combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Jam Matahari Hutan Simpan Sungai Menyala Tarikan Unik Peminat Astronomi
Pengawas Hutan Kanan PD Forest Sungai Menyala Ahmad Syafiq Abdul Aziz menunjukkan risalah yang boleh dijadikan rujukan oleh pengunjung untuk menjalankan aktiviti di PD Forest Sungai Menyala, hari ini.
Jam matahari terbesar di Dataran Astronomi Hutan Simpan Sungai Menyala di sini terus menjadi tumpuan peminat astronomi dan pengkaji ilmu falak bagi mempelajari kaedah membaca jam matahari dalam situasi sebenar.
Pengawas Hutan Kanan PD Forest Sungai Menyala Ahmad Syafiq Abdul Aziz berkata kawasan itu turut menjadi tumpuan pelajar institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Beliau berkata jam matahari ialah peralatan utama bagi pengukuran masa sejak dari zaman dahulu yang dipasang mengambil kira faktor lokasi dan kedudukan matahari terbit serta terbenam.
“Walaupun asas jam matahari hanya memerlukan sebatang jarum, reka bentuk berskala besar itu menggunakan struktur yang dilebarkan dengan garisan selari bagi membolehkan bayang-bayang dibaca lebih tepat pada skala kira-kira dua meter diameter.
“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuat semakan sebanyak tiga kali dan mengesahkan bacaan jam matahari berkenaan 100 peratus tepat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Ahmad Syafiq berkata idea pembinaan jam matahari pada 2023 itu tercetus sebagai nilai tambah kepada Dataran Astronomi yang pada asalnya dirancang untuk aktiviti berkaitan astronomi sahaja.
"Hutan Simpan Sungai Menyala merupakan kawasan yang paling sesuai kerana kedudukannya terlindung daripada pencemaran cahaya dari kawasan bandar Port Dickson dan persekitaran," katanya.
Beliau berkata jam matahari dan Dataran Astronomi itu mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) sebagai jam matahari terbesar serta dataran astronomi dalam hutan simpanan kekal pada 2023.
Dalam pada itu, Ahmad Syafiq berkata kehadiran orang ramai ke PD Forest Sungai Menyala sangat memberangsangkan dengan lebih 13,000 pengunjung pada tahun lepas dan setakat Julai lepas pula hampir 8,000 pengunjung.