepercayaan Waris Jemaah Jadi Pembakar Semangat Petugas Haji TH
Kepercayaan tinggi waris jemaah haji terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) menjadi pembakar semangat kepada petugas operasi untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada dhuyufurrahman di Tanah Suci.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad berkata amat tersentuh dengan komen seorang waris jemaah ketika mengikuti siaran langsung pelepasan jemaah haji di Facebook rasmi TH.
“Saya cukup terkesan dengan satu komen daripada waris atau anak jemaah yang menulis di ruangan komen ‘kami serahkan ibu ayah kami kepada Tabung Haji ya’.
“Daripada satu ayat itu sahaja, kita dapat faham betapa besar kepercayaan rakyat kepada Tabung Haji dan petugas,” katanya ketika berucap kepada petugas musim haji 1447H/2026M di sini hari ini.
Beliau berkata amanah besar itu perlu diterjemahkan melalui layanan terbaik kepada jemaah haji dengan penuh kesabaran, empati dan keikhlasan sepanjang musim haji.
“Mereka ini bukan hanya jemaah haji (tetapi) juga ibu bapa dan saudara-mara kita. Santuni mereka sebaik dan seikhlas mungkin dengan jiwa yang tenang dan hati yang lapang,” katanya.
Dalam pada itu, Mustakim berkata TH menyasarkan untuk mengekalkan Anugerah Labaytum daripada kerajaan Arab Saudi sejak empat tahun berturut-turut hasil komitmen petugas dan kualiti perkhidmatan kepada jemaah Malaysia.
Beliau berkata sasaran itu turut disokong Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) musim haji 1446H yang mencapai 93 peratus, melepasi sasaran asal 85 peratus.
Kepercayaan Waris Jemaah Jadi Pembakar Semangat Petugas Haji TH
Tabung Haji, kepercayaan, waris, jemaah, Anugerah