jelasBERITA: Apa harus pelabur lakukan sedang saham bank SG catat paras rekod?
Barisan mesin ATM di Singapura. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
SINGAPURA: Saham bank-bank Singapura mencatat rekod tertinggi baharu bulan ini, sekali gus meletakkan dua kumpulan pelabur dalam dilema: mereka yang sudah memiliki saham berkenaan sedang mempertimbangkan sama ada mahu mengambil keuntungan, manakala mereka yang belum melabur pula tertanya-tanya sama ada mereka sudah terlepas peluang.
Saham DBS meningkat lebih 27 peratus tahun ini dan kini didagangkan sekitar S$72. Saham OCBC pula melonjak lebih 43 peratus kepada sekitar S$28, manakala UOB naik 20 peratus kepada lebih S$42.
IKLAN
Penganalisis secara umumnya percaya ketiga-tiga bank itu mampu terus mencatat prestasi baik dan harga sahamnya berpotensi meningkat lagi dalam jangka panjang.
Menurut Timbalan Ketua Ekuiti Asia di Amova Asset Management, Kenneth Tang, keputusan sama ada untuk membeli atau terus memegang saham bergantung kepada tahap pendedahan sedia ada setiap pelabur.
Beliau menambah, pelabur yang sudah banyak melabur dalam ekuiti Singapura mungkin tidak perlu menambah pelaburan dalam saham bank tempatan. Namun, mereka yang baru mula membeli saham dan memang merancang untuk menambah pegangan sepatutnya meneruskan rancangan tersebut.
"Saya percaya keyakinan yang telah mendorong kenaikan harga saham ini sebenarnya mengesahkan tesis pelaburan saya. Jadi saya patut melabur lebih banyak kerana ia ternyata tepat," katanya.
Beliau turut berkata pelabur perlu menilai peranan saham bank dalam portfolio mereka. Bagi mereka yang memegang saham itu untuk pendapatan dividen, pergerakan harga jangka pendek tidak seharusnya mempengaruhi keputusan pelaburan.
IKLAN
"Saya tidak akan menjual. Saya akan terus memegang saham itu kerana itulah tujuan saya melabur dari sudut pendapatan," katanya.
BERPEGANG PADA TEORI PELABURAN, BUKAN HARGA SAHAM
Penganalisis berkata pelabur perlu memberi tumpuan kepada sebab asal mereka melabur dalam sesuatu saham, dan bukannya bertindak balas terhadap turun naik harga.
"Jangan terlalu memberi perhatian kepada pergerakan harga. Kekalkan fokus pada objektif pelaburan," kata pengurus penyelidikan Phillip Securities Research, Glenn Thum.
Menurut beliau, saham yang mempunyai kedudukan kewangan kukuh dan dijangka menawarkan pulangan dividen antara lima hingga enam peratus tidak seharusnya dianggap wajar dijual hanya kerana harganya mencatat rekod tertinggi.
IKLAN
"Kesilapan yang sering berlaku ialah membuat keputusan berdasarkan carta harga, bukannya tesis pelaburan. Anda patut menjual apabila prospek pendapatan atau dividen berubah, bukan semata-mata kerana saham itu kelihatan mahal," katanya.
Ketua jualan CMC Markets Singapore, Eric Xiao, mencadangkan satu kaedah mudah: sebelum membeli sesuatu saham, pelabur perlu menentukan terlebih dahulu faktor yang akan menyebabkan mereka menjualnya, berdasarkan perubahan dalam perniagaan dan bukannya harga saham.
Antara faktor tersebut termasuk pengurangan dividen, peningkatan pinjaman tidak berbayar melepasi paras tertentu atau kemerosotan asas modal syarikat.
"Jika anda tidak dapat menyatakan sebab yang akan membuatkan anda menjual, anda belum bersedia untuk membeli," katanya.
Beliau berkata pendekatan itu dapat membantu mengelakkan keputusan pelaburan yang didorong oleh rasa takut terlepas peluang atau keinginan untuk segera mengambil keuntungan.
