combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,136
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,136
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Kelantan Tingkat Pemantauan Premis Makanan Susulan Dakwaan Status Halal
Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud (dua, kiri) bersama Exco Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Mohd Asri Mat Daud (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif, Nasken International (M) Sdn. Bhd. Mohd Nazif Ab Aziz (dua, kanan) melihat replika pengesahan halal pada majlis Penyerahan Sijil Pengesahan Halal Malaysia Nasken Coffee di Cawangan Nasken Coffee Pasir Tumboh hari ini.
Kerajaan Negeri Kelantan akan mempertingkat pemantauan dan pemeriksaan terhadap premis makanan di negeri ini sekiranya didapati terdapat keraguan berhubung pematuhan syarat halal seperti dakwaan yang tular di media sosial baru-baru ini.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Mohd Asri Mat Daud berkata kerajaan negeri turut menjalankan siasatan awal bagi mendapatkan maklumat lengkap sebelum sebarang tindakan susulan dibuat.
Beliau berkata penguatkuasaan berkaitan perkara itu berada di bawah bidang kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dan pihaknya akan berhubung dengan jabatan berkenaan bagi menyelaras siasatan.
“Kalau kita tahu ada perkara seperti ini berlaku, kita akan melakukan pemantauan dan pemeriksaan dengan lebih kerap kerana kita tidak mahu ia berleluasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sijil Pengesahan Halal di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan oleh seorang pemegang akaun Facebook mengenai status sijil halal beberapa premis makanan milik pengusaha bukan Islam yang dikunjungi pelanggan Islam, yang mengundang perhatian pengguna media sosial serta mencetuskan pelbagai reaksi.
Mohd Asri berkata setakat ini kerajaan negeri belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung dakwaan berkenaan namun sebarang aduan yang diterima akan disiasat oleh pihak berkuasa mengikut prosedur.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pengusaha premis makanan supaya tidak mengabaikan pematuhan syariah demi keuntungan kerana ia boleh menjejaskan keyakinan pengguna Islam, selain menggesa orang ramai lebih peka terhadap status halal premis yang dikunjungi.
Beliau turut menggalakkan lebih ramai pengusaha memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sambil memaklumkan kerajaan menyasarkan proses permohonan yang lengkap dapat diselesaikan dalam tempoh 30 hari berdasarkan kesiapsiagaan premis dan pematuhan kepada garis panduan yang ditetapkan.