seether
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,415
- Joined
- Jul 30, 2010
- Messages
- 28,415
- Reaction score
- 6
- Points
- 311
Bangunan Mahkamah Tinggi terbakar kali kedua pada awal pagi kira-kira jam 4.48 pagi dipercayai berpunca daripada litar pintas.
Kebakaran pertama Mahkamah Tinggi pada 16 Mac 1992 manakala yang kedua berlaku selang 10 bulan iaitu pada Disember
Bangunan Panggung DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) yang terletak di bekas bangunan Mahkamah Kuala Lumpur kini dihias cantik, dicat baru tetapi masih mengekalkan reka bentuk asal bagi memastikan nilai seni dan warisan negara dikekalkan.
Bersebelahan dengannya ialah Bangunan Sultan Abdul Samad yang kini sedang diubah suai untuk dijadikan bangunan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKWA), sesuai dengan kedudukannya menghadap Dataran Merdeka yang menjadi tarikan utama pelancong.
Mungkin ramai yang tidak tahu, bangunan Panggung DBKL yang berusia lebih 100 tahun itu pernah mengalami nasib buruk apabila dua kali mengalami kebakaran, iaitu pada Mac dan Disember 1992. Sebelum ini, bangunan itu menempatkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
Kebakaran dua kali berturut-turut itu dianggap sesetengah pihak sebagai sejarah bencana kebakaran sepanjang 1992 kerana pada tempoh itu banyak kebakaran besar berlaku membabitkan mahkamah termasuk pejabat daftar dan rekod Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, pada Februari.
Kebakaran pertama kira-kira jam 1.45 petang pada 16 Mac berlaku ketika bangunan DBKL lama itu sedang diubahsuai bagi menempatkan 13 Mahkamah Majistret dan baru saja dikosongkan awal Mac oleh Lembaga Pelesenan DBKL bagi membolehkan kerja pengubahsuaian dilakukan.
Kebakaran pertama pada Mac 1992 ketika bangunan Sultan Abdul Samad sedang diubah suai.
Kira-kira 10 bulan selepas itu, kebakaran kedua berlaku kira-kira jam 4.48 pagi yang memusnahkan 10 bilik mahkamah, enam kamar hakim, bilik fail dan sebuah perpustakaan. Lima bilik mahkamah jenayah, lima kamar hakim, sebuah bilik perpustakaan dan kantin di tingkat atas bangunan dua tingkat itu musnah sama sekali.
Bagaimanapun, 'bilik kebal' yang menempatkan beribu-ribu fail kes dan bahan bukti di tingkat bawah tidak terjejas dan mahkamah memutuskan tidak perlu mengadakan perbicaraan semula semua kes terbabit seperti yang dijangka banyak pihak.
Kebakaran itu memusnahkan sebahagian besar bangunan Mahkamah Tinggi (Jenayah) dan Mahkamah Tengah. Mahkamah Tinggi pula terbakar di tingkat bawah dan lima manakala Mahkamah Tengah tidak terjejas.
Ketika kejadian, saksi mendakwa terdengar beberapa letupan kuat kira-kira jam 4.50 pagi, diikuti asap dan api yang menjulang kira-kira 20 meter dalam bangunan. Beberapa minit kemudian bangunan itu menjadi gelap dipercayai terputus bekalan elektrik.
Enam kereta bomba, dua Simon Snorkel dan sebuah sky lift dengan 50 anggota tiba di tempat kejadian, tetapi mereka tidak dapat bertindak segera kerana tekanan air pili bomba rendah hinggakan terpaksa menggunakan air Sungai Gombak sebelum api dapat dikawal sepenuhnya pada jam 6 pagi.
Seorang pengawal Mahkamah Agung dipercayai saksi pertama melihat kebakaran itu dilaporkan mendakwa melihat api bermula di tingkat dua dan mendengar satu letupan sebelum bekalan elektrik terputus di semua bangunan termasuk beberapa lampu di bangunan itu terpadam.
Difahamkan, tiga pengawal keselamatan swasta ditempatkan di Mahkamah Tinggi sebelum kebakaran pada awal pagi.
