combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Kes Rasuah Guan Eng: Pegawai Penyiasat Tidak Tahu Zarul Ahmad Ada Kaitan Dengan Syarikat Lain
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi sambung bicara kes rasuah yang dihadapinya berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Seorang pegawai penyiasat memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa beliau tidak tahu bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat pembinaan lain yang memasuki tender terbuka bagi membida projek pembinaan tiga jalan utama serta terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zulhilmi Ramli berkata selain Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG), syarikat VST Cemerlang Sdn Bhd turut memasuki tender terbuka bagi membida projek mega berkenaan.
Bagaimanapun, beliau tidak pasti sama ada Zarul Ahmad yang meletakkan VST Cemerlang sebagai pembida dan hanya mengetahui ahli perniagaan itu ada kaitan dengan CZBUCG.
Saksi pendakwaan ke-38 itu berkata demikian ketika disoal balas peguam Haijan Omar, pada perbicaraan kes rasuah dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion.
Ketika ditanya peguam adakah dalam siasatannya menunjukkan Zarul Ahmad dengan senyap-senyap meletakkan VST Cemerlang untuk membida bagi projek itu, Zulhilmi berkata beliau tidak pasti.
Ketika disoal lanjut sama ada beliau mengetahui Zarul Ahmad mempunyai pengaruh atau kepentingan dalam VST Cemerlang yang membolehkan syarikat itu turut membida projek berkenaan, Zulhilmi menjawab: “Saya tidak tahu.”
Haijan kemudian mencadangkan bahawa saksi tidak pernah menyiasat perkara tersebut dan tidak mengetahui sebab, asas serta kepentingan di sebalik penyertaan VST Cemerlang dalam tender itu.
Bagaimanapun Zulhilmi tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan memaklumkan beliau menyiasat kes itu berdasarkan aduan.
Ketika peguam itu menyatakan bahawa perkara berkenaan telah diabaikan dalam siasatan, Zulhilmi sekali lagi menegaskan beliau tidak bersetuju.