ARKIB : 07/11/2010
Syarat tunai haji
Oleh RADHUAN HUSSAIN
[email protected]
MARANG 6 Nov. - Lembaga Tabung Haji (TH) akan menetapkan syarat baru yang hanya membenarkan jemaah haji mendaftar semula selepas sembilan tahun mengerjakan ibadat itu.
Ini bermakna, setiap nama jemaah haji hanya akan disenarai semula untuk menunaikan haji seterusnya hanya selepas tempoh itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim (gambar) berkata, langkah itu dibuat bagi memberi peluang kepada mereka yang belum pernah mengerjakan Rukun Islam kelima itu.
"Sistem (syarat) ini dibuat untuk beri peluang kepada bakal haji yang belum pernah menunaikan ibadat haji disenarai dalam kuota agar ia lebih adil kepada jemaah lain.
"Langkah ini juga akan membolehkan lebih ramai jemaah haji berpeluang menunaikan fardu haji untuk kali pertama," katanya kepada pemberita selepas program Juara Rakyat Peringkat Parlimen Marang di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Wakaf Tapai dekat sini hari ini.
Program itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Yahya Khatib Mohamad.
Menurut Mashitah, TH akan bertindak adil kepada bakal jemaah haji di negara ini agar mereka berkesempatan mengerjakan ibadat haji di Mekah selain menunaikan kewajipan dalam Rukun Islam kelima itu.
Dalam pada itu, TH juga akan memaklumkan kepada Kerajaan Arab Saudi mengenai kuota jemaah haji Malaysia pada masa akan datang.
Ini kerana, jelasnya, setiap negara hanya dibenarkan menghantar satu peratus daripada jumlah penduduk bagi mengerjakan ibadat tersebut.
"Umpamanya Malaysia, biarpun jumlah penduduk mencecah 26 juta orang termasuk bukan Islam namun kita masih mendapat satu peratus daripada jumlah penduduk untuk menunaikan fardu haji," ujarnya.