Indonesia, Malaysia, SG komited pastikan Selat Melaka dan Singapura kekal selamat, terbuka
Kapal-kapal melalui Selat Melaka dan Singapura. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)
SINGAPURA: Indonesia, Malaysia dan Singapura menegaskan semula komitmen untuk memastikan Selat Melaka dan Singapura kekal bebas, terbuka dan selamat bagi perkapalan antarabangsa.
Dalam Forum Kerjasama ke-17 yang dibuka di Singapura pada Selasa (25 Ogos), ketiga-tiga negara menegaskan semula bahawa kapal-kapal mempunyai hak untuk melalui selat tersebut di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan undang-undang antarabangsa, menurut satu kenyataan bersama.
IKLAN
Ketiga-tiga negara itu turut menekankan pentingnya menghormati hak dan kebebasan pelayaran, selain menyatakan bahawa negara-negara yang menggunakan selat tersebut, pertubuhan antarabangsa, industri maritim dan pihak berkepentingan lain juga mempunyai peranan dalam memastikan keselamatan pelayaran dan melindungi persekitaran marin.
Selat Melaka dan Singapura merupakan antara laluan perkapalan paling penting di dunia, dengan hampir satu perempat perdagangan global menerusi laut dan hampir satu pertiga bekalan minyak dan gas dunia melalui laluan tersebut.
Usulan untuk memperkukuh usaha tersebut akan dibincangkan sepanjang forum dua hari itu. Ini termasuk penggunaan teknologi baharu dan bahan api alternatif secara selamat di selat tersebut, serta projek-projek teknikal yang sedang dijalankan untuk meningkatkan keselamatan pelayaran.
Forum tersebut diadakan di bawah satu rangka kerja kerjasama yang ditubuhkan oleh Indonesia, Malaysia dan Singapura pada 2007. Ia membolehkan ketiga-tiga negara bekerjasama dengan negara-negara yang menggunakan selat tersebut dan pihak berkepentingan lain dalam aspek keselamatan pelayaran dan perlindungan alam sekitar.
Ketiga-tiga negara tersebut turut memperbaharui komitmen terhadap rangka kerja tersebut dan menzahirkan penghargaan kepada pihak-pihak berkepentingan atas sumbangan berterusan mereka selama ini. Negara-negara tersebut juga menggalakkan sokongan dan penyertaan berterusan pihak-pihak berkenaan.
IKLAN
Dalam ucapan pembukaannya, Menteri Pengangkutan Singapura Jeffrey Siow berkata perkembangan baru-baru ini menunjukkan bahawa laluan laut yang terbuka tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang terjamin, dan laluan perairan yang selamat serta terbuka bergantung pada undang-undang antarabangsa dan kerjasama antara negara.
Encik Siow memberi contoh trafik kapal yang melalui Selat Hormuz, iaitu laluan yang sebelum ini membawa satu perlima daripada bekalan minyak dunia.
Trafik di laluan tersebut merosot kepada kurang satu persepuluh berbanding paras sebelum perang, dan kapal-kapal terus berdepan serangan meskipun hak laluan mereka dijamin di bawah UNCLOS.
Data perkapalan pada Isnin menunjukkan kurang 20 kapal komoditi melalui Selat Hormuz pada hujung minggu.
Menerusi Mekanisme Kerjasama, Indonesia, Malaysia dan Singapura serta rakan-rakan mereka berjaya menterjemahkan kepentingan bersama kepada usaha sama yang praktikal, yang dibina atas kepercayaan dan kerjasama sejak sekian lama, kata Encik Siow.
IKLAN
Beliau menambah, ia kekal sebagai satu-satunya aturan yang ditubuhkan di bawah Artikel 43 UNCLOS, yang menggesa negara-negara untuk bekerjasama dalam aspek keselamatan pelayaran dan pencegahan pencemaran.
Encik Siow turut menarik perhatian bahawa Indonesia, Malaysia dan Singapura baru-baru ini menyelesaikan satu projek yang membolehkan alat bantuan pelayaran digital digunakan apabila alat bantuan fizikal menjalani kerja-kerja penyenggaraan.
"Tahun ini, ketiga-tiga negara akan memuktamadkan garis panduan serantau bagi meningkatkan penyelarasan apabila kapal-kapal yang menghadapi kecemasan memerlukan tempat untuk berlindung," kata beliau.
Singapura juga akan mengusulkan langkah dan prosedur bersama dengan ketiga-tiga negara untuk menangani kebakaran kargo di atas kapal kontena, menyusuli peningkatan kejadian sedemikian sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kata Encik Siow.
Forum tersebut merupakan satu daripada tiga komponen Mekanisme Kerjasama bagi keselamatan pelayaran dan perlindungan alam sekitar di Selat Melaka dan Singapura. Dua lagi komponennya ialah Dana Bantuan Navigasi (ANF) dan Jawatankuasa Penyelarasan Projek.
Indonesia, Malaysia, SG komited pastikan Selat Melaka dan Singapura kekal selamat, terbuka
Indonesia, Malaysia dan Singapura menegaskan semula komitmen untuk memastikan Selat Melaka dan Singapura kekal bebas, terbuka dan selamat bagi perkapalan antarabangsa.