Kertas Pandora - Speaker Kata Ia Harus Di Bawa Ke JK Khas, RCI
06.10.2021 - Kuala Lumpur, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menolak usul tergempar bagi segera membahaskan pendedahan Kertas Pandora. Sebaliknya, dia berkata, perkara itu harus diteliti oleh Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (Ekonomi), ataupun Suruhanjaya Siasatan Diraja. Menjawab soalan ketua pembangkang Anwar Ibrahim, Azhar berkata bahawa Kertas Pandora memang merupakan perkara penting atau berkepentingan awam. Namun, menurutnya, ia tidak memenuhi kriteria untuk dibahaskan dengan segera. Lagipun, Azhar berkata, usul tergempar hanya akan memperuntukan masa yang terhad untuk perkara itu dibincangkan.
“Perkara itu berterusan dan boleh dibangkitkan bila-bila. Ia boleh dibangkitkan melalui prosedur lain, (seperti) soalan menteri, soal jawab lisan. Malah (ia juga) untuk siasatan terbuka yang YB (Anwar) cadangkan, maka saya rasa YB boleh cadangkan siasatan terbuka melalui RCI,” katanya.
Speaker juga berkata perkara berkenaan boleh dibawa ke Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (Ekonomi).
“Lebih sesuai perkara ini dibawa ke jawatankuasa khas tersebut untuk didalami dengan lebih teliti dan dengan jangka masa lebih panjang,” katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.
Azhar seterusnya merujuk bahawa Peraturan Tetap yang tidak membenarkan perbahasan berdasarkan laporan berita, sebagai larangan kepada usul tergempar membincangkan Kertas Pandora. Kertas Pandora yang diperolehi oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) mendedahkan rahsia kewangan 35 pemimpin dunia sekarang dan dahulu, lebih 330 ahli politik dan pegawai awam di 91 negara dan wilayah. Antara yang disenaraikan adalah bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dan Ahli Parlimen Selayang William Leong.
Anwar (Pakatan Harapan-Port Dickson) kemudiannya bersetuju bahawa Kertas Pandora harus dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Parlimen (Ekonomi). Namun, tegasnya, bahawa perkara itu adalah masalah mendesak yang juga harus dibahaskan di Dewan Rakyat dengan segera. Katanya, dia pertama kali membahaskan masalah rakyat Malaysia yang menyimpan wang di luar negara pada 2012, dan sehingga hari ini kerajaan belum bertindak.
“Saya nak sekurang-kurangnya, PM (perdana menteri) bagi pengakuan yes RCI akan ditubuhkan, yes siasatan terbuka dan telus akan dibuat,” katanya.
Azhar enggan berganjak, dan Anwar berkata bahawa dia akan menulis supaya usul untuk mengkaji semula keputusan speaker.
Berita asal
https://www.malaysiakini.com/news/594274