combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Jajaran Jalan Baharu Bakal Pacu Pertumbuhan Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand - PM Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya dari Thailand Anutin Charnvirakul menyempurnakan Majlis Perasmian Jajaran Jalan Baharu Menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand.
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Jajaran jalan baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Kedah dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di kedua-dua wilayah tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek itu merupakan satu peristiwa penting dalam hubungan Malaysia-Thailand dan akan memperkukuh hubungan rentas sempadan, aktiviti perdagangan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
“Hari ini menandakan satu lagi peristiwa bersejarah. Dan di negeri ini, terutamanya di utara Semenanjung Malaysia, kita perlu berusaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan rakyat kita.
“Dan saya percaya kedudukan yang serupa di selatan (Thailand), dan melalui projek ikhtiar bersama baharu ini, kita sepatutnya dapat menggunakannya sebagai asas untuk memacu ekonomi kedua-dua wilayah,” kata beliau pada majlis perasmian jajaran jalan baharu itu, di sini ,hari ini.
Majlis itu dirasmikan bersama oleh Anwar dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul.
Anwar berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk mewujudkan zon sempadan ekonomi khas yang melibatkan wilayah utara Malaysia dan selatan Thailand bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan mata pencarian masyarakat di kawasan sempadan.
"Kita meluaskannya melangkaui penglibatan diplomatik biasa, dengan tekad untuk berusaha mewujudkan zon sempadan ekonomi khas meliputi bahagian utara Malaysia dan selatan Thailand, dan ia bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dengan cepat dan mudah," kata beliau.
Perdana Menteri berkata kerjasama yang dicadangkan itu boleh membuka peluang pembangunan baharu bagi Perlis, Kedah, Kelantan, Perak dan Pulau Pinang, dengan komitmen yang kukuh daripada kepimpinan kedua-dua negara.
Sementara itu, Anwar berkata Malaysia dan Thailand bersetuju untuk mempercepat penyelesaian isu tertangguh yang melibatkan kastam, imigresen, makanan laut dan perdagangan bagi memudahkan perniagaan dan pedagang dari kedua-dua negara.