IKLAN
Encik Xiao turut mengingatkan mengenai risiko penumpuan pelaburan. Menurutnya, pelabur yang memiliki dana dagangan bursa (ETF) yang menjejaki Indeks Straits Times sebenarnya sudah mempunyai pendedahan kepada saham DBS, OCBC dan UOB.
"Membeli saham bank selain daripada itu hanya menambah pertaruhan yang sama. Ramai pelabur menyangka mereka sedang mempelbagaikan pelaburan, sedangkan hakikatnya tidak," katanya.
PENDAPATAN DIJANGKA TERUS MENINGKAT
Kenaikan harga saham bank didorong sebahagiannya oleh perubahan jangkaan terhadap kadar faedah, yang berubah daripada jangkaan penurunan kepada kadar yang dijangka kekal stabil dengan kemungkinan dinaikkan.
Kadar faedah yang lebih tinggi lazimnya memberi manfaat kepada bank kerana ia meningkatkan jurang antara pulangan daripada pinjaman dan kadar faedah yang dibayar kepada penyimpan.
Selain faktor kadar faedah, penganalisis turut yakin bahawa pertumbuhan perniagaan pengurusan kekayaan bank akan terus menjadi pemacu utama pendapatan dalam jangka panjang.
Encik Xiao berkata yuran pengurusan kekayaan berkemungkinan kekal menjadi pemacu keuntungan, sekali gus menyebabkan faktor seperti kadar faedah global dan perang di Timur Tengah kurang memberi kesan kepada bank berbanding lima tahun lalu.
"Geopolitik mempengaruhi harga minyak, sentimen pasaran dan kos risiko. Ia tidak banyak memberi kesan kepada perniagaan pengurusan kekayaan," katanya.
RISIKO PENILAIAN DAN EKONOMI
Namun, Encik Xiao mengingatkan bahawa prestasi kukuh bank tidak semestinya bermakna harga saham akan terus meningkat.
Menurutnya, sesebuah bank boleh terus mencatat keuntungan yang baik walaupun penilaian sahamnya mengalami pembetulan, dan beliau menjangkakan prestasi perniagaan akan kekal lebih kukuh berbanding harga saham.
Encik Tang pula berkata saham bank telah meningkat dengan ketara, justeru risiko penilaian dalam jangka pendek masih wujud.
"Saham bank kini didagangkan pada paras yang agak tinggi berbanding julat sejarahnya," katanya.
Ketua penyelidikan ekuiti ASEAN Macquarie Capital, Jayden Vantarakis, berkata prestasi sektor perbankan sangat dipengaruhi keadaan ekonomi secara keseluruhan.
Menurutnya, antara risiko utama yang diperhatikan ialah pertumbuhan ekonomi kerana ia memberi kesan kepada aktiviti pinjaman, kualiti aset, kadar faedah dan prestasi pasaran.
Bagi pelabur yang ingin memasuki pasaran, penganalisis berkata setiap bank menawarkan kelebihan tersendiri.
Menurut RHB, dasar dividen DBS memberikan prospek yang baik terhadap pembayaran dividen dan hasil pulangan, namun sahamnya didagangkan pada penilaian premium berbanding dua bank lain.
UOB pula merupakan saham paling murah dalam kalangan ketiga-tiganya, sebahagiannya disebabkan metrik kualiti aset yang lebih lemah. Namun, saham itu berpotensi mencatat kenaikan sekiranya keadaan ekonomi terus bertambah baik.
OCBC pula dilihat sebagai pilihan pertengahan dengan kunci kira-kira (balance sheet) yang kukuh, perniagaan pengurusan kekayaan yang mantap serta penilaian yang munasabah.
jelasBERITA: Apa harus pelabur lakukan sedang saham bank SG catat paras rekod?
SINGAPURA: Saham bank-bank Singapura mencatat rekod tertinggi baharu bulan ini, sekali gus meletakkan dua kumpulan pelabur dalam dilema: mereka yang sudah memiliki saham berkenaan sedang mempertimbangkan sama ada mahu mengambil keuntungan, manakala mereka yang belum melabur pula tertanya-tanya...