combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Hospital Pasir Gudang Dijangka Capai Kapasiti Pengoperasian Penuh Disember Ini - Dzulkefly
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad
Pengisian kakitangan Hospital Pasir Gudang (HPG) akan dilakukan secara berperingkat dengan sasaran 66 peratus menjelang September ini, sebelum mencapai kapasiti pengoperasian penuh merangkumi 304 katil dan 16 dewan bersalin pada Disember 2026.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ketika ini, status pengisian kakitangan HPG berada pada tahap 48 peratus melibatkan 1,075 petugas sejak mula dibuka pada Ogos tahun lepas.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedang giat menggerakkan Pelan Tindakan Pengisian Kakitangan yang menyaksikan pengisian bagi Pegawai Perubatan (MO) berada pada paras 85.4 peratus, iaitu 176 daripada 206 jawatan telah diisi setakat Selasa lepas.
"Urusan lantikan tetap pada tahun ini juga telah dibuka bagi melengkapkan baki kekosongan tersebut. Selain itu, HPG juga telah menawarkan 10 perkhidmatan kepakaran asas, manakala bidang ke-11, iaitu Oftalmologi bakal diperkenalkan dalam tempoh enam bulan akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dzulkefly berkata kadar pengisian Pakar Perubatan pula dijangka melonjak kepada 48.05 peratus apabila sembilan Pakar Pra-Warta melaporkan diri bermula bulan ini hingga selewat-lewatnya Februari 2027, berbanding 36.36 peratus ketika ini.
Beliau berkata penempatan 80 Penolong Pegawai Perubatan (PPP) baharu pada awal Oktober depan akan melonjakkan kadar pengisian daripada 68 kepada 91 peratus, sementara kadar pengisian semasa jururawat, iaitu 32.24 peratus pula dijangka meningkat kepada 40.42 peratus sejurus 70 jururawat tambahan melaporkan diri bulan depan.
"Bagi perjawatan yang merangkumi pelbagai profesion (termasuk juru X-ray, juruteknologi makmal perubatan, pegawai dietetik dan ahli fisioterapi), perolehan sumber manusia giat dilaksanakan secara progresif bagi meningkatkan kadar pengisian semasa yang kini berada pada paras 45 peratus," katanya.
Sebagai langkah interim, KKM turut melaksanakan pendekatan kluster dan pakar pelawat bagi menampung keperluan perkhidmatan di antara fasiliti yang mengalami kekurangan sumber.
Beliau berkata langkah itu bagi memastikan setiap pesakit diberikan perhatian sewajarnya berdasarkan penilaian klinikal serta rawatan pantas bagi kes-kes kecemasan.