ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
KUALA TERENGGANU - Berdasarkan kajian, jumlah pelancong asing ke negara ini agak berkurangan disebabkan beberapa faktor termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bermula sejak 1 April lalu.
Timbalan Presiden Majlis Pelancongan Kebangsaan Malaysia, Taib Wahab berkata, berdasarkan laporan yang diterima sejak dua minggu lalu, terdapat rekod yang menunjukkan penurunan dari segi urus niaga setelah adanya GST.
"Ada antara rekod dan maklumat yang kita diterima, syarikat penerbangan melaporkan ada berlaku penurunan sebanyak 42 peratus dari segi tempahan tiket kapal terbang melalui sistem online.
"Ia secara tidak langsung akan melibatkan industri lain, jika tiada tempahan tempat duduk, maka pelancong tidak akan ke Malaysia dan industri lain seperti perhotelan, pusat beli-belah, kedai makan, kedai produk kraf dan sebagainya akan turut terkesan," katanya pada sidang media sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu kali ke-26 dan penerangan GST di Dewan Teater, Wisma Darul Iman, kelmarin.
Taib ketika ditanya mengenai inisiatif yang akan diambil hasil laporan itu berkata, perkara itu akan dipanjangkan kepada pihak kerajaan supaya dapat mengambil inisiatif yang tepat dalam menanganinya.
"Kita akan dapatkan data lengkap dan sampaikan kepada kerajaan bahawa GST telah menghakis sedikit sebanyak industri pelancongan, kita harap kerajaan akan beri kita sedikit suntikan dan galakan agar industri ini terus berkembang bagi mencapai sasaran kedatangan 168 juta pelancong pada 2020," katanya.
Tidak guna khidmat ejen
Beliau berkata, kini trend perkhidmatan perniagaan pelancongan yang diuruskan melalui sistem internet menjadi pilihan kebanyakan pelancong kerana melalui perkhidmatan ini, mereka tidak dikenakan GST dan semua tempahan dibuat sebelum mereka sampai ke Malaysia.
"Pelancong kini lebih gemar melancong tanpa menggunakan khidmat ejen pelancongan sebagai langkah penjimatan.
"Namun, ia agak menyukarkan ejen pelancongan untuk terus bertahan dalam suasana seperti ini dan kita berharap kerajaan akan mengambil pendekatan sesuai untuk mengatasi masalah ini," katanya.
Taib berkata, walaupun pelaksanaan GST ini memberi kesan dari segi kemerosotan perbelanjaan pelancong, namun beliau yakin dengan kesungguhan kerajaan mempromosikan apa sahaja produk pelancongan dalam negara, pelancong tidak akan tertekan dengan GST itu, sebaliknya tetap ingin berkunjung ke Malaysia atas keunikannya.
Buka lebih banyak CBP
Sementara itu, penggiat industri pelancongan meminta agar kerajaan mempertimbangkan untuk membuka lebih banyak kaunter Verifikasi Bayaran Balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) di pintu masuk ke negara ini, selain lapangan terbang.
Ketika ini, kaunter itu hanya beroperasi di lapan buah lapangan terbang antarabangsa seluruh negara untuk kemudahan pelancong asing yang berhasrat membuat tuntutan bayaran balik GST.
Setiausaha Persatuan Pemandu Pelancong Terengganu, Intan Dalip berkata, rungutan mengenai perkara itu sering ditimbulkan terutama pelancong dari Singapura.
"Harga bilik ada penambahan, harga makan ada penambahan. Jadi, ia antara sebab berkurangnya pelancong ke sini. Situasi itu telah berlaku sejak perayaan Tahun Baharu Cina. Pelancong biasa dari Indonesia dan Singapura pun tidak ramai.
"Jadi, saya mewakili penggiat industri ini berharap masalah ini mendapat perhatian segera dari kerajaan agar tidak memberi kesan negatif dalam jangka masa panjang," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Imtiaz Travel, Bukhari Ghazali berkata, penilaian terhadap perniagaan dijalankan mereka tidak boleh dibuat dalam tempoh tiga bulan, kerana mereka banyak memberi fokus kepada pelancongan ke negara luar.
"Mungkin hujung tahun ini kita akan boleh buat penilaian kesan GST terhadap perniagaan Imtiaz Travel," katanya.
Program anjuran Persatuan Pelancongan negeri Terengganu itu bertujuan memberi penerangan mengenai impak pelaksanaan cukai tersebut dalam industri yang turut dihadiri dan Penolong Pengarah Kastam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Terengganu, Haszelan Che Husin.