Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
KDN Peroleh Data Lengkap Program DPP Sebelum Akhir Tahun - Saifuddin Nasution
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dijangka memperoleh data bagi program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) sebelum akhir tahun ini, kata menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata DPP kini dilaksanakan menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan memperoleh pelbagai data berkenaan pelarian di negara ini dengan lebih lengkap untuk tujuan berkaitan.
“Dalam menguruskan isu pelarian, KDN hari ini melalui JIM menerajui satu projek yang kita namakan DPP. Kita sedang mulakan dan insya-Allah, hasilnya akan kita dapat sebelum tamat tahun ini.
“Kita akan mempunyai sejumlah data yang lebih kredibel, data granular lebih lengkap mengandungi semua maklumat tentang pelarian yang berjaya kita daftarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Imigresen 2026 bertemakan ‘Melakar Wajah Baharu Imigresen’ di sini, hari ini, yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban.
Media melaporkan KDN menerusi JIM sedang melaksanakan program DPP bagi mengurus isu golongan itu secara tersusun, selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 23 (Semakan 2023).
KDN memaklumkan program itu diwujudkan bagi membolehkan kerajaan memperoleh data biometrik dan maklumat identiti lebih tepat, lengkap dan boleh disahkan mengenai individu yang berada dalam kategori pelarian.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata kedudukan pasport Malaysia di tangga ketiga sebagai pasport paling berkuasa di dunia secara tidak langsung membina keyakinan dunia kepada Malaysia.