combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,197
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,197
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Pesanan Arwah Bapa Pembakar Semangat Raih Keputusan Cemerlang STPM
Nurfariesya Nasywa Hamedee antara pelajar cemerlang yang diraikan sempena Pengumuman Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) negeri Melaka 2025 selepas berjaya meraih Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM Peringkat Negeri Melaka di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah Telok Mas di sini hari ini.
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pesanan terakhir arwah bapa agar tidak mensia-siakan potensi diri menjadi sumber kekuatan buat Nurfariesya Nasywa Hamedee, untuk bangkit daripada kesedihan dan meneruskan pelajaran hingga berjaya meraih Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 yang diumumkan semalam.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah berusia 21 tahun itu berkata kejayaan dicapainya merupakan hadiah istimewa untuk keluarga selepas bapanya, Hamedee Asri,43, meninggal dunia, seminggu sebelum dia menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beberapa tahun lepas.
Katanya, pemergian bapa akibat serangan jantung pada ketika itu menyebabkannya hilang semangat hingga terfikir untuk berhenti belajar dan bekerja bagi membantu keluarga.
"Pesanan suruh belajar rajin-rajin yang disampaikan melalui ibu (Yusnita Ruslan) oleh arwah ayah menjadi pendorong untuk saya bangkit.
"Sejak itu, saya berazam belajar bersungguh-sungguh untuk meneruskan hasrat arwah ayah," katanya kepada pemberita selepas menerima keputusan STPM di Telok Mas di sini hari ini.
Terdahulu, Nurfariesya antara pelajar cemerlang yang diraikan sempena Pengumuman Keputusan STPM Melaka 2025 yang disempurnakan Timbalan Exco Pendidikan Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah.
Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata dia tidak menyangka memperoleh PNGK 4.00 kerana berdasarkan keputusan percubaan dan pengiraan awal, hanya menyasarkan pencapaian sekitar 3.92.
Beliau yang memperoleh 7A dalam peperiksaan SPM berkata minat mendalam terhadap bidang syariah sejak di bangku sekolah turut mendorongnya untuk terus berusaha supaya mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran.
Pelajar yang mengambil mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Arab, Usuluddin, Sejarah dan Syariah itu berkata dia bercita-cita menjadi peguam syariah dan berhasrat menyambung pengajian di Universiti Malaya, selain baru selesai menghadiri sesi temu duga Program Sarjana Muda di universiti tersebut.