Gambar fail perhimpunan pelarian Rohingya tahun lalu di Kutupalong sempena ulang tahun kedua memperingati operasi ketenteraan oleh Myanmar yang menyebabkan mereka melarikan diri ke Bangladesh. Foto AFP
Rohingya 'protes senyap' ulang tahun pembunuhan beramai-ramai
KUTUPALONG: Hampir sejuta pelarian Rohingya yang berlindung di Bangladesh selama tiga tahun sejak melarikan diri dari Myanmar, mengadakan 'protes senyap' sepanjang hari ini dengan tinggal di pondok buruk ekoran penularan COVID-19.
Mereka menyertai 200,000 lagi pelarian yang sudah tiba lebih awal di Bangladesh ekoran operasi ketenteraan pada Ogos 2017 yang menyebabkan Myanmar berdepan tuduhan pembunuhan beramai-ramai di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana mengusir 750,000 Rohingya dari wilayah Rakhine ke negara jiran Bangladesh.
Selepas tiga tahun tanpa pekerjaan atau pendidikan untuk anak-anak mereka, ada sedikit harapan untuk mereka kembali ke negara asal, di mana kumpulan minoriti yang kebanyakannya beragama Islam itu sudah lama dianggap sebagai penceroboh kelas rendah.
"Tentera Myanmar membunuh lebih daripada 10,000 rakyat kita. Mereka melakukan pembunuhan besar-besaran dan merogol serta mengusir kami keluar dari rumah," kata Mohib Ullah, seorang pemimpin Rohingya di kem perlindungan kepada AFP.
Ullah mengetuai perhimpunan sekitar 200,000 penunjuk perasaan di Kutupalong pada ulang tahun kedua tahun lalu.
Kutupalong adalah lokasi penempatan perkhemahan terbesar Rohingya di tenggara Bangladesh, di mana 600,000 pelarian hidup dalam keadaan menderita dan kotor.
Namun, pihak berkuasa Bangladesh, yang tidak lagi bersimpati dengan nasib Rohingya dan memotong akses internet di kawasan kem berkenaan sejak setahun lalu, melarang sebarang perhimpunan ekoran pandemik COVID-19.
Kebanyakan kem yang dibina sudah terputus hubungan dengan dunia luar, dengan tentera mendirikan pagar kawat berduri di sekelilingnya, sementara di dalam kem, pergerakan penghuni disekat ekoran kebimbangan virus yang membunuh itu merebak dengan cepat kerana tiada penjarakan fizikal.
Setakat ini, 84 jangkitan COVID-19 sudah disahkan serta enam kematian akibat virus berkenaan di kem berkenaan.
"Rohingya akan menandai 'Hari Peringatan Pembunuhan Beramai-ramai' dengan keheningan dan doa di kediaman buruk mereka sepanjang hari.
"Tidak akan ada demonstrasi, tidak ada pekerjaan, tidak ada solat di masjid, tidak ada kegiatan NGO atau bantuan, tidak ada sekolah, tidak ada madrasah dan tidak ada pengedaran makanan," kata Ullah.
Bangladesh sudah menandatangani perjanjian dengan Myanmar untuk mengembalikan pelarian, namun etnik itu enggan pulang tanpa sebarang jaminan keselamatan dan hak yang sepatutnya diberikan.
Kira-kira 600,000 etnik Rohingya tinggal di Myanmar, namun kebanyakan mereka tidak dianggap sebagai warganegara, tinggal dalam apa yang digambarkan Amnesty International sebagai keadaan 'apartheid'.
"Rohingya tidak yakin dengan keikhlasan pihak berkuasa Myanmar," kata Setiausaha Luar Bangladesh, Masud bin Momen.
Khin Maung, seorang aktivis Rohingya berusia 25 tahun yang kehilangan 10 saudara-mara dalam tragedi pada 2017, berkata suasana di kem sangat tertekan.
"Kami mahukan keadilan atas pembunuhan itu. Kami juga mahu pulang ke rumah. Tetapi, saya tidak melihat sebarang harapan. Mungkin akan memakan masa bertahun-tahun," kata Maung, yang mengetuai kumpulan pemuda Rohingya. - AFP