combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Jalinan Strategik MADANI KDN Perkukuh Hubungan Agensi Keselamatan Dan Komuniti
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berucap pada Program Jalinan Strategik MADANI Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dataran Lenggong hari ini.
Program Jalinan Strategik MADANI Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi manfaat kepada masyarakat serta memperkukuh jalinan kerjasama antara KDN dan komuniti setempat.
Program yang berlangsung di Dataran Lenggong di sini selama dua hari sejak semalam diserikan dengan pelbagai aktiviti seperti bicara agama, pertandingan mewarna, persembahan anak kreatif dan pertandingan nasyid.
Kaunter perkhidmatan agensi di bawah KDN turut disediakan sepanjang berlangsungnya program dan menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung, termasuk pameran aset Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata program tersebut diadakan bertujuan mendekatkan perkhidmatan KDN kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata orang ramai perlu menggunakan peluang yang disediakan untuk menyelesaikan urusan penambahbaikan, khidmat nasihat, mahupun aduan secara terus.
"Selain itu, program Jalinan Strategik MADANI KDN ini menjadi platform interaksi dua hala antara agensi keselamatan dan komuniti setempat demi membanteras jenayah, isu dadah dan ancaman keselamatan dari peringkat akar umbi," katanya.
Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata demikian dalam ucapan perasmian Program Jalinan Strategik Madani KDN Bersama Komuniti Perak 2026 di Dataran Lenggong di sini hari ini.
Terdahulu, pada sebelah pagi turut diadakan Fun Ride dan Fun Run anjuran Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan AADK, dengan kedua-dua acara itu disertai kira-kira 1,190 peserta.
Peserta menyusuri laluan sekitar kampung di Lenggong, sekali gus memberi peluang menikmati keindahan alam semula jadi, panorama menghijau serta suasana damai yang menjadi antara tarikan utama Lembah Lenggong, yang merupakan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).