Sebaik saja kejadian itu dilaporkan, 20 anggota polis dari Jalan Bandar diarahkan mengawal lalu lintas dan keselamatan di kawasan itu, manakala Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) turut dihantar apabila orang ramai yang ingin ke pejabat tertumpu di kawasan itu mulai jam 7 pagi.
Polis turut menyoal siasatan 10 pengawal keselamatan yang bertugas di situ pada Selasa selepas jam 11 malam sehingga hari Rabu jam 7 pagi serta menyoal beberapa pekerja kontrak Indonesia.
Pasukan penyiasat yang menjalankan siasatan punca kejadian tidak menolak kemungkinan kebakaran itu berpunca daripada litar pintas yang disebabkan terlalu banyak penggunaan kuasa elektrik di dalam mahkamah itu.
Sambungan terlalu banyak dan pertambahan penggunaan peralatan elektrik termasuk mesin taip, mesin faks dan pendingin udara di dalam mahkamah mungkin menyebabkan lebihan muatan kuasa elektrik.
Kemungkinan itu disokong dengan faktor pendawaian elektrik yang terlalu lama yang mungkin disebabkan ada pembalut wayar rosak kerana terlalu lama atau terkopek digigit tikus menyebabkan berlaku litar pintas.
Seorang penulis petisyen yang bertugas di situ sejak 20 tahun lalu dikenali sebagai Uncle Lim berkata, ketika kebakaran pertama berlaku, keadaan di situ terlalu kelam kabut.
"Apa yang saya ingat, kebakaran pertama berlaku pada tengah hari, ramai orang keluar masuk. Saya angkat semua barang dan kami berkumpul di padang (Dataran Merdeka).
"Semua orang panik," katanya ketika ditunjukkan gambar fail kedua-dua kebakaran berkenaan. Ketika ini, beliau masih mengambil upah menulis dokumen di situ walaupun mahkamah sudah dipindahkan ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta.
Kronologi Kebakaran Bangunan Mahkamah Tinggi (Disember 1992)
4.48 pagi - Seorang pengawal keselamatan di Mahkamah Agung berhampiran Mahkamah Tinggi dikatakan orang pertama nampak kebakaran di tingkat dua mahkamah berkenaan.
4.49 pagi - Bomba menerima panggilan pertama dari seorang pemanggil yang membuat panggilan dari sebuah pondok telefon.
4.51 pagi - Bomba tiba di tempat kejadian.
6.03 pagi - Bomba berjaya mengawal sebahagian daripada kebakaran.
6.20 pagi - Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Omar tiba di tempat kejadian.
6.55 pagi - Bomba berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya.
7.00 pagi - Ketua Polis Negara, Tan Sri Haniff Omar tiba di tempat kejadian.
7.15 pagi - Polis mengepung kawasan bangunan itu dan mengarahkan pemandu menggunakan jalan lain, menyebabkan pusat bandar bertambah sesak.
7.30 pagi - Kakitangan mahkamah yang mula tiba di Mahkamah Tinggi terkejut mendapati bangunan tempat mereka bekerja terbakar.
Info: Kebakaran Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Tengah Kuala Lumpur
Kebakaran dipercayai yang kelima membabitkan bangunan mahkamah di negara ini sehingga 1992.
Kebakaran bangunan mahkamah pernah berlaku di Ipoh, Rawang, Pulau Pinang dan Seremban, Negeri Sembilan.
Bangunan Sultan Abdul Samad dan Bangunan Mahkamah Jalan Duta digunakan sebagai bangunan sementara untuk meneruskan semua kes yang tertangguh.
Enam Mahkamah Tinggi (Jenayah) yang terbabit dalam kebakaran itu berkongsi dengan Mahkamah Tinggi (Sivil) di Bangunan Sultan Abdul Samad, Jalan Hishamuddin manakala lima lagi Mahkamah Tengah (Jenayah) akan berpindah ke Bangunan Mahkamah Jalan Duta.
Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Abdul Hamid Omar, memutuskan semua perbicaraan yang dijadualkan di mahkamah itu pada hari kejadian ditangguhkan untuk sementara waktu.