afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,224
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,224
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Hubungan Felda-Umno sukar dirungkai walau diterajui teknokrat, kata penganalisis
Penganalisis berkata, peralihan sokongan daripada BN sudah mula ketara pada pilihan raya lepas, khususnya apabila kawasan Felda yang dahulunya dianggap kerusi selamat bertukar tangan. (Gambar Bernama)
Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya dan Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, hubungan Umno dengan Felda dibentuk melalui program penempatan dan pembangunan luar bandar selama berdekad lamanya, menyebabkan kesetiaan pengundi sukar diubah sekelip mata.
Awang Azman berkata, imej Umno yang sekian lama diangkat sebagai pelindung Felda, serta kemampuannya menangani kebimbangan peneroka seperti isu penanaman semula, pewarisan tanah dan perumahan generasi kedua, adalah lebih penting berbanding latar belakang politik pengerusi agensi itu.
“Jika jentera Umno di tanah rancangan Felda kekal aktif, turun padang dan responsif, (langkah) meletakkan tokoh bukan dari Umno sebagai pengerusi tidak akan secara automatik mengalih sokongan pengundi ke arah Pakatan Harapan, PAS atau Bersatu,” katanya kepada FMT.
Syaza pula berkata, sebarang kemerosotan pengaruh Umno bergantung kepada sama ada Ahmad Badri Zahir, pengerusi baharu Felda, mampu menambah baik pengurusan agensi itu, sambil menambah peralihan sokongan pengundi akan memakan masa.
“Walau apa pun situasinya, saya tidak fikir peralihan pengundi akan berlaku serta-merta,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri daripada Global Asia Consulting berkata, pelantikan Badri boleh melemahkan ikatan psikologi antara Felda dan Umno.
“Jika kepimpinan Felda dilihat neutral dan profesional, monopoli (Umno ke atas peneroka) akan berakhir,” katanya.
“Peneroka mungkin beralih kepada PH atau alternatif lain, bukan kerana keyakinan ideologi, tetapi kerana naratif lama sebagai pelindung sudah tidak lagi relevan.”
Zaharuddin berkata, peralihan sokongan daripada BN sudah mula ketara pada pilihan raya lepas, khususnya apabila kawasan Felda yang dahulunya dianggap kerusi selamat bertukar tangan.
“Belia Felda yang sudah semakin ‘urban’ kini terdedah kepada naratif yang mencabar dominasi BN,” katanya.
“Pada PRU14, keretakan ini menjadi semakin parah apabila jumlah peneroka yang ketara mula mengundi selain BN. Trend ini sukar untuk berbalik.”
Ahmad Badri mengambil alih tugas sebagai pengerusi Felda selepas kontrak tokoh kuat Umno, Ahmad Shabery Cheek, tamat pada 30 Jun.
Beliau sebelum ini pernah menjadi pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan memegang jawatan lembaga pengarah di Bank Negara Malaysia, Permodalan Nasional Bhd dan Tenaga Nasional Bhd.
Beliau kini mempengerusikan RHB Bank Bhd dan Lembaga Getah Malaysia.
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi sebelum ini berkata, tindakan tidak menyambung kontrak Ahmad Shabery dan pelantikan pengganti yang tiada kaitan dengan Umno boleh menyukarkan parti itu merampas semula kerusi Felda yang terlepas kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRU lepas.
Puad berkata, isu itu boleh mendorong Umno dan PAS kembali ke meja rundingan pembahagian kerusi, memandangkan PAS ketika ini memegang beberapa kerusi Parlimen berkaitan Felda yang dimenangi di bawah tiket PN pada PRU15.
Kedua-dua Ahmad Zaharuddin Sani dan Syaza bersetuju bahawa kemungkinan rundingan semula Umno-PAS mengenai kerusi Felda menunjukkan kawasan berkenaan bukan lagi kubu kuat BN secara automatik seperti sebelum ini.
Ahmad Zaharuddin Sani berkata, kerusi yang dahulunya dianggap sebagai ‘simpanan tetap’ BN kini berada dalam keadaan cukup rapuh sehingga mampu mempengaruhi rundingan gabungan.
“Jika Umno perlukan PAS sekadar untuk pertahan kedudukannya di Felda, maka mitos cengkaman kukuh Umno di luar bandar kini sudah mula terhakis,” katanya.
Mereka bersetuju bahawa kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan PN akan membantu menyatukan undi Melayu dan mengurangkan perpecahan undi pada pilihan raya akan datang, namun Syaza mengingatkan bahawa masih tidak jelas sejauh mana pengundi akan benar-benar memindahkan sokongan antara Umno dan Bersatu, berbanding PAS.